Home » » Taman tempat berasmara

Taman tempat berasmara

Written By canang on Selasa, 1 Mac 2011 | 3/01/2011 12:30:00 PG


JOHOR BAHRU: Taman permainan dekat Kampung Baru Pandan di sini, didakwa bukan saja mampu mengundang bahaya kepada keselamatan kanak-kanak yang beriadah di situ, malah kini turut dicemari perbuatan segelintir pasangan remaja yang menjadikannya lokasi memadu asmara.

Penduduk mendakwa, beberapa kemudahan taman permainan itu seperti buaian dan jambatan gantung, rosak teruk sejak dua tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak yang bermain di situ setiap petang.
Lebih dikesali penduduk, ada remaja warga asing yang menyewa di bangunan rumah kedai berhampiran tanpa segan-silu menjadikan taman permainan terbabit sebagai

lokasi mereka berdua-duaan bersama pasangan masing-masing tanpa mengira waktu.
Tinjauan mendapati beberapa kemudahan di taman permainan terbabit seperti buaian dan jambatan gantung sudah tidak boleh digunakan lagi, selain dipenuhi rumput panjang kerana tidak diselenggara mengikut jadual.

Selain itu, ada juga pasangan remaja warga asing dilihat sedang asyik berdua-duaan di bawah binaan taman permainan terbabit walaupun pada waktu petang tanpa segan-silu dengan kehadiran orang ramai terutama kanak-kanak yang datang beriadah di situ.

Nor Syuhada Ibrahim, 12, berkata taman permainan itu menjadi tumpuan lebih 100 kanak-kanak sekitar kampung terbabit untuk beriadah pada waktu petang memandangkan ia satu-satunya kemudahan seumpamanya disediakan untuk mereka.

“Memang saya seronok dapat bermain bersama rakan di taman permainan ini pada setiap petang, tetapi kami berasa kecewa kerana kemudahan buaian dan jambatan gantung yang sering menjadi mainan utama kanak-kanak di sini sudah rosak teruk sejak dua tahun lalu.
“Selain itu, persekitaran taman permainan ini yang ditumbuhi rumput panjang kerana tidak diselenggara mengikut jadual juga menimbulkan kebimbangan kami berhubung kemungkinan ada binatang berbisa seperti ular dan lipan membiak di situ,” katanya di sini, semalam.

Nor Syuhada mengharapkan ada pihak bertanggungjawab datang membaiki kerosakan kemudahan dan menebas rumput panjang di taman permainan terbabit dengan segera bagi memberi keselesaan kepada mereka beriadah di situ.

Seorang peniaga berhampiran yang mahu dikenali sebagai Ramlah, 43, pula berkata pihak berkuasa agama di negeri ini harus meningkatkan pemantauan mereka di taman permainan ini terutama pada waktu petang dan malam bagi membanteras kegiatan maksiat di situ.

“Sudah tiga tahun saya berniaga di sini dan sepanjang tempoh itu melihat ramai pasangan warga asing datang memadu asmara di taman permainan ini tanpa mengira waktu. Jika ditegur, mereka ini tidak mempedulikannya dan terus melakukan aksi sama.

“Jadi, jalan terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah tindakan pihak berkuasa agama negeri menyerbu taman permainan ini dan menangkap pelaku maksiat berkenaan bagi memberi pengajaran kepada mereka pada masa depan,” katanya.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger