KUALA LUMPUR 4 JULAI : Penganalisis dan juga Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpandangan titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar Bersih 2.0 menyelesaikan segala permasalahan yang timbul melalui jalan rundingan, bukan bermakna satu kekalahan kepada gabungan badan bukan kerajaan itu.
“Berunding tak semestinya kekalahan pada Bersih,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Aziz, titah Seri Paduka Baginda itu secara jelas merujuk kepada betapa pentingnya sebuah pilihan raya yang adil dan bebas dilaksanakan di negara ini.
“Ringkasnya kedua-dua pihak perlu bersedia berunding dan rujukannya perlu Perlembagaan Persekutuan,” menurut pakar perlembagaan ini.
Jelas Aziz lagi, dari segi Perlembagaan Persekutuan, Tuanku punya hak dan kuasa untuk campur tangan dalam situasi ini.
“Campur tangan Yang di-Pertuan Agong adalah kemenangan bagi menjamin satu pilihan raya yang adil dan besih, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya lagi.
Tuanku Mizan semalam menyeru pihak kerajaan untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bijaksana.
Hal ini bagi mengelakkan berlakunya segala masalah yang tidak diingini di samping mengelakkan timbulnya perasaan kurang senang rakyat terhadap pemerintah.
"Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
"Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".
Sehubungan itu, Aziz berkata, sekiranya bakal berlangsung suatu rundingan di antara pihak Bersih 2.0 dan kerajaan, Istana Negara harus melakukan pantauan agar ia mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
Malah kata Aziz, sekiranya Bersih bersetuju berunding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan tuntutan, yang kesemuanya adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan, badan pelaksana pilihan raya itu akan dipersalahkan dan Umno-BN akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 kerana dianggap menggunakan istana.
Kata beliau, SPR perlu mempunyai keyakinan kesemua parti yang menyertai proses pilihan raya dan “dalam terma yang mudah, Perlembagaan yang perlu kekal sebagai teragung di sini dan bukan demi kepentingan mana-mana parti.”
“Buat masa ini kedua-dua Umno-BN dan SPR sudah dianggap bersekongkol untuk menipu dalam pilihan raya,” katanya sambil menambah, semua tahanan mesti dibebaskan serta-merta kerana ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Begitu juga dengan rampasan yang dilakukan oleh polis,” kata beliau lagi.
Menurut laporan media semalan polis telah menahan lebih 150 orang, kebanyakannya pemimpin Pakatan dan aktivis pro-Bersih 2.0 sejak seminggu lalu.
Home »
» Aziz : Campur Tangan Agong Jamin Pilihan Raya Adil Dan Bersih
Aziz : Campur Tangan Agong Jamin Pilihan Raya Adil Dan Bersih
Written By canang on Isnin, 4 Julai 2011 | 7/04/2011 07:46:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan