Home »
» Raja-Raja usah dengar cakap Umno saja
Raja-Raja usah dengar cakap Umno saja
Written By canang on Jumaat, 5 Ogos 2011 | 8/05/2011 06:00:00 PTG
MINGGU ini Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menekankan dalam titahnya betapa perlunya Raja-Raja Melayu mempunyai penasihat yang berani menyatakan kebenaran.
Berucap dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam baru-baru ini, Raja Nazri mahu Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.
"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda seperti yang dilapor Bernama.
Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.
"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.
Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.
"Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin.
Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.
Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai.
"Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda.
Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara.
Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam.
"Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda.
Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.
Meneliti apa yang ditekankan Raja Nazri, pada hemat saya, saranan baginda harus diimplementasikan dari kalangan golongan istana terlebih dahulu. Ini kerana Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam. Raja-Raja juga harus memerintah yang adil dan bijaksana. Raja-Raja juga harus menjadi contoh dan teladan terbaik untuk diikuti oleh rakyat jelata.
Ada dua elemen penting yang menentukan sama ada saranan Raja Muda Perak diambil kira atau tidak. Pertamanya ialah sikap Raja-Raja Melayu itu sendiri, yang harus kekal berkecuali. Kedua, Raja-Raja tidak seharusnya bergantung bulat-bulat kepada penasihat-penasihat sebelah pihak, khususnya Umno-Barisan Nasional sebagaimana yang dilihat rakyat kebanyakan.
Jika Raja-Raja tidak mempunyai sifat yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Raja Nazrin, jangan sesekali dipersalahkan, jika rakyat mempunyai persepsi yang negatif terhadap institusi Diraja. Raja-Raja harus membuka minda untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum baginda memutuskan tentang sesuatu perkara.
Yang menjadi punca di sini ialah Umno-BN. Kerakusan mereka di Perak pada Februari 2009 misalnya, menjadi antara punca utama rakyat semakin tidak selesa dengan institusi istana.
Dalam soal masa depan Melayu misalnya, kebimbangan Raja-Raja Melayu adalah amat wajar ditujukan kepada kegagalan Umno selama lebih 60 tahun berkuasa dalam negara, tetapi kedudukan ekonomi bangsa Melayu terhakis, bahasa Melayu semakin terancam dan sebagainya.
Begitu juga dalam soal Perhimpunan Bersih 2.0. Sepatutnya Raja-Raja Melayu tidak boleh campurtangan dan bersikap adil sebagaimana contoh yang ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Namun, rakyat boleh melihat dan membaca dengan jelas terdapat kenyataan pihak istana yang menghentam Bersih 2.0 berikutan eksploitasi yang diadu-domba oleh media talibarut Umno-BN.
Oleh kerana itu, jika Raja-Raja Melayu hendak bersikap adil dan dilihat adil serta bijaksana, jika Raja-Raja mahu negara aman dan damai, mereka tidak harus mendengar nasihat Umno-BN secara bulat-bulat dalam isu berkaitan agama, politik, perkauman dan sebagainya.
Raja-Raja harus mendapat pandangan kedua tentang sesuatu isu yang dianggap sensitif terutamanya daripada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mewakili suara rakyat yang besar. Raja-Raja tidak perlu menunggu memorandum daripada rakyat.
Pada bila-bila Raja-Raja boleh memanggil pemimpin Pakatan Rakyat ke istana. Pakatan Rakyat akan memberikan sepenuh kerjasama kepada institusi Diraja kerana, kami mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dengan aman, tiada kekacauan.
Pakatan Rakyat mahu kerjasama semua pihak termasuk istana, tentera, polis dan jentera kerajaan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dipelihara sebaiknya. Daulat Tuanku.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan