Remaja perempuan diperlaku sebagai hamba
MENGIKUT definisi, perkahwinan adalah hubungan sah di sisi undang-undang yang disempurnakan melalui upacara sivil atau keagamaan antara dua individu yang ingin tinggal bersama sebagai pasangan seksual dan serumah. Perkahwinan juga adalah asas kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Hanya melalui perkahwinan, lelaki dan perempuan boleh menjalinkan hubungan intim yang sah di sisi undang-undang.
Bagaimana pula definisi perkahwinan bawah umur? Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.
Adakah perkahwinan kanak-kanak ini masih wujud dalam dunia moden ini? Jawapannya, ya. Malah, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memberikan statistik mengejutkan iaitu dalam setiap tiga saat, ada seorang kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin.
Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Setiap tahun, dilaporkan kira-kira 10 juta kanak-kanak dipaksa berkahwin, dengan usia pengantin semuda lima tahun.
Angka itu bukan hanya mengejutkan malah paling ‘menyedihkan’ bagi kanak-kanak berkenaan kerana mereka tidak dapat menikmati kehidupan kanak-kanak yang aktif bermain, bergelak ketawa, belajar dan dibimbing orang dewasa.
Paling menyedihkan ada yang masih menyusu terpaksa memikul tanggungjawab sebagai isteri dan menjadi hamba kepada suami mereka dan sering mengalami penderaan seksual serta keganasan rumah tangga.
Ia bukan hanya mengerikan kepada kanak-kanak perempuan yang dipaksa ini, tetapi lebih menakutkan kerana mereka dipaksa untuk menjadi ibu pada usia muda. Adakah anda tahu bahawa punca utama kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 dan 19 adalah kerana bersalin.
Sama ada fizikal mahupun emosi bersedia untuk menjadi isteri dan ibu-ibu, anak-anak gadis ini adalah jauh lebih besar berisiko mengalami komplikasi berbahaya dalam mengandung dan melahirkan anak, menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS .
Ada juga kanak-kanak lelaki yang melalui perkahwinan awal, namun jumlahnya tidak ramai dan kesan perkahwinan itu tidak sama dengan apa dilalui kanak-kanak perempuan.
Perbandingan nisbah wanita muda yang berumur 15-19 yang telah berkahwin pada tahun 2003 berbanding kanak-kanak lelaki adalah 72 kanak-kanak perepmuan berbanding seorang budak lelaki di Mali, Amerika Syarikat 8:1 dan El Salvador (6:1).
Perkahwinan kanak-kanak adalah masalah yang benar-benar global yang merentasi negara, budaya, agama dan etnik. Pengantin kanak-kanak boleh ditemui di setiap rantau di dunia, dari Timur Tengah hingga ke Amerika Latin, Asia Selatan ke Eropah.
Namun mengikut statistik terkini UNICEF separuh daripada semua pengantin kanak-kanak dunia tinggal di Asia Selatan yang mana 46 peratus daripada kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum mereka mencapai usia 18.
Kadar perkahwinan kanak-kanak adalah 66 peratus di Bangladesh, Afghanistan (39 peratus), India (47 peratus), negara Sub-Sahara, Afrika (38 peratus) dan Amerika Latin serta negara di Caribbean (29 peratus ).
Lima negara-negara yang mempunyai kadar tertinggi perkahwinan kanak-kanak (diukur daripada peratusan wanita yang berumur 20-24 tahun yang telah berkahwin atau sebelum usia 18 tahun), negara di Afrika Utara iaitu Niger mencatatkan peratusan 75 peratus diikuti Chad (72 peratus), Mali (71 peratus ), Bangladesh (66 peratus) dan Guinea (63 peratus).
Apakah punca berlakunya perkahwinan muda terutama di negara membangun? Pertamanya adalah kemiskinan. Kebanyakan negara membangun rakyatnya miskin tegar, justeru mereka menyelesaikan masalah dengan menikahkan anak perempuan mereka kerana ia membolehkan ibu bapa mengurangkan perbelanjaan keluarga.
Dalam masyarakat yang mana wujud urus niaga ekonomi dalam proses perkahwinan atau ‘harga’ pengantin perempuan ditentukan melalui pemberian ‘mas kahwin’ maka mereka sering menjadi mangsa untuk dikahwinkan pada usia muda.
Tradisi juga menyebabkan kanak-kanak perempuan ini dikahwinkan pada usia muda. Ini berlaku di negara-negara di benua Afrika dan Asia. Mereka yang enggan melaksanakan amalan (perkahwinan usia awal) itu akan disisihkan masyarakat.
Amalan tradisi juga menyaksikan perkahwinan kanak-kanak ini boleh digunakan untuk menyatukan hubungan keluarga atau menyelesaikan pertelingkahan. Keluarga juga mengahwinkan anak-anak perempuan mereka bagi menyekat risiko kehilangan kehormatan diri atau dara sebelum perkahwinan.
Kanak-kanak perempuan juga berkahwin tanpa rela kerana berlakunya ‘peranan gender’ iaitu perkahwinan kanak-kanak dilihat sebagai upacara utama untuk seorang gadis memenuhi peranannya dalam kehidupan. Ketidaksamaan gender juga menyebabkan wanita dan kanak-kanak perempuan dilihat sebagai golongan kelas kedua, dan mereka dinafikan kuasa untuk membuat keputusan mereka sendiri mengenai masa depan masing-masing.
Satu lagi punca perkahwinan kanak-kanak perempuan di awal usia adalah faktor keselamatan yang mana di kawasan konflik, anak gadis dijadikan pengantin untuk ketua pemberontak. Gadis dijadikan taruhan oleh keluarga untuk perlindungan daripada keganasan atau kematian.
Menyedari kepentingan kempen kesedaran mengenai bahaya fenomena pengantin budak ini, satu kempen global ‘Girls Not Brides’ dilancarkan sempena Minggu Sidang Kemuncak Sosial Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, baru-baru ini.
Usaha sama antara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan kerajaan (NGO) itu dibarisi bekas pemimpin dunia itu bertujuan menghimpunkan pemimpin global bagi menangani dan seterusnya menghentikan kegiatan perkahwinan budak ini.
Usaha itu diketuai pemimpin Afrika dan pemenang Nobel, Desmond Tutu yang sebelum ini dikenali kerana usahanya membantu memerangi aparteid di Amerika Selatan.
Hakikatnya, perkahwinan budak bukan sekadar masalah atau penyakit sosial, tetapi turut mengundang kemudaratan kepada budak atau remaja perempuan itu. Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati pengantin kanak-kanak ini akan mengalami masalah mental apabila mereka dewasa.
Justeru, mahu atau tidak, lambat atau sekarang, masalah ini perlu ditangani kerana ia membabitkan soal reproduktif, kesihatan dan kependudukan dunia.
Kahwin lima hari, mati didera suami
ANTARA kes perkahwinan bawah umur yang menarik perhatian dunia membabitkan seorang gadis berusia 13 tahun di Yaman. Dia mati selepas kecederaan teruk pada kemaluan akibat didera suami. Satu kes di India pula menyaksikan budak perempuan lima tahun tertidur ketika dikahwinkan. Ikuti antara kes menarik membabitkan perkahwinan kanak-kanak yang pernah dilaporkan.
Yaman
Kes menimpa Ilham al-Ashi, 13, begitu meruntun hati. Pengantin muda ini mati pada April 2010 akibat penderaan seks oleh suaminya berusia 24 tahun. Ilham mati lima hari selepas berkahwin dengan Abed al-Hekmi. Laporan perubatan hospital di Hajja, Yaman menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan teruk pada kemaluannya.
Dalam kes berasingan pada 2008, Salleh Nujood Ali menjadi perhatian dunia apabila dia yang berusia 10 tahun ketika itu melarikan diri dari rumah dan memfailkan perceraian di mahkamah. Nujood dipaksa bapanya berkahwin dengan seorang lelaki berusia 30-an.
Poster gadis sunti itu kemudian menjadi antara 10 paling popular di dunia, malah buku mengenainya bertajuk I Am Nujood, 10 Years and Divorced sudah diterjemahkan ke dalam 30 bahasa. Dia kini kembali ke pangkuan keluarga dan menyambung persekolahan.
Habsyah
"Saya mahu belajar, tapi ibu bapa nekad mengahwinkan saya," kata Himanot Yehewala, gadis Ethiopia yang berkahwin lima tahun lalu pada usia 13 tahun. Dia pernah cuba melarikan diri tetapi diugut ibunya yang memaklumkan akan membunuh diri jika anaknya enggan berkahwin.
“Saya masih tak matang dari segi fizikal atau emosi, tak bersedia untuk tidur dengan suami yang jauh lebih tua,” tambah Himanot yang dikahwinkan dengan Gedefaw Mengistu, 18, walaupun mereka langsung tidak pernah bertemu sebelum hari perkahwinan.
Gedefaw sedar isterinya terlalu muda, berkata: “Saya berada di Gred Lima (sekolah), tetapi bapa meninggal dunia dan saya terpaksa berhenti, kahwin dan jaga keluarga," katanya kepada BBC. Mereka tinggal di Amhara, Ethiopia - kawasan pertanian luar bandar yang miskin di mana separuh kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum usia 15 tahun.
India
Perkahwinan kanak-kanak menyalahi undang-undang di India, namun ia masih berlaku dan biasanya upacara perkahwinan dilangsungkan pada awal pagi atau dinihari secara rahsia. Malah, seluruh kampung menyimpan rahsia berkenaan.
Di Rajasthan, seorang kanak-kanak perempuan lima tahun dikenali sebagai Rajani dikahwinkan ibu bapanya sama seperti yang berlaku kepada adik beradik perempuannya yang lain. Rajani yang masih kecil tertidur sebelum majlis perkahwinan bermula.
Dia diangkat bapa saudaranya dari katil bayi untuk menjalani upacara perkahwinan di bawah cahaya bulan. Rajani dikahwinkan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Mengikut adat, pengantin kanak-kanak itu akan terus tinggal dengan keluarga masing-masing sehingga dewasa, namun tiada jaminan adat itu dipatuhi.
INFO
Perkahwinan budak di seluruh dunia
Setiap tiga saat, seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin, kebanyakannya di Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan.
Menurut UNICEF, amalan perkahwinan awal ini menjejaskan satu pertiga kanak-kanak perempuan dan sekelompok kanak-kanak lelaki terutama di negara membangun. Ia menggambarkan perkahwinan kanak-kanak sebagai `satu bentuk paling lazim dalam penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak perempuan’.
Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak menyatakan 18 tahun umur minimum untuk berkahwin.
Aktivis merumuskan perkahwinan usia muda melanggar hak asasi kanak-kanak kerana mereka terlalu muda untuk memberi persetujuan secara bebas dan penuh. Ia termaktub dalam Perkara 16 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
Di kebanyakan negara membangun, amalan ini salah di sisi undang-undang tetapi undang-undang itu sering tidak dikuatkuasakan kerana tuntutan adat dan agama masih kuat diamalkan.
Pengantin perempuan berusia bawah 15 tahun berisiko lima kali ganda mati ketika mengandung atau melahirkan anak berbanding wanita yang berkahwin pada usia 20-an.
Gadis bawah 18 tahun lebih cenderung mengalami masalah fistula obstetrik yang menyebabkan lemah kawalan kencing yang teruk, berlaku semasa bersalin apabila terbentuk satu lubang di antara faraj dan pundi kencing atau rektum.
Pengantin muda lebih cenderung dijangkiti HIV melalui suami lebih tua. Kajian di Kenya dan Zambia oleh penyelidik Universiti Chicago mendapati 75 peratus gadis 15 hingga 19 tahun dijangkiti HIV kerana berkahwin muda.
Pengantin perempuan lebih cenderung dipukul atau dirogol suami sendiri.
Bayi dilahirkan pengantin kanak-kanak, 60 peratus berisiko mati ketika dilahirkan kerana tidak cukup bulan.
Pengantin kanak-kanak jarang dibenarkan ke sekolah, terpaksa membesarkan anak dan menjalankan kerja domestik untuk keluarga.
Gadis dari keluarga miskin dua kali ganda mungkin dikahwinkan keluarga sebelum berusia 18 tahun berbanding kanak-kanak perempuan dari keluarga kaya.
Bilangan perkahwinan kanak-kanak meningkat semasa konflik atau bencana alam.
Sesetengah keluarga menggunakan perkahwinan untuk membina dan mengukuhkan pakatan, mengelak tawaran harta, menyelesaikan pertikaian atau membayar hutang.
(Sumber: Pusat Penyelidikan Wanita Antarabangsa, Persekutuan Perancang Keluarga Antarabangsa Rancangan UK, UNICEF)
Home »
» Pengantin kanak-kanak bawah umur;Neraka gadis sunti
Pengantin kanak-kanak bawah umur;Neraka gadis sunti
Written By canang on Ahad, 23 Oktober 2011 | 10/23/2011 06:39:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan