Home » » Najib-Rahim Bukti Pemerintahan Songsong, Kata Anwar Ibrahim

Najib-Rahim Bukti Pemerintahan Songsong, Kata Anwar Ibrahim

Written By canang on Isnin, 28 Mac 2011 | 3/28/2011 11:00:00 PG


Dengan menggunakan Perdana Menteri Najib Razak dan bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik sebagai contoh, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini melalui zaman pemerintahan songsang.

Anwar berkata mereka yang terbelit dengan tuduhan rogol dan salah guna wang diangkat oleh kerajaan dan media arus perdana, manakala pemimpin pembangkang yang mendokong urus tadbir telus dan amanah ditekan.

" Yang pertahankan soal moral, orang yang pernah ditanya soal rogol, orang yang pernah hidup dalam skandal video seks, dia cakap soal moral. Jatuhkan orang lain. Orang yang bercakap soal negara bersih, orang yang mengambil dana yang begitu besar, membinasakan orang yang hendak mentadbir dengan baik. Tanya Lim Guan Eng, berapa hari dia boleh hidup aman tanpa diganggu untuk menjalankan urustadbir?,"kata Anwar.

Berucap pada majlis ceramah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Anwar sekali lagi menunjukkan ketegasan berdepan dengan pusingan fitnah terbaru dalam bentuk video seks yang didalangi oleh Rahim yang kini Pengerusi Risda.

Rahim terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 setelah terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar bawah umur selain didakwa
mengamalkan rasuah.

Beliau diangkat menjadi Pengerusi Risda tahun 2008 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang sendiri berdepan dengan skandal pembunuhan Altantuya Sharibuu dan komisyen lumayan pembelian peralatan ketenteraan semasa menjadi Menteri Pertahanan.

Rahim, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuaib Lazim dilaporkan berjumpa dengan Najib di Bangunan Parlimen Selasa lalu selepas identiti mereka dibongkar oleh Parti Keadilan Rakyat.

Anwar mengajak rakyat supaya mengimbas penyelewengan besar-besaran yang berlaku di negara ini membabitkan pemimpin utama negara.

" Orang yang terlibat dalam bunuh Altantuya tak berdosakah? Orang yang ambil RM500 juta beli dua kapal selam tidak berdosakah? Orang yang terlibat dalam skandal di Port Dickson tak berdosakah?," soal Anwar.

Anwar berkata dalam usaha untuk melemahkan Pakatan Rakyat, umno sanggup menggunakan taktik yang keji dan tanpa peri kemanusiaan dalam mencari kelebihan
politik semata-mata.

" Saudara-saudara, saya pun ada keluarga. Kenapa harus diaibkan terus menerus? Bukan setahun tetapi berbelas tahun dirancang begini rupa? Hendak tanam sekurang-kurangnya ada persoalan sedikit, Kerana apa? Kerana Anwar beri tazkirah, kerana Anwar baca ayat Al-Quran.

"Hendak tanam sikit Anwar ini tidak boleh dipercayai. Jangan percaya kepada Anwar, percaya kepada Najib dan Rosmah. Jangan percaya kepada Lim Guan Eng, percayalah kepada Rahim Thamby Chik,"kata Anwar sambil disambut sorakan hadirin yang mendengar ceramahnya.

Beliau berkata program pembaharuan Buku Jingga yang dilancarkan oleh Pakatan Rakyat menjadi punca utama Umno melancarkan asakan fitnah secara bertubi-tubi
untuk melemahkan gagasan itu.

Buku Jingga itu menyenaraikan dasar dan program untuk merombak struktur politik, ekonomi dan sosial negara ini jika Pakatan diberi mandat menubuhkan Kerajaan
Persekutuan.

Anwar berkata fitnah video seks lucah adalah serangan terbaru untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada dasar-dasar tuntas yang disenaraikan dalam Buku Jingga.

" Dia takut orang baca dan dia takut orang membuat penilaian sebab dia mesti cipta masalah-masalah supaya padamkan isu yang kita hendak ketengahkan. Saya kata, jangan lupa. Program Pakatan Rakyat, Buku Jingga,"jelas Anwar.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger