Home » » Isu Bukit Kepong: Mat Sabu ditahan oleh polis

Isu Bukit Kepong: Mat Sabu ditahan oleh polis

Written By canang on Rabu, 21 September 2011 | 9/21/2011 08:46:00 PG


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, ditahan untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub (kiri), berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.
Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah diTasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Petang tadi, peguam pemimpin PAS itu, Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.

Ini berikutan ucapannya berhubung isu Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong yang akan dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger