Home »
» MB Selangor Tulis Surat Gesa KDN Ambil Tindakan Terhadap ADUN Kuang
MB Selangor Tulis Surat Gesa KDN Ambil Tindakan Terhadap ADUN Kuang
Written By canang on Jumaat, 20 Mei 2011 | 5/20/2011 08:31:00 PTG
SHAH ALAM 20 MEI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein bagi mendesak kementerian itu mengambil tindakan segera terhadap ADUN Kuang Abdul Shukor Idrus.
Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini sekali gus melanggar Seksyen 5 (1) dan (2) Akta Penerbitan Mesin Cetak 1984.
Dalam surat yang dihantar kepada Hishammuddin bertarikh 13 Mei, Abdul Khalid kesal kerana KDN dan Hishammuddin tidak berbuat apa-apa walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Abdul Shukor dan Selangor Terkini.
Beliau berkata, kegagalan KDN dan Hishammuddin menyiasat menyebabkan Peguam Negara tidak boleh bertindak termasuk mendakwa Abdul Shukor kerana tiada hasil siasatan yang dikemukakan untuk tindakan lanjut.
Dalam surat balas kepada Menteri Besar bertarikh 21 Mac, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa KDN belum mengemukakan sebarang hasil siasatan untuk pertimbangan.
“Kegagalan KDN dan Hishammuddin bertindak secara efisien menyebabkan akhbar haram ini dicetak dan diedar di Selangor tanpa sebarang sekatan. Saya percaya ia didalangi orang yang sama kerana muka ADUN Kuang terpampang di muka depan akhbar haram ini,” katanya.
Abdul Khalid sekali lagi mendesak KDN dan Hishammuddin menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat pada 6 Mei lalu terhadap Selangor Terkini selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar haram ini secara terbuka.
“Saya mengesa Hishammuddin memainkan peranan sebagai Menteri Dalam Negeri dengan lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab dan menjangkaui ideologi politik supaya keadilan dapat ditegakkan dan pihak yang didapati bersalah menerima hukuman setimpal,” kata Abdul Khalid.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan