POPULARITI dan status sebagai artis sering membuatkan peminat beranggapan golongan ini cukup sempurna daripada aspek kemewahan dan kebahagiaan yang dikecapi.
Namun, rencah hidup artis sama seperti orang lain berdepan pelbagai masalah dan dihimpit hutang. Segelintir artis yang menjadi idola masyarakat juga sebenarnya cetek ilmu dalam bidang agama.
Justeru, ia mengundang rasa tanggungjawab penyanyi Akhil Hayy menggalas usaha mengajak rakan artis bersama menimba ilmu agama bersamanya.
Menerusi program Kawan Selebriti, acara ini memberi peluang kepada mana-mana artis turut serta mengikuti program keagamaan seperti kelas mengaji. Ia dikendalikan Akhil bersama beberapa guru agama lain termasuk Ustaz Nasaruddin Hasim yang dikenali mengajar bahasa Arab menerusi program al-Furqan di radio Ikim FM.
“Saya melihat ramai meminta pandangan artis, tetapi bila bercakap soal agama, mereka terperangkap di situ. Begitu juga, penghijrahan artis seperti Wardina, Bob Lokman dan isteri saya sendiri, Waheeda membuatkan saya terfikir kita perlu mempunyai satu tempat untuk artis ini beramal.
“Kelas ini akan diadakan di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos ini manakala tiada bayaran dikenakan. Sesi pertama pernah disertai Mawi dan bekas vokalis kumpulan Melissa, Ustaz Radzi April lalu berjaya dilaksanakan.
“Mungkin sambutan dingin kerana ada artis belum bersedia. Namun, saya mengajak menerusi mulut dan media agar artis mengambil peluang ini demi kebaikan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Sentosa Avenue, Kajang, Selangor baru-baru ini.
Dalam merancang aktiviti bersama rakan artis, Akhil turut menyatakan dia merancang mahu mengadakan konsert mini. Dia menyasarkan minimum 300 peminat hadir pada persembahan dikenali Mini Konsert Kembara Sufi.
“Idea ini datang ketika saya berceramah, penonton minta pula saya menyanyi. Merujuk pada dua persembahan di Beranang pada 26 Julai lalu dan Jengka (Jun), sambutan diberikan pengunjung begitu menggalakkan.
“Kali ini saya berhasrat menjual tiket berharga RM30 untuk 300 peminat kepada mana-mana pihak yang mahu menjadi penganjur pada acara ini. Sasaran saya pada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pihak sekolah agar membeli tiket ini.
“Acara ini dijangka berlangsung selama dua jam dengan persembahan lagu konsep dakwah dan diselit tazkirah. Mungkin jika ada permintaan, saya akan menjemput artis lain bersama menjayakan mini konsert ini,” katanya bersedia mengadakan persembahan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Akhil percaya, setiap persembahan tidak kira berskala besar atau kecil mempunyai risiko dari aspek sambutan diterima. Mengikut pengalaman lalu, dia percaya konsep persembahan yang membawa sama unsur keagamaan mempunyai ramai peminat.
Sibuk mengatur program Kawan Selebriti dan Mini Konsert, Akhil terbabit sama menguruskan program mengerjakan umrah menerusi syarikatnya, Akhil Network. Selepas menganjurkan acara sama pada April tahun lalu, dia merancang program sama pada Februari, Jun dan Ogos tahun depan.
“Mungkin kali ini kami dapat membawa 80 jemaah mengikuti program ini. Bayaran dikenakan sebanyak RM4,999 termasuk pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman.
“Rombongan yang diketuai Datuk Mohamed Zain Zakaria ini dijangka mengambil masa selama 13 hari dengan menaiki Penerbangan Malaysia (Mas) ke Jeddah kemudian dari Madinah ke Makkah,” katanya.
Mengenai program Cubaan disiarkan menerusi Astro Oasis (saluran 106) setiap Sabtu jam 7.30 malam, Akhil menyatakan empat episod yang sudah menemui penonton memberikan respons positif. Rakaman program sebanyak 13 episod ini selesai dijalankan.
“Apa yang cuba disampaikan lebih pada pendidikan jiwa dan moral pada masyarakat. Bukan niat saya mengena orang tapi mencari makna.
“Menerusi program ini kita dapat melihat reaksi masyarakat terhadap sesuatu kejadian yang berlaku sama ada mereka prihatin atau bertindak membantu,” katanya.
Home »
» Akhil Hayy ajak golongan artis dalami ilmu agama
Akhil Hayy ajak golongan artis dalami ilmu agama
Written By canang on Ahad, 7 Ogos 2011 | 8/07/2011 11:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan