Home »
» Raisuddin Hamzah memilih bernikah di Songhkla, Thailand melarikan diri daripada bapa kandungnya
Raisuddin Hamzah memilih bernikah di Songhkla, Thailand melarikan diri daripada bapa kandungnya
Written By canang on Selasa, 23 Ogos 2011 | 8/23/2011 10:30:00 PG
SHAH ALAM: Isteri kedua pelakon dan penyanyi era 80-an, Raisuddin Hamzah pada Isnin memberitahu, mereka memilih untuk bernikah di Songhkla, Thailand kerana mahu melarikan diri daripada bapa kandungnya selaku wali kepada dirinya.
Siti Fatimah Suberi juga berkata, tindakan itu dibuat kerana dia berhasrat mahu menyembunyikan perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka itu daripada pengetahuan bapanya, yang merupakan seorang pengusaha kedai makan dan kenalan kepada Raisuddin.
Menjawab soalan peguam syarie Norazmi Mohd Arif yang mewakili dirinya, Siti Fatimah juga mengakui bahawa dia tidak pernah meminta kebenaran daripada ayahnya untuk bernikah kerana yakin permintaannya tidak akan dipersetujui.
“Jika dia bersetuju, mengapa dia memohon di mahkamah untuk memfaraqkan pernikahan saya dengan Raisuddin?” ujar bekas penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta tersebut.
Katanya lagi, perkara itu pernah berlaku dalam keluarganya apabila ayahnya menghalang percintaan seorang anggota keluarga.
Ketika diminta untuk mendedahkan nama anggota keluarga tersebut, Siti Fatimah kelihatan tidak selesa untuk berbuat demikian kerana enggan perkara itu disiarkan di akhbar selepas menyedari terdapat wartawan di galeri awam mahkamah.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Zainor Rashid Hassin berkata, saksi perlu menjawab soalan yang diajukan oleh peguam.
“Emak saudara,” jawab Siti Fatimah.
Pada keterangan lain, wanita bertubuh kecil itu juga memberitahu bahawa tindakan bernikah di negara jiran juga dibuat kerana status Raisuddin yang merupakan seorang artis.
Malah, dia juga memberitahu, mengikut perancangan asal, mereka mahu bernikah di Perak, sebelum membatalkan niat tersebut.
Siti Fatimah juga memberitahu, selepas berkahwin, kehidupannya dengan Raisuddin bahagia.
“Jika permohonan plaintif (ayahnya) untuk membubarkan perkahwinan ini dibenarkan, kami terpaksa berpisah dan ini akan mendatangkan kemudaratan kepada saya kerana saya sayangkan Raisuddin,” tambahnya.
Dia juga berkata, dia yakin pernikahan tersebut adalah sah mengikut hukum syarak berdasarkan surat nikah diperoleh dari Islamic Community of Songkhla, Thailand yang disahkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan dari Pejabat Agama Islam, Gombak Timur.
Siti Fatimah, 24, sedang memberi keterangan dalam permohonan Suberi untuk membubarkan pernikahan tersebut mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.
Permohonan itu didengar serentak dengan permohonan Raisuddin, 54, yang merupakan bapa kepada penyanyi, Siti Sarah untuk mengesahkan pernikahan tersebut yang berlaku di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.
Suberi, 51, tidak menghadiri perbicaraan pada hari ini kerana difahamkan mengalami masalah kesihatan dam diwakili oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.
Perbicaraan akan disambung pada 20 Disember depan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan