Home » » Jangan bikin lawak 18SX

Jangan bikin lawak 18SX

Written By canang on Jumaat, 25 Februari 2011 | 2/25/2011 05:00:00 PTG


PERSAINGAN sengit peserta dalam Raja Lawak pada 18 Februari lalu turut memaksa mereka mengambil jalan mudah menarik perhatian penonton dengan menampilkan lawak 18SX.
Boleh dikatakan daripada tujuh peserta yang masih bertahan dalam program realiti TV itu, hanya dua saja tampil dengan idea menarik dan 'bersih' iaitu Mohd Nazmi Md Isa, 23, dari Sungai Besar, Selangor dan Abdul Rahman Kasim, 33, (Kuala Lumpur).

Kandungan jenaka pada hari itu turut mendapat perhatian wakil media yang hadir membuat liputan. Apabila ia berlaku, Raja Lawak yang menjadi rancangan tontonan seisi keluarga dilihat semacam kurang sesuai kepada kanak-kanak.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani menjelaskan pihaknya turut tidak menyangka dengan tindakan berani beberapa peserta yang menampilkan lawak berbaur lucah dalam usaha meraih sokongan penonton selepas ketandusan idea.

"Sebenarnya sebelum pertandingan yang disiarkan secara langsung dari Studio Finas bermula, pihak produksi terlebih dulu meneliti setiap bahan yang mahu diketengahkan. Seperti biasa kami meletakkan tiga syarat utama sebagai etika perkara yang langsung tidak boleh disentuh mereka iaitu pertamanya, berkaitan agama, politik dan lucah.

"Sepanjang lima musim rancangan Raja Lawak ke udara, dua perkara iaitu agama dan politik amat difahami peserta dan tidak pernah disentuh. Bagaimanapun, malam ini saya sendiri kecewa kerana ada peserta melanggar syarat dengan menampilkan pengisian agak lucah," katanya.
Biarpun rata-rata peserta yang menampilkan lawak lucah ini hanya sekadar berjenaka, penonton muda belum cukup matang untuk memahaminya.

"Sebenarnya kami sendiri tidak akan mengulang tayang mana-mana aksi berbaur lucah. Suntingan akan dibuat bagi slot ulang tayang. Sewaktu rancangan siaran langsung perkara ini memang tidak dapat dielakkan. "Biasanya perkara seperti ini berlaku apabila peserta sudah kehabisan idea atau mereka lupa akan skrip asal. Bagi menyelamatkan persembahan, mereka mulalah melencong dan menampilkan idea jalan pintas termasuk berbaur lucah. Bagaimanapun, kami akan beri penekanan selepas ini dan memastikan ia tidak akan berulang," katanya.

Sementara itu selaku juri tetap, Afdlin Shauki turut menegur tindakan peserta terbabit yang mengambil jalan mudah seperti itu.

"Tidak dinafikan tema minggu ini iaitu era 70-an memang cukup mencabar. Ia bukan senang untuk dizahirkan dan perkara ini memberikan peserta tekanan sehingga membuatkan mereka mencari jalan mudah bagi menarik perhatian penonton," katanya.

Menyentuh mengenai penyingkiran kumpulan Lucky yang dianggotai Mohd Zhafir Hilman Hassin, Mohd Hazwan Mohd Azani dan Khairul Nazmi Rodzy, pengarah terkenal itu menjelaskan persembahan mereka seharusnya tidak kasar.

Pengisian lawak ditampilkan Lucky pada minggu itu juga dilihat agak ketinggalan dengan menjadikan isu gemuk dan pondan sebagai subjek. Akibatnya mereka berada di tangga paling bawah dengan undian 8.1 peratus.

Minggu ini peserta yang akan meneruskan persaingan termasuk Muhammad Hanafi Rusmadi, Kumpulan R2, Kumpulan Balas dan Sulaiman Ibrahim.

Sementara itu Raja Lawak 5 juga boleh disaksikan secara online iaitu di telefon bimbit melalui Astro Mobile V (AMTV). Selain itu, pendapat penonton juga boleh menjadi bahan rujukan peserta untuk membaiki persembahan mingguan mereka. Terkini, Raja Lawak adalah program pertama untuk pengguna iPhone dan Android.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger