Home »
» Arifin diharap dapat bersihkan badan kehakiman
Arifin diharap dapat bersihkan badan kehakiman
Written By canang on Selasa, 6 September 2011 | 9/06/2011 11:12:00 PTG
Perlantikan Tan Sri Arifin Zakaria sebagai Ketua Hakim yang baru diharapkan dapat membersihkan kekotoran badan kehakiman negara.
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berharap Arifin dapat membebaskan institusi kehakiman daripada dibelenggu oleh mana-mana pihak termasuk daripada pihak kerajaan sendiri.
“Rakyat mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat Ketua Hakim Negara yang baru untuk bertindak secara bebas dan berkecuali dalam membawa seluruh anggota kehakimannya dalam mendokong suatu keadilan yang hakiki,” ujar pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya Juham mengucapkan tahniah di atas perlantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, bagi menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.
Tambahnya, tahniah juga diucapkan kepada Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang telah dilantik sebagai Hakim Besar Malaya dan Tan Sri Md Raus Shariff yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baru.
“Juham berharap agar proses transisi ini dapat menyokong hasrat murni seluruh rakyat Malaysia yang ingin melihat Ketua Hakim Negara yang baru ini dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman Negara, setelah tercalar teruk sejak peristiwa hitam pemecatan Ketua Hakim Negara , Tun Salleh Abas pada tahun 1988,” ujarnya.
Menurutnya, sistem pemisahan kuasa (separation of powers) di negara ini telahpun membahagikan 3 teras utama dalam menggerakkan kerajaan; iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya ketiga-tiga badan itu bertindak mengikut landasan dan sempadan masing-masing, maka rakyat tentunya akan menikmati suatu sistem yang aman, adil dan saksama.
Namun, ujarnya sekiranya ketiga-tiga badan itu bertindak di luar sempadan masing-masing, maka kerajaan sudah pasti tidak dapat lari daripada berhadapan dengan korupsi dan segala bentuk penyelewengan yang bakal menjahanamkan pentadbiran negara dan mencemar kredibiliti serta kebebasan Badan Kehakiman itu sendiri.
“Sekiranya ini berlaku, yang menjadi mangsanya ialah rakyat yang tidak punya kuasa melainkan hanya mampu menuruti pembohongan dan tipu daya kerajaan,” katanya lagi.
Oleh itu, tambahnya institusi kehakiman bukan hanya perlu berlaku adil tetapi ia juga perlu dilihat berlaku adil dan berkecuali kerana ia menjadi benteng terakhir rakyat dalam mendapatkan keadilan menerusi sistem perundangan yang dijamin oleh Perlembagaan.
Beliau berkata, jika kepercayaan rakyat dikhianati, maka semestinya rakyat tidak akan lagi percaya kepada apa sahaja yang dikatakan mahupun dilaksanakan oleh badan kehakiman.
“Jika ini terjadi, maka integriti Badan Kehakiman akan terus dipersoalkan oleh rakyat dan menjadi bahan lawak jenaka masyarakat antarabangsa,” ujarnya.
Pelabur-pelabur asing juga, katanya akan turut menjauhkan diri apabila sistem kehakiman negara tidak langsung berwibawa dan boleh dipercayai, malah tidak ubah seperti “mahkamah kangaroo” semata-mata.
Katanya, kebimbangan rakyat ini ternyata berasas melihat kepada perlakuan double standard dalam beberapa kes yang melbatkan kepentingan kerajaan atau Umno, dibandingkan dengan kes-kes yang melibatkan kerajaan atau pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Menurutnya lagi, insiden klip-video VK Lingam masih belum pulih sepenuhnya dan kepercayaan wujudnya tangan-tangan ghaib dalam mengatur dan mengganggu-gugat perjalanan sesuatu perbicaraan mahkamah masih terus menghantui sistem kehakiman negara.
“Badan kehakiman bukanlah milik Umno BN atau sesiapa sahaja yang memerintah negara sebaliknya, ia adalah milik mutlak rakyat dan menjadi tempat bergantung rakyat dalam mendapatkan suatu sistem perundangan yang adil.
“Oleh itu, Juham berharap agar segala kontroversi yang menyelubungi institusi Kehakiman Negara sebelum ini dapat diatasi segera dan kepercayaan rakyat terhadap Badan Kehakiman Negara dapat dipulihkan sepenuhnya,” ujarnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan