Home » » 240 ADUN BN berkampung di Selangor

240 ADUN BN berkampung di Selangor

Written By canang on Khamis, 22 September 2011 | 9/22/2011 11:24:00 PTG


Seramai 240 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara berkampung di 45 kawasan DUN di negeri Selangor selama tiga hari bermula hari ini dalam rangka perhimpunan dwitahunan ADUN-ADUN BN (BNBBC).

Perasmian program itu dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan pasar raya besar Tesco Kuala Selangor pada pukul 8.30 malam esok.

Sepanjang program tersebut, seramai 150 orang ADUN BN akan turun padang dan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing melibatkan sebanyak 73 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh negeri ini.

Program tersebut dilihat sebagai satu penggemblengan secara serius BN bagi menawan hati rakyat negeri ini sekali gus mengembalikan semula tampuk pemerintahan negeri ke tangan BN melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Nadzri Ismail berkata, melalui program perkampungan tersebut, semua ADUN yang terlibat berpeluang menyelami masalah rakyat secara dekat selain memberikan penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

''Program itu juga dapat merapatkan lagi hubungan di kalangan ADUN-ADUN BN dan menggabungkan idea dalam menyelesaikan masalah rakyat.

''Ini akan dapat menambahkan lagi kekuatan ADUN-ADUN BN dan kita akan memberikan fokus kepada 45 kawasan DUN di Selangor bagi membolehkan BN kembali menerajui pentadbiran negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Selangor di sini hari ini.

Program perkampungan BNBBC itu bermula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat di seluruh 73 PDM membabitkan 20 kawasan Parlimen di Selangor malam ini.

Keesokannya, mereka akan bersarapan bersama keluarga angkat dan kemudian bertolak ke Kuala Selangor bagi menghadiri ceramah yang akan disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk Peranan dan Cabaran Terkini Wakil Rakyat pada pukul 3 petang esok.

Selepas majlis perasmian perhimpunan itu dan jamuan makan malam bersama Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat tersebut akan menghadiri sesi dialog tertutup bersama Perdana Menteri di Bangunan UMNO Kuala Selangor dekat sini.

Perasmian penutup pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang pada Jumaat ini.

Nadzri yang juga ADUN Manjoi, Perak berkata, perkampungan tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada kesemua ADUN BN supaya mempelajari cara menghadapi keadaan sekiranya mereka tidak lagi menjadi pemerintah sebagaimana berlaku di Selangor
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger