Home » » Pesona dua diva

Pesona dua diva

Written By canang on Ahad, 6 Februari 2011 | 2/06/2011 12:05:00 PG


KEDUA-DUA bintang ini sememangnya mempunyai pengikut yang ramai. Masing-masing utuh mencipta nama dalam industri seni dek bakat hebat yang dimiliki. Jika Cher menyerlah dalam kedua-dua bidang, lakonan mahupun nyanyian, Christina Aguilera pula tidak disangkal lagi antara penyanyi dengan vokal paling mantap ketika ini.
Lalu, apabila pengarah Steven Antin menggandingkan legenda dunia hiburan Hollywood itu bersama penyanyi Genie in a Bottle berusia 30 terbabit dalam filem Burlesque, sudah semestinya segala tumpuan terarah kepada judul drama muzikal ini.
Christina yang turut dikenali menerusi lagu Beautiful dan I Turn To You buat julung kalinya diberikan peranan utama dalam sebuah filem, apabila beberapa kemunculannya sebelum ini hanyalah sebagai artis undangan, ataupun sekadar meminjamkan suara seperti mana dilakukannya untuk filem Shark Tale, enam tahun lalu.

Sebelum itu, dia pernah membabitkan diri dengan sebuah lagi drama muzikal, Moulin Rouge (2001), apabila menyanyikan lagu popular Lady Marmalade bersama Lil Kim, Mya dan Pink untuk filem terbabit.

Kali ini, menerusi kemunculan terbaru, penonton pastinya akan terhibur dengan 10 lagu yang dimuatkan dalam filem ini di mana lapan daripadanya dinyanyikan Christina, manakala dua lagi oleh Cher.

Lebih menarik, lagu You Haven't Seen The Last Of Me nyanyian penghibur berusia 64 tahun itu, yang turut dimuatkan dalam Burlesque, dinobatkan sebagai Lagu Asal Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-68, baru-baru ini.
Kali terakhir Cher dilihat beraksi di layar perak ialah menerusi filem Stuck On You pada 2003 dan kini dia kembali dengan memegang watak Tess, pemilik The Burlesque Lounge.

Selain mereka berdua, filem sepanjang 119 minit ini juga dibarisi bintang Hollywood yang terkenal lain seperti Eric Dane, Cam Gigandet, Stanley Tucci dan Kristen Bell.

Burlesque berkisar mengenai impian seorang gadis pinggiran kota, Ali, lakonan Christina, yang datang ke Los Angeles untuk menjadi seorang penyanyi.

Dari satu ke satu uji bakat dihadirinya, namun tiada seorang pun yang sudi mengambilnya sebagai penyanyi. Kemudian, Ali menemui sebuah teater di mana pertunjukan tarian dan muzik sering diadakan, dikenali sebagai The Burlesque Lounge. Tertarik dengan persembahan diadakan, Ali mencuba nasibnya dengan berjumpa pemilik kelab itu, Tess.

Pada mulanya, Ali diterima bekerja sebagai seorang pelayan di Burlesque, dan hanya mampu memerhatikan persembahan dari bawah pentas. Di situ Ali turut berkenalan dengan seorang pelayan bar yang juga pemuzik di tempat berkenaan, Jack, lakonan Cam Gigandet.

Ali semakin rapat dengan Jack dan dalam diam, Jack mencintai Ali walaupun jejaka itu sebenarnya sudah pun bertunang.

Konflik kian mencengkam apabila rumah sewa Ali dimasuki perompak, menyebabkan dirinya terpaksa menumpang di rumah Jack. Ali tidak mempunyai saudara terdekat manakala kedua-dua orang tuanya meninggal dunia sewaktu dia kecil lagi.

Ali memberanikan diri untuk mencuba nasib, dengan menghadiri uji bakat anjuran Tess. Dia diambil sebagai penari, yang secara tidak langsung menimbulkan perasaan cemburu Nikki.

Watak antagonis, Nikki, lakonan Kristen Bell, seorang gadis bermasalah dan penari utama di Burlesque. Dia menyimpan perasaan dendam kerana rasa cemburunya terhadap Ali. Nikki secara senyap-senyap merancang sesuatu untuk menjatuhkan gadis terbabit. Sebaliknya, niat jahatnya itu membuka peluang untuk Ali menonjolkan bakat sebenarnya. Saat itu, Ali membuktikan kepada Tess bahawa dia juga berkebolehan untuk menyanyi.

Akhirnya, Ali atau nama sebenarnya Alice menjadi tarikan utama Burlesque. Dengan suara yang sangat merdu, dia mampu memukau sesiapa saja yang mendengarnya.

Selama ini, hanya Tess saja yang mampu bernyanyi di pentas itu secara langsung. Selebihnya, mereka menggunakan teknik ‘miming’. Disebabkan kehebatan vokal Ali, The Burlesque Lounge dapat mengembalikan zaman kegemilangannya, secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung.

Apabila nama Ali kian mekar, muncul pula watak antagonis, Marcus (Eric Dane) yang menawarkan gadis itu peluang keemasan untuk mencipta populariti lebih besar lagi. Syaratnya, dia harus meninggalkan Burlesque.

Namun adakah Ali akan terus terpedaya dengan janji manis Marcus? Adakah Nikki akan terus membalas dendam? Dan adakah The Burlesque Lounge akan terus beroperasi? Bagaimana pula hubungan Ali dan Jack?

Sarat tarian seksi

Peminat drama muzikal pastinya tidak mahu terlepas menonton filem Burlesque yang padat dengan elemen drama dan persembahan yang menghiburkan.

Jika penonton lelaki mungkin berasakan filem ini akan benar-benar mencabar kelelakian mereka, penonton wanita pula akan cemburu terhadap kecantikan barisan gadis berbakat dalam filem ini.

Burlesque yang menemui peminat mulai 17 Februari ini adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas, dek tarian dan pakaian seksi serta pergerakan fizikal yang menggiurkan di dalamnya.

Filem ini turut memaparkan elemen cinta dan kasih sayang yang kuat, bukan hanya sesama insan, malah kepada sesuatu yang benar-benar meninggalkan kesan di jiwa. Elemen ini jelas dapat dilihat apabila Tess berkeras dan bersusah payah menyelamatkan kelabnya daripada dijual.

Ia turut mengajak penonton untuk mengenal erti sikap tidak mengenap putus asa dan bijak menggunakan bakat yang ada untuk mencapai impian, seperti yang ditonjolkan oleh watak Ali. Dari seorang gadis biasa, Ali menjadi seorang diva dengan bakat nyanyian sekali gus menjadi tarikan utama Burlesque
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger