Home » » Isteriku gangster

Isteriku gangster

Written By canang on Jumaat, 23 September 2011 | 9/23/2011 02:00:00 PTG


Bukan karya ciplak

MELIHAT kepada judulnya iaitu Bini-Biniku Gangster, ada yang membuat andaian filem ketiga arahan Ismail Bob Hasim ini mempunyai persamaan dengan filem Korea arahan Cho Ji-gyu, My Wife Is A Gangster pada tahun 2001.
Tertanya-tanya juga apakah penulis skrip asal filem ini yang juga pelakon utamanya iaitu Yana Samsuddin menciplak filem yang dibintangi Park Sang-myeon, Ahn Jae-mo dan Kim In-kwon.
Kalau benar dia menciplak, apa tujuannya dia berbuat begitu. Adakah pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini sudah ketandusan idea sehingga sanggup melakukan sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan seorang anak seni sepertinya.

Diajukan pertanyaan ini ketika pratonton Bini Biniku Gangster di Cathay Cineleisure, The Curve, Yana menafikan skrip filem itu karya ciplak.

“Saya mula menulis skrip filem ini sekitar 2007 dan ia diangkat dari sebuah kisah benar membabitkan seorang isteri yang mengizinkan suaminya berkahwin seorang lagi. Pada masa itu, saya terfikir apa yang akan terjadi apabila seorang isteri memberi keizinan untuk suaminya bernikah lagi.

“Selain itu, saya juga ingin menunjukkan kepada penonton apa yang isteri lakukan, apabila suami pergi kerja. Bagaimanapun, selepas bertemu dengan Fadzil Bahri yang juga penulis bersama skrip ini, barulah skrip ini dirombak dan diselitkan babak aksi di dalamnya.
“Lagipun saya memang sukakan filem aksi dan dari situlah terhasil lah skrip filem Bini-Biniku Gangster,” kata Yana yang memegang watak sebagai Manja, seorang ketua kongsi gelap dalam filem itu.

Tambahnya, sebagai pencinta filem aksi, adalah menjadi hasratnya untuk menghasilkan filem seperti itu.

“Mungkin ini adalah permulaan bagi saya untuk mengarahkan filem berbentuk aksi kerana itulah impian saya sejak dulu lagi,” jelasnya lagi.

Selain menjadi penulis skrip, filem itu juga menyaksikan buat julung kalinya Yana melakonkan watak utama. Sebelum ini, di dalam sejarah pembabitannya dalam dunia, kebanyakan wataknya hanya tertumpu kepada pelakon pembantu saja.

“Sejujurnya, sewaktu menulis skrip filem itu, saya mengimpikan watak Reanna. Bagaimanapun, selepas melihat skrip filem itu, pengarah meminta saya membawakan watak Manja.

“Terus terang, apabila ditawarkan watak utama, saya menjadi takut. Bimbang tidak dapat merealisasikan watak Manja seperti yang diharapkan,” katanya yang turut tersenarai di dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG.

Sebagai Manja, Yana perlu melakukan banyak babak pergaduhan membabitkan fizikal. Dan diakui, selepas menonton filem itu, dia adalah pelakon yang cukup hebat melakonkan watak aksi.

“Untuk babak pertarungan ini, ada yang saya lakukan sendiri dan ada juga yang membabitkan pelakon lagak ngeri.Saya memang tiada kemahiran langsung dalam seni mempertahankan diri ini.Apa yang saya lakukan adalah mengikut apa saja arahan yang diminta pengarah khususnya dalam babak itu.

“Mujurlah pengalaman berlakon babak aksi dalam filem Kongsi sebelum ini turut membantu saya untuk menghidupkan babak pertarungan ini,” katanya.


Intan cedera ketika bertarung

TURUT memegang watak sebagai Ketua Gangster bernama Reanna adalah Intan Ladyana.

Dalam filem ini juga, buat pertama kalinya Intan melakonkan babak aksi yang sedikit ganas, berbeza dengan penampilan sehariannya yang penuh kelembutan itu.

Kata Intan, untuk melakonkan babak itu, selain menonton filem yang mempunyai genre aksi, memiliki kemahiran seni mempertahankan diri juga banyak membantunya.

“Saya banyak juga membuat rujukan dengan menonton filem aksi membabitkan wanita seperti Tomb Rider dan Resident Evil. Selain itu kebolehan dalam seni mempertahankan diri Muay Thai dan Kickboxing juga banyak membantu saya untuk menghidupkan babak pertarungan itu,” katanya yang mula mempelajari Muay Thai ketika usianya 18 tahun.

Pun begitu, walaupun ada asas seni mempertahankan diri, namun kecederaan masih menimpa teman wanita kepada pelakon Kamal Adli ini.

“Biasalah, ada juga lebam dan calar sana sini, tapi saya okey saja,” tuturnya.

Sementara itu, ketika mengulas pembikinan filem aksi komedi ini, Bob berkata memandangkan watak gangster dalam filem ini adalah wanita, maka dia perlu lebih berhati-hati.

“Saya akui sedikit mencabar kerana dalam filem ini pelakon wanitanya banyak melakonkan babak pertarungan. Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya untuk meminimumkan corak pertarungan supaya tidak ada sesiapa yang tercedera.

Ditanya apakah akan ada kontroversi yang akan timbul apabila sekali lagi babak samseng, kongsi gelap dipaparkan, Bob berkata perkara itu tak akan timbul memandangkan ia adalah sebuah filem komedi.

“Kami membuat perubahan dari segi nama watak seperti Kak Yong dan beberapa perkara lain. Filem ini adalah bergenre aksi komedi dan bukanlah sebuah kisah gangster yang serius.Jadi saya yakin penonton boleh terima,” katanya.

Turut membintangi filem ini ialah Shaheizy Sam, Zalif Sidek, Zul Suphia’an, Boy Iman, Aman Shah, Hamid Gurkha dan Delimawati.Ia bakal menemui penonton di pawagam mulai hari ini.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger