Home »
» ‘Awie tidak faham’
‘Awie tidak faham’
Written By canang on Isnin, 2 Mei 2011 | 5/02/2011 10:00:00 PG
KUALA LUMPUR: “Dia tidak faham apa yang saya faham. Insya-Allah, satu hari nanti bila dia mengerti apa yang saya maksudkan, mungkin dia berfikir balik apa yang diperkatakannya kepada saya.
“Saya memperjuangkan Islam dan apa yang saya katakan sebelum ini adalah secara peribadi. Bukan niat saya mahu mencari publisiti murahan, malah jauh sekali untuk hipokrit. Apa yang saya katakan datang daripada lubuk hati saya,” kata pelakon dan pengacara, Bob Lokman berikutan teguran panas daripada rakan artisnya, Awie.
Semalam, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 43, menyifatkan Bob sebagai hipokrit dan riak apabila menyerang bidang hiburan dengan kenyataan seakan memperendah-rendahkan dunia artis.
Sebelum ini Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, pernah mengeluarkan kenyataan tidak lagi mempercayai bidang hiburan kerana menganggapnya hipokrit serta mempunyai unsur yang tidak baik.
Bob menjelaskan, dia tidak berniat mahu merendah-rendahkan industri hiburan tanah air.
Katanya, bidang hiburan tidak salah, lebih-lebih lagi jika ia dijadikan landasan untuk menyebarkan dakwah.
“Sejak saya meninggalkannya dan aktif dalam bidang keagamaan dan Islam, baru saya sedar dan nampak bahawa sistem serta acuan dalam bidang hiburan tidak bagus. Ini bukan bermaksud bidang hiburan yang bermasalah tetapi sistem yang diguna pakai sekarang harus diubah.
“Sebagai bekas artis, saya mengakui jika bukan berlakon dan mengacara, apa yang boleh saya lakukan untuk mencari rezeki? Namun, saya hanya akan kembali ke dunia hiburan tempatan apabila sistem dalam bidang itu diubah dan berada di jalan yang diyakini.
“Saya tidak mahu lagi terbabit dengan rezeki yang datangnya daripada sistem yang tidak diyakini, sekali gus membuatkan faktor halal dan haram itu diragui. Lagipun, rezeki itu digunakan untuk membesarkan anak dan keluarga. Seelok-eloknya, biarlah rezeki yang datang itu halal,” katanya.
Menurut Bob, dia tidak tergugat atau menyimpan dendam dengan komen panas rakan artisnya, sebaliknya mengambilnya sebagai nasihat berguna.
“Pada pandangan saya, dia (Awie) memberikan nasihat kepada saya. Malah, saya tidak berasa terhina dengan kenyataan diberikannya. Mungkin kepada orang lain ia agak kasar, tetapi pada saya ia perkara biasa.
“Ini antara dugaan yang Allah berikan kepada saya. Jika mahu dibandingkan dengan cabaran Nabi Muhammad SAW dan sahabat ketika berjuang menegakkan Islam, ia jauh lebih hebat.
“Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan cuba memperbaiki diri sebaik mungkin. Insya-Allah, apa yang ingin saya lakukan kini adalah berusaha memperjuangkan Islam,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan