Home » » Al-Fatihah, Aimi Jarr Meninggal Dunia

Al-Fatihah, Aimi Jarr Meninggal Dunia

Written By canang on Selasa, 10 Mei 2011 | 5/10/2011 06:50:00 PTG

HULU KLANG: Pelakon veteran dan penulis, Aimi Jarr atau Omar Puteh, 72, yangjuga bekas wartawan hiburan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi Selasa.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Anak Bongsunya, Romy Jarr, 34 berkata Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda dan sakit sebelum ini.

"Ketika ingin mengejutkannya pagi tadi, badan arwah sejuk dan mulut berbuih.

"Saya ingin membawanya ke hospital tetapi melihat keadaan tersebut kami hanya memanggil doktor untuk buat pemeriksaan," katanya ketika ditemui di Masjid Klang Gate Baru di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noriah Ishak, 74, dan tiga cahaya mata iaitu Norimy Jarr, 44, Norlisda Jarr, 40 dan Romy Jarr, 34.

Dalam pada itu, Romy berkata, Allahyarham merupakan seorang yang aktif dan tidak pernah jatuh sakit.

"Sebelum ini dia memang menghidap kencing manis dan Parkinson tetapi dia tidak pernah jatuh sakit sehingga ditahan di hospital.

"Walaupun kelihatan uzur tapi dia tetap bergerak ke pejabat dan melakukan tanggungjawabnya," katanya.

Katanya, sebelum ini, Allahyarham sempat berpesan agar memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Klang Gate Baru, Hulu Klang.

Turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham yang juga bekas wartawan Utusan Melayu ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, bekas-bekas Ketua Pengarang Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Johan Jaaffar, aktivis seni tanah air seperti Datuk Dr Jins Shamsuddin, Datuk Mustafa Maarof, Datuk Yusof Haslam, Imuda, Datuk Ahmad Tarmimi Serigar, Datuk M. Daud Kilau, A. Galak, Omar Manan, Hail Amir, Zulkifli Zain dan isterinya Normala Omar, Zulkifle Ismail dan ramai lagi.

Turut memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Allahyarham ialah rakan-rakan wartawan dari pelbagai media khususnya wartawan hiburan tanah air dan juga bekas-bekas wartawan kanan yang merupakan rakan sekerja Allahyarham suatu ketika dahulu.

Salah seorang anak perempuannya, Norimy Jarr kini berkhidmat sebagai wartawan di Kumpulan Utusan Melayu.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger