Di dalam sesebuah negara seperti negara kita yang penduduknya terdiri dari berbilang kaum, yang paling penting kita mesti perjuangkan ialah membina masyarakat dan rakyat yang bersatu dan muhibbah.
Di dalam negara kita dini hari kita sedang melihat keruntuhan dan kejatuhan tahap perhubungan kaum yang merbahaya. Perhubungan di antara kaum ini kini sudah sampai keperingkat yang terendah malahan lebh rendah dan merbahaya dari keadaan sebelum 13 Mei 1969 dahulu.
Laungan dan bisikan rasis yang di amalkan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak berkepimpinan merupakan penyebab utama kenapa penyakit membenci di antara satu kaum dengan kaum yang lain sudah sampai ke tahap yang sangat menyakitkan. Oleh kerana kelemahan pimpinan yang tidak di hormati oleh rakyat berbilang kaum maka parti-parti yang rasis yang menganggotai BN sedang sibuk memukul gendang perkauman untuk mendapat sokongan kaum yang mereka masing-masing pimpin.
Semasa kepimpinan negara mempunyai kredibiliti yang tinggi kerana sifat ‘magnanimity’ mereka yang tinggi dahulu, mereka berani untuk mengambil sikap yang jelas untuk melakukan usaha mencapai penyatuan rakyat. Tun Abd Razak berjaya membawa semua pemimpin berbilang kaum kemeja perundingan dan menyatakan dengan terus terang yang ‘national unity’ itu ada matlamat terakhir bagi negara kita.
Tun Razak dan pimpinan beliau berani menyatakan perpaduan kaum itu adalah perkara yang terpenting untuk dicapai. DAN itu pun ‘ultimate’ negara. Kepimpinan semasa itu berani mendapatkan persetujuan semua pemimpin kaum di negara ini untuk negara melalui dasar-dasar yang jelas bagi mencapai matlamat perpaduan kaum itu. Pemimpin-pemimpin UMNO sebagai parti yang utama semasa itu faham tentang keresahan rakyat yang menyebabkan berlakunya kejadian 13 Mei ’69 itu.
Di sinilah lebihnya pemimpin pra Mahathir. Mereka mampu menyelami masalah rakyat yang berbilang kaum ini. Apabila mereka tahu dan faham semua masalah rakyat ini maka barulah mereka lakukan tindakan dengan menggubal dasar-dasar yang boleh menyelesaikan masalah itu. Ini memang asas ilmu pengurusan; ‘one has to understand problems up to specific even before thinking of solving them’.
Pemimpin kita berjaya menyelami segala masalah rakyat yang berbilang kaum, maka pimpinan pun dengan mudah menggubal dasar-dasar untuk membentuk proses-proses ke arah matlamat ‘national unity’ itu.
Tun Razak dan barisan kepimpinannya berjaya mendapat sokongan semua kaum untuk beliau melaksanakan DEB dan pencapaiannya ialah melalui beberapa proses yang telah dipersetujui oleh semua kaum.
Pertamanya untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Keduanya untuk menghapuskan cara mengenali satu-satu kaum itu melalui fungsi ekonominya. Kerajaan tidak mahu lagi Melayu di kenali sebagai pekebun dan petani kecilan yang duduk di desa-desa. Kaum Cina tidak hanya dipersepsikan sebagai gulungan peniaga sahaja dan kaum India tidak digambarkan sebagai hanya pekerja ladang kepunyaan bangsa asing dan taukay besar-besar sahaja. Ketiganya untuk merapatkan jurang pendapatan di antara yang berada dengan tidak berada.
Keempatnya untuk membesarkan serta melebarkan kek ekonmi negara dan menyusun pembahagian harta kekayaan negara mengikut kaum secara equitable (bukan equal).
Bumiputra di berikan kemudahan dan galakan untuk mencapai 30 peratus penyertaan di dalam bidang ekonomi dan industri dan bukan bumiputra sebanyak 40 peratus dan selebihnya untuk bukan rakyat Malaysia.
Dasar ini telah di persetujui oleh semua pihak termasuk yang bukan bumiputra kerana proses pembahagian dan menambah penyertai bumiputra itu bukannya dengan mengambil alih atau merampas hak bukan bumiputra tetapi sebaliknya dengan membesarkan kek ekonomi tadi untuk bumiputra mengusahakan pencapai matlamat pegang kekayaan serta equiti negara sehingga 30 peratus menjelangnya tahun 1990.
Apabila dasar ini mula dilaksanakan saya masih teringat bagaimana kerjasama di antara semua kaum begitu jelas dan saya sebagai seorang pegawai kecil di dalam kumpulan pelaksana itu merasakan kenikmatan begitu nyata kerana ramai rakan rakan bukan Melayu di dalam syarikat-syarikat yang dikuasai oleh bukan bumiputra telah berinteraksi dengan kami untuk mencari jalan bagi menambah penyertaan bumiputra di dalam pengurusan syarikat-syarikat milik mereka.
Mereka berbangga jika dilihat sebagai agen perubahan dan sentiasa memberikan peluang untuk melatih dan mendidik bumiputra dalam bidang pengurusan syarikat syarikat awam yang besar-besar.
Di pihak kerajaan pula telah di wujudkan puluhan atau mungkin ratusan agensi-agensi yang berkepentingan bumiputra untuk membesarkan kek ekonomi bagi melunaskan cita-cita untuk mencapai matlamat 30 peratus pegangan bumiputra dalam equiti kekayaan negara. Puluhan syarikat-syarikat ‘public companies by guarantee’ (sekarang GLC) untuk memegang kekayaan bagi bumiputra yang pada dasarnya akan dipindahkan ketangan bumiputra akhirnya.
Dalam lain perkataan sesiapa yang memegang tampuk kepada syarikat-syarikat GLC ini, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan syarikat-syarikat tersebut untuk kepentingan orang Melayu dan bumiputra keseluruhannya. Mereka sebenarnya sedang memegang amanah bagi pihak bumiputra semuanya.
Tetapi ramai di antara Melayu yang memegang jawatan-jawatan tertinggi di dalam syarikat-syarikat tersebut sudah lupa atau pun tidak tahu kenapa mereka berada di sana kerana hari ini kita lihat bumiputra tidak mendapat apa-apa dari syarikat-syarikat tersebut sebaliknya hanya berjaya meningkatkan ego kumpulan pengurusan GLCs tersebut. (kita sentuh isu ini dalam posting yang akan datang). Ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat kerajaan ini menjadikan amanah yang di berikan rakyat untuk memupok kekayaan mereka yang tiada batas moral dan agamanya.
Perlaksanaan DEB pra Mahathir sangat berjaya kalau di ukur dari kepantasan peningkatan peratusan pegangan bumiputra di dalam pegangan kekayaan negara. Dari 2.7 peratusan pegangan bumiputra dalam kekayaan negara ini pada 1971 peratusan itu telah meningkat kepada 18.4 peratus pada 1984. Kesungguhan pucuk pimpinan semasa itu untuk melihat matlamat untuk mencapai 30 peratus penyertaan bumiputra di dalam industri dan perniagaan membuahkan pencapaian yang memberansangkan tetapi ianya hanya sehingga DEB di abaikan oleh pucuk pimpinan pada pertengahan lapan puluhan yang membantutkan perkembangan itu.
Sehingga sekarang bumiputra belum pun sampai ketahap 20 peratus penyertaan di dalam equiti ekonmi negara. Malahan kita tidak langsung mendengar pemimpin-pemimpin kita bercakap dan memberikan focus untuk menyelesaikan isu penyertaan bumiputra di dalam bidang perdagangan dan perindustrian.
Keistimewaan untuk bumiputra itu di ambil alih oleh bumiputra yang menjadi kroni kepada pucuk pimpinan dan bumiputra yang mempunyai kebolehan tidak lagi berkemampuan untuk membuktikan kebolehan mereka untuk memajukan diri mereka dengan DEB itu. DEB telah di cemari sejak 3 dekad yang lalu kerana segala keistimewaan yang sepatutnya di rasakan oleh orang Melayu yang ramai hanya di bolot oleh segelintiran Melayu yang berada di dalam sistem kronism yang menebal sekarang ini.
Apabila budaya kronism ini bermaharajalela maka ianya memberikan pandangan negatif bangsa-bangsa lain yang telah menyokong DEB selama ini tetapi bumiputra tidak juga maju. Orang Melayu sendiri yang sudah lama bersabar melihat kemungkaran dari kronism ini sedang dalam pencarian untuk mengelak dari budaya kronism ini berkembang lebih menggila lagi.
Banyak bukti telah di tunjukan oleh orang Melayu sendiri tentang kemarahan mereka terhadap budaya rasuah melalui kronism ini tetapi pemimpin-pemimpin tidak juga mahu berubah budaya buruk ini. Mungkin mereka (pemimpin) mengambil isu isu sebagai isu kecilan sahaja maka mereka (pemimpin) mengambil sokongan Melayu itu sebagai ‘for granted’.
Akhirnya matlamat penggubalan dasar-dasar untuk mencapai matlamat perpaduan rakyat itu gagal dilaksanakan sehinggakan tidak lagi mungkin boleh mencari perdamaian abadi dalam perhubungan antara kaum di negara ini. Mahu tidak mahu kita mesti hidup dalam ‘neighborhood’ berbilang kaum dan adalah tidak aman jika masing-masing kaum tidak menghormati di antara satu dengan lain.
Rakyat kini cenderung untuk bersatu secara berkekalan tetapi mereka sedar yang perpaduan itu akan hanya boleh dicapai jika semua rakyat berbilang kaum beramai-ramai bersatu di luar BN dari sekarang ini. Isu rasis yang digembar gemburkan oleh parti-parti dalam BN sesungguhnya merupakan satu tindakan yang menentang semangat hidup muhibbah dalam masyarakat berbilang kaum. Orang Melayu tidak boleh lagi melayani penyakit rendah diri dan sentiasa merasa takut untuk bersama-sama hidup saling asih mengasih di antara satu kaum dengan kaum yang lain.
http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Home »
» Rakyat mahu bersatu, tetapi bersatu di luar BN
Rakyat mahu bersatu, tetapi bersatu di luar BN
Written By canang on Khamis, 6 Oktober 2011 | 10/06/2011 08:00:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan