Home » » LIWAT II:Mungkinkah identiti 'Lelaki Y' diketahui esok?

LIWAT II:Mungkinkah identiti 'Lelaki Y' diketahui esok?

Written By canang on Isnin, 28 Februari 2011 | 2/28/2011 10:28:00 PTG


KUALA LUMPUR: Pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan beberapa eksibit yang mungkin mendedahkan identiti 'Lelaki Y' melalui profil DNA, yang air maninya ditemui dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin, yang mengetuai
pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihaknya akan memanggil saksi baru memberi keterangan berhubung sampel terbabit esok.
Sehubungan itu, sampel seperti sehelai tuala 'Good Morning', sebatang berus gigi berwarna putih, sehelai tuala dan sebotol air mineral mungkin mendedahkan identiti 'Lelaki Y'.

Mohamed Yusof memaklumkan perkara itu selepas mahkamah selesai mendengar
keterangan lima saksi pendakwaan hari ini.

Rabu lepas, ahli kimia Nor Aidora Saedon memberitahu mahkamah bahawa profil DNA yang diperoleh daripada berus gigi, tuala dan botol air mineral itu sepadan dengan profil DNA 'Lelaki Y'.
Nor Aidora, dari Jabatan Kimia, turut mempertahankan pendapatnya bahawa
hanya profil DNA 'Lelaki Y' ditemui pada tuala 'Good Morning' yang dianalisis selain kaedah pemprofilan DNA yang dilakukan ke atas tuala itu tepat dan tidak
tercemar.

Terdahulu, dua penganalisis forensik digital memberitahu mahkamah terdapat perbezaan masa dalam rakaman kamera tertutup (CCTV) di Kondominium Desa
Damansara dengan standard waktu tempatan (MSM)).

Perbezaan itu ialah 19 minit lewat di CCTV pejabat pengurusan kondominium dan sembilan minit 15 saat di pondok pengawalnya berbanding komputer riba milik mereka.

Pengurus operasi forensik digital, Mohd Zabri Adil Talib, dari syarikat
Cyber Security Malaysia, berkata masa yang tercatat di komputer ribanya adalah
sangat tepat dan mengikut waktu MSM selain diperoleh daripada Jabatan Metrologi
yang diselaras oleh Sirim.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hanafiah Zakaria pada perbicaraan kes Anwar, 63, yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Saksi ke-10 pendakwaan itu berkata beliau ke kondominium tersebut pada 30 Jun 2008 selepas diminta oleh polis untuk menjalankan proses pengklonan rakaman CCTV terbabit.

"Apabila tiba di kondominium itu, ACP Fadzil (Ahmad) telah memberikan
taklimat asas berkenaan dengan bantuan kepada makmal forensik untuk membuat
proses klon yang dijalankan terhadap sistem rakaman CCTV," katanya.

Ketika diminta menerangkan proses pengklonan itu, beliau berkata ia akan menyalin 100 peratus data digital daripada 'cakera keras' asal.

Kepada soalan lain, Mohd Zabri berkata cakera pertama tidak akan terjejas akibat proses itu kerana beliau menggunakan alat forensik yang turut digunakan di luar negara.

Mohd Zabri berkata selepas itu, beliau menyerahkan salinan klon kepada pejabat pengurusan bagi membolehkan mereka menjalankan operasi CCTV seperti biasa, manakala cakera keras yang asli diserahkan kepada ACP Fadzil.

Ketika disoal balas peguam SN Nair yang mewakili Anwar, beliau berkata
waktu pada CCTV di pejabat pengurusan dan pondok pengawal tidak sama.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis digital Sharizuan Mohd Omar berkata terdapat perbezaan masa selama sembilan minit 15 saat antara rakaman CCTV di pondok pengawal berbanding komputer ribanya.

"Masa di CCTV di pondok pengawal ialah 0.7.28.00, masa di laptop saya ialah 0.7.37.15. Hasil penganalisaan ini, masa di CCTV sistem lewat sembilan minit 15 saat berbanding masa di laptop saya," katanya yang menambah untuk setiap CCTV di pondok pengawal itu, masanya perlu ditambah sembilan minit 15 saat bagi memperoleh MSM.

Sementara itu, Ketua Seksyen Audio Video dari Makmal Forensik Maktab Polis Cheras, ACP Fadzil berkata pegawai penyiasat DSP Judy Blacious Pereira meminta beliau ke kondominium itu untuk menyiasat rakaman CCTV dalam kes Anwar.

Beliau berkata proses pengklonan di pejabat pengurusan itu bermula pada jam 7.05 malam dan berakhir pukul 9.32 malam, manakala di pondok pengawal berakhir pada jam 9.04 malam.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung esok. - BERNAMA

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger