Home » » Nafsu tidak kenal siapa

Nafsu tidak kenal siapa

Written By canang on Sabtu, 3 September 2011 | 9/03/2011 11:00:00 PG


TANGGAL 22 Ramadan lalu menyaksikan seorang lagi bayi luar nikah dilahirkan. Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun di sebuah sekolah agama di Tumpat, Kelantan, dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas sebelum membawanya ke bilik asrama sekolah.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari seorang pekerja sekolah berkenaan yang terdengar tangisan bayi sebelum memanggil rakan memeriksa bilik asrama sebelum menemui bayi lelaki yang masih bertali pusat di atas katil bersama ibunya.
Pelajar terbabit dikatakan pernah mengadu sakit perut pada malam sebelum kejadian, tetapi dia mendakwa hanya senggugut.

Barangkali, ada yang terkejut dengan berita itu. Hakikatnya ramai tidak terkejut kerana sudah berlambak kes melahirkan anak luar nikah sehingga tidak lagi menyentuh hati nurani.


Bagaimanapun, di sebalik kejadian berkenaan, kita mampu menarik nafas lega apabila bayi dilahirkan selamat tanpa dibuang, ditinggalkan di depan pintu rumah, masjid atau surau. Jika tidak, semakin bertambah jumlah kes pembuangan bayi.



Sukar untuk dibuat kesimpulan bagaimana pelajar itu menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan sesiapa, termasuk ibu bapanya.

Bukan pelajar itu saja, banyak lagi kes membabitkan kelahiran anak luar nikah bermula dan berakhir dengan ‘jayanya’ apabila kehamilan berjaya disembunyikan.

Penulis ada pengalaman menemu bual seorang remaja berusia 16 tahun yang berjaya menyembunyikan kehamilannya. Hanya tinggal beberapa minggu hendak melahirkan bayi luar nikah dikandung, barulah ibu bapanya sedar anak kesayangan mereka mengandung.

Ditanya bagaimana dia menyembunyikan kehamilannya, jawapan diberi mudah - buat selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan memakai pakaian bersaiz besar bagi menyembunyikan perut yang semakin membesar. Pada masa sama dia memberitahu, badannya yang kecil dan kurus memudahkannya menyembunyikan kehamilan.

Mujur, ibu bapanya ‘bangkit daripada lena’ selepas mengesyaki ada yang tidak kena dengan anak mereka yang semakin lama kelihatan letih dan tidak bermaya sebelum mendesak supaya diceritakan apa sebenarnya berlaku.

Memanglah nasi sudah menjadi bubur, tetapi sekurang-kurangnya apabila mengetahui anak mengandung luar nikah, perhatian perlu diberikan bagi mengelak tindakan di luar kawalan seperti membuang bayi yang dilahirkan.

Justeru, ibu bapa seharusnya jangan alpa. Menjaga anak zaman sekarang perlukan ketelitian dan manfaatkan sepenuhnya kuasa ‘veto’ yang ada bagi mengesan sebarang perubahan pada anak.

Bukan sesuatu yang mustahil, anak yang dididik dengan ajaran agama, dihantar ke sekolah agama dan diberikan kasih sayang secukupnya boleh terjebak dalam kancah hamil luar nikah.

Lambakan kes hamil luar nikah seharusnya memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa nafsu itu tidak mengenal sesiapa.

Betapa tidak, berdasarkan statistik, sejumlah 235,000 bayi atau sembilan peratus daripada keseluruhan 2.48 juta kelahiran yang didaftarkan antara 2006 hingga 2010 adalah bayi luar nikah dan daripada jumlah itu, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam.

Malah, kelahiran bayi luar nikah itu terus meningkat apabila pada 2006, jumlahnya 38,300 orang manakala pada 2010 pula 53,000 orang, meningkat 38 peratus dengan 17,000 orang adalah Islam.

Memetik kata-kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, jangan terlalu percayakan dan sayang anak membuta tuli kerana apabila berlaku perkara tidak diingini nanti menyesal tak sudah.

Seperkara lagi Yahya turut menegaskan kesilapan ibu bapa yang menerima konsep berdua-duaan dan bercinta sebagai satu budaya yang membuka jalan kepada perlakuan seks.

“Mereka (ibu bapa) seolah-olah membuka jalan kepada anak untuk berbuat demikian. Bukan saja membenarkan mereka bercinta, malah tidak kisah jika anak itu mahu berdua-duaan.

“Jika ibu bapa tidak mengendahkan perbuatan anak mereka, ia secara tidak langsung mendedahkan anak terbabit kepada gejala negatif,” katanya.

Selain peranan ibu bapa, Yahya turut mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.

“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.

“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada mereka terbabit dengan gejala negatif itu. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya.

Sememangnya hukuman satu pendekatan berkesan yang boleh dipraktikkan. Pelaku seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah sudah lama diberi ‘muka’ sehingga tiada perasaan takut untuk orang lain melakukan perbuatan sama.

Dalam fikiran mereka, tiada masalah jika terbabit seks bebas kerana tiada apa-apa tindakan dikenakan. Apa yang perlu dilalui hanyalah menanggung malu sehingga bukan lagi satu keanehan apabila media melaporkan ada wanita berulang kali hamil anak luar nikah.

Kebiasaannya yang menanggung beban adalah wanita, manakala si ‘jantan jongos’ yang bertanggungjawab membuntingkan mangsanya, kebanyakannya ‘lepas tangan’ dan hilang begitu saja.

Sebab itu, kita setuju dengan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu lelaki atau pasangan yang menjadi punca kepada wanita hamil luar nikah turut bertanggungjawab.

“Apabila timbul masalah ini (anak luar nikah), yang dipersalahkan hanya wanita. Saya nak tanya, siapa bapanya (anak luar nikah itu), di mana mereka...jangan hanya salahkan wanita.

“Jangan lepas tangan sehingga wanita saja yang menanggung derita. Sebab itu apabila berlaku masalah seperti ini, lelaki yang menjadi punca perlu turut dicari dan bertanggungjawab terhadap apa dilakukan,” katanya.

Kita sudah melihat wanita yang terbabit dalam kes pembuangan bayi menerima hukuman, tetapi lelaki yang terbabit dalam kes kehamilan luar nikah tersenyum lebar kerana mereka ada beberapa pilihan seperti melarikan diri atau mengahwini mangsa.

Justeru, lakukanlah sesuatu supaya timbul perasaan gerun. Bukan saja kepada lelaki, tetapi si wanita juga perlu dihukum sama sebagai satu pengajaran yang boleh dikenang sampai bila-bila.

Jika berlaku kes hamil luar nikah, dedahkan segera tindakan yang bakal diambil. Mengambil contoh kes pelajar berusia 18 tahun yang melahirkan anak luar nikah di sekolahnya di Tumpat, Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tumpat segera membuka kertas siasatan.

Pegawai Agama Tumpat, Mohd Naim Ghazali, berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pelajar berusia 18 tahun itu dan pihak sekolah.

Katanya, jika diperlukan, pihak jabatan akan turut mengambil keterangan daripada ibu bapanya bagi melancarkan siasatan kes itu.

“Jika sabit kesalahan, pelajar perempuan itu boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985,” katanya.

Kepada pihak berkuasa, jangan takut untuk mendedahkan kerja yang dilakukan kerana ia bukan soal menunjuk-nunjuk, tetapi ia satu tugas mulia yang perlu dilaksanakan. Biar ia jadi pengajaran supaya sesiapa yang kini sudah ada bibit-bibit ke arah pelakuan seks bebas, sedar diri.


Penulis Ketua Biro Harian Metro Kelantan


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger