Home »
» Jenayah Qazaf bagi pemfitnah- ABIM
Jenayah Qazaf bagi pemfitnah- ABIM
Written By canang on Selasa, 4 Oktober 2011 | 10/04/2011 09:28:00 PG
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengingatkan sebarang fitnah yang tidak dapat dibuktikan menerusi saluran perundangan syariah, akan meletakkan seseorang yang mendakwa itu dalam kesalahan jenayah qazaf.
Presidennya Dr Muhamad Razak Idris berkata, hal itu selari prinsip utama Maqasid Syariah atau tujuan Undang-undang Islam bagi melindungi maruah individu dan memelihara hubungan antara manusia, seperti yang digaris dalam Al Quran dan Sunnah.
“Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang
dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping ikrar daripada individu yang dituduh.
“Tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan,” kata Dr Muhamad Razak Idris dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas isu pendedahan rakaman seks yang kononnya dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhamad Razak berkata, menafikan hak seseorang individu yang didakwa membela diri akan meletakkan pihak yang menuduh dalam hukuman jenayah Qazaf.
Malah tegas beliau, dalam konteks perundangan sivil sekalipun, seseorang yang didakwa mempunyai hak untuk dibicarakan dan membela diri.
“Bahkan sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau juga berkata, ABIM juga meminta sebarang perbincangan dan perbicaraan kes dilaksanakan menerusi prosedur perundangan yang telah ditetapkan, di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
setuju tu, ni mahkamah syariah asyik bicara kes khalwat dan tuntutan cerai dan macam-macam lagi, lebih dari tu tak ada dalam kamus mereka, kemudian campak ke sivil pula. apa ni? mana cerdik pandai kita?
Catat Ulasan