Home » » Bersh 2.0:Suhakam Hak Rakyat Berhimpun Secara Aman Perlu Dilindungi

Bersh 2.0:Suhakam Hak Rakyat Berhimpun Secara Aman Perlu Dilindungi

Written By canang on Sabtu, 9 Julai 2011 | 7/09/2011 10:00:00 PG


SHAH ALAM 8 JULAI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya sekali lagi mengingatkan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.

Justeru itu, Suhakam mengalu-alukan konsultasi di antara pihak berkuasa dan BERSIH 2.0 berhubung cadangan untuk berhimpunan di Stadium Merdeka.

“Suruhanjaya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara ini dapat dicapai antara pihak berkuasa dan BERSIH dalam semangat perdamaian, seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin," katanya.

"Suhakam juga akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya lagi, penangkapan dan penahanan beberapa ahli parlimen serta aktivis Bersih 2.0 sejak Jun lalu di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 amat membimbangkan pihaknya.

Sehubungan itu, Suhakam menuntut kerajaan supaya segera membebaskan kesemua aktivis Bersih 2.0 terbabit yang masih ditahan.

“Mereka seharusnya berhak kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 UDHR yang menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya," tegasnya.

Jelasnya, setiap orang adalah berhak sepenuhnya untuk dibicarakan dalam perbicaraan adil dan terbuka serta berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Malah, beliau turut mengingatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab mereka menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.

“Dalam perkara ini, Suruhanjaya telah berulangkali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” tambahnya
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger