Home » » Pilih tuntutan Bersih atau 'kerajaan Mismah'

Pilih tuntutan Bersih atau 'kerajaan Mismah'

Written By canang on Ahad, 7 Ogos 2011 | 8/07/2011 07:00:00 PTG


KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi, tidak hairan jika Umno begitu yakin merampas kembali pentadbiran Selangor, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Jika diambil kira trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu, kita yakin Pakatan Rakyat (PR) dapat mengekalkan pentadbirannya di Selangor.

"Tetapi dengan beberapa perkembangan selepas itu termasuk pertambahan pengundi dengan kadar yang mencurigakan ditambah pula dengan pelbagai perkara lain yang juga mencurigakan termasuk Mismahgate, apa hendak dihairankan jika Umno begitu luar biasa keyakinannya untuk merampas kembali pentadbiran Selangor," katanya.

'Mismah gate' merujuk kepada kebanjiran mereka yang mempunyai status penduduk tetap dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah seorang dari mereka bernama Mismah yang ditukar statusnya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari seorang penduduk tetap kepada seorang warga negara hanya beberapa jam selepas dihebohkan bahawa beliau didaftarkan sebagai pengundi walaupun hanya berstatus penduduk tetap.

Lebih mencurigakan, SPR juga dengan begitu segera tiba-tiba menukar nama Mismah kepada kategori 'dalam proses pengesahan daftar pemilih' selepas pendedahan itu sedangkan sebelum itu namanya berada dalam kategori 'sedang dalam pameran rang'.

"Dengan apa yang terjadi itu, kalau Umno dan BN menang di Selangor malah di mana-mana pun dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan tidak bermaruah selepas itu hakikatnya adalah 'kerajaan Mismah' yang menang dengan menggadai kedaulatan dan keselamatan negara kepada orang asing dan bukan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

"Sebab itulah, rakyat Malaysia yang bermaruah hanya ada dua pilihan sahaja iaitu menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan atau meringkuk di bawah pemerintahan 'kerajaan Mismah' yang akan menjerumuskan lagi negara ini ke dalam kehancuran," kata Mohamad.

Beliau mengulangi keazamann untuk berusaha menggerakkan lagi kebangkitan rakyat menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan.

"Pihak yang berdolak-dalik itu tidak akan melaksanakan tuntutan tersebut melainkan dengan kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar dari apa yang berlaku 9 Julai lalu.

"Mereka tidak memberikan pilihan yang lain kepada rakyat," tegas beliau.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malaysian Insider semalam melaporkan Umno yakin akan menang di Selangor pada pilihan raya akan datang dengan majoriti sehingga 20 kerusi.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger