Home » » Kapal bawa mata wang RM484.72 juta ke Libya

Kapal bawa mata wang RM484.72 juta ke Libya

Written By canang on Jumaat, 11 Mac 2011 | 3/11/2011 10:00:00 PG


Sebuah kapal yang membawa kira-kira AS$160 juta dalam mata wang Libya (RM484.72 juta) ditahan selepas ia berpatah balik semasa menuju ke Libya, kata seorang pegawai kerajaan semalam.

Menurutnya, kapal itu kembali ke Britain selepas anak-anak kapal tersebut memutuskan untuk tidak berlabuh di sebuah pelabuhan di Tripoli, Libya kerana pergolakan yang berlaku di sana.

Pegawai tersebut berkata, kapal itu dilaporkan kembali ke pelabuhan Harwich di timur England dengan diiringi oleh bot Agensi Sempadan Britain.

Sejumlah kontena yang mengandungi mata wang tersebut dipindahkan dari kapal berkenaan ke sebuah lokasi yang rahsia.

Britain sebelum ini memutuskan untuk melarang ekport mata wang Libya sejajar dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara itu.

Sementara itu, bedilan meriam dan letupan berlaku 20 kilometer dari pelabuhan Ras Lanuf di pantai Libya semalam.

Askar-askar yang menentang pemerintahan Muammar Gaddafi menyatakan mereka menentang askar-askar yang setia kepada Gaddafi di Rauf Lanuf, 660 kilometer ke timur Tripoli.

Menurut seorang askar Gaddafi yang berpaling tadah, Magdi Mohammed, para penentang dilengkapi dengan senjata kalashnikov AK-47, raifal dan pelancar roket.

Misi para penentang itu ialah menguasai loji kemudahan minyak.

Pergelutan turut berlaku di Tripoli apabila anggota-anggota pasukan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan semalam.

Menurut seorang saksi yang menghubungi agensi berita AFP, beberapa anggota keselamatan melepaskan tembakan ke udara.

Pertempuran turut berlaku di Zawiya bandar yang berdekatan dengan Tripoli.

Pada awal semalam, askar-askar pro-Gaddafi melepaskan tembakan mortar dan bedilan daripada senjata antipesawat di Misrata. bandar ketiga terbesar di Libya.

Dalam pertempuran itu tiada laporan mengenai kematian dilaporkan.

Jumlah angka kematian rasmi akibat pertempuran antara para penentang Gaddafi dengan askar-askar upahan pemimpin itu masih belum diketahui.

Para penentang itu menentang Gaddafi ekoran kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintahannya.

Sementara itu di Benghazi, para penunjuk perasaan sudah menguasai bandar itu daripada penguasaan askar-askar Gaddafi. Jet-jet pejuang Gaddafi turut membedil bandar Ajdabiya semalam.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan beliau mempunyai pilihan untuk memastikan Gaddafi berundur.

Obama berkata kelmarin bahawa tindakan Gaddafi mengebom penduduknya sendiri menunjukkan bahawa beliau sudah kehilangan hak untuk memerintah dengan sah. - Agensi
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger