Home »
» Ibu mengandung lari berkemban selamatkan diri
Ibu mengandung lari berkemban selamatkan diri
Written By canang on Jumaat, 25 Mac 2011 | 3/25/2011 01:00:00 PTG
RAWANG - Seorang wanita mengandung sembilan bulan yang hanya menunggu masa melahirkan, terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan berkemban semasa kejadian kebakaran di rumahnya di Kampung Benggali, Batu 17, di sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa, Nora Naim, 35, berkata, ketika itu dia baru hendak mandi, terkejut apabila diberitahu anaknya yang berusia empat tahun bahawa ‘ada api’ di rumah.
“Saya terus berlari keluar dan hanya sempat mencapai sehelai baju mengandung serta kad pemeriksaan kesihatan kandungan dalam keadaan berkemban dan basah kuyup,” katanya kepada Sinar Harian.
Rumahnya merupakan salah satu daripada dua yang hangus sama sekali, manakala empat rumah sekitarnya terjejas antara 20 ke 30 peratus .
Menurut Nora, semasa keluar meminta bantuan, dia tidak menyangka anak perempuannya itu, masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk mencarinya.
Katanya, ketika itu dia hanya tinggal berdua dengan anaknya di rumah,
“Nasib baik jiran menyelamatkan anak saya dengan pantas dan membawanya keluar. Jika tidak, tidak tahu nasib anak saya.
Punca kebakaran masih misteri
Menurut Nora yang juga Ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Daerah Brickfields, buat masa ini dia tidak bertugas kerana menunggu hari melahirkan , manakala suaminya hanya mendapat gaji hari sebagai buruh binaan.
Katanya, berikutan pendapatan yang tak seberapa, pemilik rumah di situ prihatin memberi mereka tinggal bersebelahan rumahnya secara percuma sejak tiga bulan lalu.
“Saya tidak tahu punca kebakaran. Anak saya tidak main api ketika itu, namun, yang pasti bermula dari tilam yang diletakkan di tepi dinding depan rumah .
“Biasanya, saya mengunci pintu rumah, tetapi semasa kejadian saya tidak berbuat demikian kerana suami akan pulang ke rumah,” katanya.
Sementara itu, pemilik dua rumah terjejas, Nurdin Abdullah, 33, berkata, anggaran kerugian berikutan kebakaran itu adalah sekitar RM50,000.
Difahamkan, mangsa kebakaran terlibat kini menumpang di rumah rakan dan saudara mara terdekat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang (BN), Lee Li Yew; Penyelaras Parlimen Selayang, Chan Wun Hoong dan Timbalan MIC Bahagian Selayang, MB Raja ketika melawat keluarga mangsa terlibat kebakaran tidak menolak akan memberikan bantuan sewajarnya.
Curiga kebakaran kerap berlaku
Dalam pada itu, timbul kemusykilan penduduk kampung setinggan yang wujud hampir 100 tahun itu kerana sebelum kejadian terbaru ini, kebakaran turut berlaku di rumah berhampiran.
Penduduk G Raysim, 38, berkata, sejak keluarganya tinggal di kampung itu lebih 60 tahun lalu, belum pernah berlaku kejadian kebakaran.
Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah, dengan dua daripadanya hangus sama sekali lima hari lalu, dalam jarak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
“Kebakaran sebelum ini pun kita curiga bagaimana ia berlaku. Sebab itu 24 dari 48 keluarga asal tinggal di sini sudah membuat laporan polis berhubung kebimbangan ini, selepas kejadian semalam (kelmarin),” katanya.
Menurut penduduk enggan dikenali, baru-baru ini mereka menerima tekanan pihak tertentu menggesa mereka berpindah kerana mahu menjalankan projek pembangunan di kawasan berhampiran.
Katanya, bagaimanapun keputusan penempatan semula mereka sepatutnya ke Kampung Sungai Tua Tambahan, belum selesai dan tertangguh sehingga kini.
“Jadi, kita harap masalah ini dapat dibantu secepat mungkin kerana bimbang esok atau lusa rumah kami pula terbakar.
“Aduan masalah ini juga sudah dipanjangkan ke Pejabat Menteri Besar dua bulan lalu, tetapi projek pembangunan tetap dijalankan walaupun masalah kami belum selesai,” katanya.
Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Rawang Sungai Dua, Abdul Nasir Jalil ketika ditemui di tempat kejadian, memaklumkan punca kebakaran kelmarin dan lima hari sebelum itu masih dalam siasatan.
Katanya, andaian penduduk mengenai sebab kejadian termasuk seperti bom koktel dicampakkan ke rumah yang terbakar, juga akan diteliti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan