Home » » Mangsa hamba seks

Mangsa hamba seks

Written By canang on Selasa, 25 Oktober 2011 | 10/25/2011 03:12:00 PTG


APABILA melihat kepada kemesraan antara dramatis, Tiz Zaqyah dan aktres baru, Izara Aishah yang kali pertama digandingkan sebagai penghias muka depan B*POP, mereka serasi seolah-olah sudah lama mengenali satu sama lain. Tapi itu hanya luarannya saja, padahal Izara yang baru mengenali dunia lakonan sejak Mac lalu dalam diam rupa-rupanya cuba menjatuhkan Tiz kerana menganggap seniornya itu sebagai perampas kebahagiaan yang sedang dibinanya.
Namun, itu hanyalah secebis kisah yang cuba dipaparkan menerusi drama bersiri terbaru TV3, Soffiya yang mula bersiaran sejak 21 September lalu menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 hingga 8 malam. Selain Tiz dan Izara, drama terbitan Filmscape Sdn Bhd itu turut dibarisi Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Syazwan Zulkifli, Hilal Azman dan Aisyah Atan. Drama 28 episod itu ini diarahkan Joeza Rasidi.

Pastinya, pemenang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, Tiz diberi watak utama sebagai Soffiya. Soffiya yang dikenali sebagai Yaya tinggal di kampung, namun dia mengalami trauma akibat menjadi hamba seks bapanya sendiri. Tidak tahan dengan kerakusan itu, Yaya membunuh bapanya lalu dia ditempatkan di pusat pemulihan juvana.

Apabila dewasa dan mendirikan perkahwinan, Yaya dibenci oleh anak tirinya, Fiona (lakonan Izara) kerana suami Fiona, Ilyas (Fizo Omar) adalah cinta pertama Soffiya yang turut bertindak sebagai peguam bela menyelamatkan Soffiya daripada hukuman bunuh.

“Ini kali pertama saya menjayakan watak ekstrem, dirogol dan ia satu pengalaman baru. Namun, bukan mudah menjayakan atau menghayati watak Soffiya. Perlu bermain perasaan dalaman dan ekspresi muka. Tapi, saya seronok bekerja dengan Izara. Walaupun dia baru, tapi beliau ‘memberi’ setiap kali kami beraksi di depan kamera.

“Bagi saya, Izara seorang pelakon, dia bukan selebriti yang semata-mata berwajah cantik, sekadar menjadi pelaris majalah hiburan atau akhbar. Saya senang bekerja dengannya. Tambahan pula kami satu kepala, memudahkan lagi kerja pengarah. Secara peribadi pula, saya berpendapat Izara bukan seorang pelakon yang orang kata control cun, tapi dia sentiasa menjadi dirinya sendiri,” kata Tiz.
Beralih kepada soal peribadi Tiz bersama aktor Remy Ishak, sehingga hari ini belum ada sebarang pengakuan daripada mereka mengesahkan kedua-duanya adalah pasangan kekasih, walhal semua orang tahu mereka sedang menyulam cinta, maka terdengar desas-desus pasangan berkenaan bersikap hipokrit apabila berbicara mengenai status perhubungan masing-masing.

Kata Tiz, dia bukannya tidak berani untuk berterus-terang mengenai hubungannya bersama Remy, tapi sehingga saat ini beliau belum bersedia memberi ungkapan cinta untuk menterjemahkan hubungannya bersama Remy kerana mereka belum ada sebarang perancangan untuk menuju ke gerbang perkahwinan.

Akui rapat dengan Remy

“Saya bukannya tak nak mengaku bercinta dengan Remy, tapi jika belum ada sebarang pengesahan, bila nak kahwin, saya tak berani cakap apa-apa, saya malu sekiranya dah pukul canang kami bercinta, di penghujungnya kami tak jadi kahwin. Jadi, saya hanya boleh katakan, ketika ini saya memang berkawan rapat dengan Remy. Dia ada sifat seorang lelaki yang memenuhi cita rasa saya.

“Remy juga memiliki kualiti seorang ketua, jadi saya nampak dalam dirinya memang ada ciri-ciri seorang suami, itu yang membuatkan kami serasi,” akui Tiz.

Sebelum ini tersebar gosip di beberapa akhbar, kononnya Tiz membawa bekal makanan untuk Remy ke lokasi penggambarannya. Mereka makan bersuap-suap apabila kemesraan itu disaksikan artis, selain kru produksi.

“Saya tak pernah bawa bekal makanan untuk Remy ke set penggambarannya, jadi dakwaan yang mengatakan kami makan bersuap-suap tu, mana datangnya? Saya akui, memang pernah ke lokasi penggambaran filem Azazil sebelum ini dan makan bersama Remy, tapi kami tak pernah makan bersuap-suap pun... Kami takkan tunjuk kemesraan depan orang ramai, kami malu.

“Pun begitu, sekiranya kami makan berdua saja, saya mengaku pernah suap Remy, begitu juga dengan dia. Bagi saya, makan bersuap ni perkara biasa, lumrah. Kami nak rasa makanan masing-masing, bukannya nak feeling sangat pun...,” kata Tiz berterus-terang.

Tambah Tiz, disebabkan kemesraan yang terpancar antara mereka, bukannya dia dan Remy tidak mahu mengaku bercinta, tapi kepada sesiapa yang mengikuti perkembangan kedua-duanya di Twitter mahupun Facebook (FB), semua orang boleh membuat andaian sendiri, bagaimana status perhubungan mereka sebenarnya, jadi tak perlulah terbit kenyataan secara terang-terangan daripada mereka. Memang mendalam maksud yang cuba disampaikan Tiz.

Nafi dendami Diana Danielle

Sebelum ini menerusi B*POP, ada gosip yang mendakwa Tiz ke lokasi penggambaran Azazil untuk menyaksikan babak romantik yang dilakonkan Remy bersama artis jelita, Diana Daniele. Khabarnya Tiz cemburu apabila melihat kemesraan kedua-duanya di monitor.

“Itu saya tak nafikan, memang saya ke lokasi Azazil melihat pembikinan babak romantik berkenaan, saya terkejut! Saya rasa orang lain juga akan faham bagaimana perasaan saya ketika itu. Tapi, sebagai artis, saya perlu bersikap profesional. Selepas hari itu, saya tak pernah rasa marah mahupun berdendam dengan Diana. Saya perlu menerima situasi berkenaan seadanya, istilah cemburu tidak pernah terbit dalam kamus anak seni.

“Namun, cemburu dalam percintaan memanglah ada, orang kata cemburu tanda sayang. Sebaliknya apabila membabitkan soal kerja, saya perlu buang perasaan itu jauh-jauh,” akuinya tanpa berselindung.

Seperkara lagi yang dianggap isu lama apabila gosip liar mendakwa Tiz dan Remy tinggal serumah di Ampang, Selangor terus diperkatakan di kalangan media massa dan peminat hingga hari ini. Lebih panas apabila pasangan berkenaan kononnya sedang diintai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diserbu.

“Gosip berkenaan saya dah tahu lama. Saya dah lali dengan isu itu, tapi nampaknya ia terus diperkatakan. Saya harap, kali ini biarlah yang terakhir saya membuat kenyataan, sekalipun saya dan Remy berkawan rapat, tapi kami tak pernah tinggal sebumbung! Justeru, saya harap isu ini tidak lagi diulang berkali-kali di media massa, cukup, saya tak mahu bercakap mengenai perkara yang tak pernah berlaku,” tegas Tiz.

Izara nafi benci bapa kandung

IZARA Aishah mengakui watak Fiona dijayakan dalam drama Soffiyah ibarat ‘kelas lakonan’ untuk memperkemaskan lagi mutu lakonannya.

“Inilah karakter paling susah pernah saya jayakan. Saya sentiasa bermain emosi apabila air mata menjadi teman setiap masa. Seronok bekerja dengan produksi ini, lebih-lebih lagi pelakon senior seperti Tiz Zaqyah dan Fizo Omar, selain pengarah banyak beri tunjuk ajar,” katanya menyifatkan Fiona membenci bapa kandungnya kerana menjadikan dirinya hamba seks sehingga tergamak membunuh anak sendiri.

Justeru, tersebar desas-desus dalam kehidupan realiti Izara, dia turut membenci bapa kandungnya kerana dikatakan pernah mengabaikan dirinya dan keluarga sejak beliau kecil, selain tidak pernah mendapat belaian kasih sayang seorang ayah. Kononnya juga dia keberatan meletakkan nama bapa kandungnya itu sebaris namanya setiap kali ditanya wartawan dan lebih selesa dikenali sebagai Izara Aishah saja.

“Saya tidak pernah membenci ayah kandung, tambahan pula saya mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada bapa tiri. Benar, ayah dan ibu saya berpisah ketika saya berumur dua tahun, tapi itu tidak boleh dijadikan alasan saya membencinya. Seingat saya, kali terakhir bertemu ayah ketika saya Darjah Satu dan sejak itu kami hanya berhubung menerusi telefon.

“Kali terakhir saya bercakap dengan ayah di telefon pada Aidilfitri lalu. Mengenai nama, memang saya tak mahu nama keluarga terbabit sama dalam kerjaya seni, biarlah saya dikenali dengan nama sendiri. Terus-terang, saya tak pernah membenci ayah. Saya berharap saya bertemunya suatu hati nanti, tambahan pula dia juga akan menjadi wali apabila saya kahwin nanti.

“Namun, saya tak dapat menyembunyikan perasaan ini, sebenarnya saya tawar hati dengan ayah sebab dah lama sangat tak berjumpa dengan dia, itu saja... bukan membenci dirinya,” kata Izara berterus terang.

Menerusi Soffiya, Fiona (Izara) berkahwin dengan Ilyas (Fizo) dan terkini ada khabar angin mendakwa, Izara dan Fizo dalam diam bermain cinta apabila perasaan itu berputik tanpa disedari kru produksi. Khabarnya, kedua-duanya pernah dilihat hadir ke sebuah pusat rekreasi berkuda di Ampang, baru-baru ini. Menurut sumber, Izara dan Fizo dilihat begitu mesra ketika sedang menikmati makan malam bersama.

“Saya dah ada teman lelakilah. Antara saya dan Fizo hanya kawan sesama rakan artis. Saya akui, pada hari itu memang Fizo mempelawa saya hadir ke pusat rekreasi itu dan sebagai kawan saya hanya datang memenuhi pelawaannya, itu saja. Tambahan pula, teman lelaki saya menghantar saya ke situ. Memang kami makan malam bersama, tapi taklah mesra seperti didakwa. Terus-terang, saya amat menyintai teman lelaki saya. Kami kenal sejak kecil. Tak mungkin cinta saya beralih arah kepada orang lain,” terang Izara.

Pada Anugerah Skrin 2011 pada 4 November ini yang bersiaran secara langsung di TV3, Izara dijangka menjadi seorang penyampai trofi untuk satu kategori dipertandingkan
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger