Home » » Impak renungan tajam

Impak renungan tajam

Written By canang on Jumaat, 23 September 2011 | 9/23/2011 06:00:00 PTG


MATA yang indah berasal daripada alis yang rapi manakala renungan tajam datangnya daripada sepasang mata menggoda.

Seperti kata pepatah, dari mata turun ke hati, justeru banyak cara dilakukan kaum Hawa agar aset yang satu itu sentiasa cantik dan mempesona. Antaranya dengan memberikan tumpuan kepada teknik solekan mata terutama dalam majlis perkahwinan.


SEBELUM...wajah model sebelum disolek. Memiliki kulit sawo matang tidak menjadi masalah untuk solekan ala Timur Tengah kerana warna kulit tidak penting.

SAPU...sapuan bedak asas terpenting dalam solekan. Mampu melindungi kulit daripada kesan celaan serta parut jerawat.

PEMERAH PIPI...selain mata, pemerah pipi juga memainkan peranan penting. Pilih rona merah jambu dan sapu daripada tulang pipi ke bawah.


MATA...gaya solekan Arab terserlah menerusi pembayang mata rona gelap serta sapuan alis tebal, gelap dan hitam memberikan kesan menyerlah terutama bagi pengantin mengenakan niqab.


PENGANTIN ARAB...selain solekan, padanan busana turut mempengaruhi penampilan. Gaun rona putih bertingkat dengan sedikit manik bahagian hadapan menyerlahkan keanggunan mempelai.

Lantaran itu, ramai wanita kini semakin galak memilih tema Arab dalam perkahwinan mereka. Ini kerana selain pakaian yang melatari tema padang pasir, solekan adalah unsur terpenting yang menyerlahkan lagi kejelitaan wanita.

Ramai sedia maklum, solekan wanita Arab terutama pada bahagian mata dilatari warna gelap seperti hitam, hijau pekat, biru gelap, tembaga, coklat, keemasan dan diakhiri dengan calitan serdak emas atau perak pada bahagian kelopak mata.


Solekan yang tampil menyerlah ini bersesuaian bagi mempelai yang hadir dengan gaya berniqab iaitu hanya menampakkan sepasang mata saja. Walaupun tanpa mainan warna ceria, solekan wanita padang pasir mampu menyerlahkan keanggunan wajah.


Menurut jurusolek profesional Kelrina House of Fashion, Kelrina Md, ciri utama gaya solekan wanita Timur Tengah adalah pada calitan celak bersayap pada penjuru mata seperti mana solekan mata kucing dan teknik solekan smokey pada kelopak mata bagi memberikan impak renungan tajam umpama wanita Arab.

“Kebanyakan wanita Arab memiliki mata dalam justeru bagi menyerlahkan penampilan mereka, solekan menggunakan rona gelap mampu membangkitkan keserian mempelai apatah lagi apabila dikenakan dengan busana bersesuaian,” katanya.

Selain itu solekan mata akan lebih menyerlah sekiranya mempelai mempunyai alis yang rapi dan cantik. Ini bererti mereka mempunyai lengkungan alis yang menawan, hitam serta berbulu lebat. Namun tidak ramai wanita memilikinya, kebanyakannya gemar mencabut sehingga nipis dan membentuknya sendiri.

Menurut Kelrina, meskipun mempelai mempunyai alis yang nipis ini bukan bererti mereka harus membiarkannya tumbuh berselerak.

“Apa yang perlu dilakukan adalah merapikan bahagian yang berselerak. Kemudian gunakan warna celak bersesuaian dengan rona kulit. Misalnya jika kulit
cerah, gunakan celak coklat muda, jika kulit sawo matang gunakan warna agak gelap atau coklat manakala jika berkulit hitam, gunakan warna celak keabuan,” jelasnya.

Pelengkap solekan bertemakan padang pasir ini tentunya pada paduan warna gincu bagi mengimbangi warna gelap pada kelopak mata. Gincu tidak boleh terlalu terang atau gelap, sebaiknya pilih warna merah pucat supaya bahagian mata lebih menonjol.

Selain itu, jangan dilupa pada penyamar noda yang mampu melindungi kesan celaan pada wajah seperti bekas jerawat dan bintik hitam. Pastikan rona
dipilih lebih cerah daripada bedak asas. Sapuan bedak asas pula tidak perlu terlalu tebal. Bagi mendapatkan sapuan yang rata, guna berus besar bukannya span wajah.

Akhir sekali, jangan lupa pada maskara yang memberi kesan lebih menonjol pada mata kemudian sapukan kilatan pada kelopak mata bagi menjelmakan gaya mempelai wanita Timur Tengah.



Cara membentuk alis


1. Anda boleh menebalkan alis menggunakan bantuan celak. Tetapi pastikan anda melakukannya selepas memakai bedak asas bagi memberikan kemasan pada solekan.

2. Tebalkan lengkungan alis menggunakan celak yang tajam dengan meniru struktur alis anda. Samarkan bahagian yang tidak ditumbuhi rambut dengan bedak yang warnanya lebih terang daripada warna alis anda.

3. Elak menggunakan celak yang tumpul atau terlalu lembik kerana akan menghasilkan garisan yang tidak rata atau ketebalannya tidak sekata.

4. Jika ada bahagian yang tebalnya tidak sekata, sebaiknya gunakan putik kapas yang sudah dioleskan bedak asas kemudian rapikan menggunakan bedak.

5. Sekiranya alis anda tidak tebal, dengan bantuan celak, bentukkannya kemudian tambahkan maskara bagi memberikan kesan lebih dramatik
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger