Home »
» Mati kebuluran setiap 6 minit
Mati kebuluran setiap 6 minit
Written By canang on Selasa, 30 Ogos 2011 | 8/30/2011 03:00:00 PTG
MOGADISHU: Rakyat Somalia yang kelaparan sanggup berjalan ratusan kilometer dan berhari-hari ke khemah bantuan semata-mata untuk mendapatkan sedikit makanan bagi mengalas perut daripada kebuluran.
Krisis kebuluran yang melanda negara itu sejak akhir ini menjadi semakin parah dengan jumlah kematian dianggar seramai 10,000 orang sebulan dengan kadar seorang setiap enam minit.
Bencana ini berlaku selepas keamanan dan kemakmuran negara berkenaan diragut perang saudara bermula 1991.
Peperangan itu bukan hanya menyebabkan mereka kebuluran, malah lebih teruk kanak-kanak yang kurang zat mudah mendapat penyakit hingga menyebabkan kematian.
Menurut Hassan Hadidi, 56, dia dan isteri, Fatimah, 30, yang menghuni khemah ‘Internal Disposal Persons (IDPs) di pinggir Mogadishu, sudah tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan nyawa anak kecilnya Khadijah, berusia dua tahun yang menderita kebuluran dan kurang zat.
“Doktor memberitahu anak saya menghidapi sakit perut, namun menurutnya masalah utama anak saya adalah kekurangan makanan.
“Sakit perutnya mungkin disebabkan cacing serta makanan yang tidak bersih, tetapi penyebab utama anak saya sakit adalah kerana tiada makanan,” katanya yang ditemui di Pusat Kesihatan SAACID di daerah Hal Wadaq, di sini.
Menurutnya, apa yang boleh dilakukan pusat kesihatan berkenaan hanyalah memeriksa anaknya, namun tiada ubat yang boleh diberikan kerana mereka juga kekurangan ubat-ubatan.
“Saya dan isteri hanya mampu berdoa untuk menyelamatkan Khadijah dari terus menderita,” katanya sayu.
Tinjauan Harian Metro, di pusat kesihatan sementara yang hanya menumpukan pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu mendapati tidak kurang 100 kanak-kanak kecil termasuk bayi akan diperiksa doktor tempatan yang dibiayai UNHCR.
Pusat kesihatan yang hanya diperbuat dari zink itu bukan saja serba kekurangan namun hanya dibuka pada waktu tertentu saja kerana doktornya perlu memberi khidmat di beberapa khemah lain juga.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan