Home »
» Rasuah pemusnah negara
Rasuah pemusnah negara
Written By canang on Ahad, 23 Oktober 2011 | 10/23/2011 08:00:00 PG
Sama seperti najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Berapa ramai orang muda sekarang yang tahu bahawa rasuah itu salah di sisi oleh undang-undang dan ditegah oleh agama? Malangnya rasuah tetap dilakukan dengan seribu satu alasan. Kadang-kadang secara terbuka.
Sebelum Lofa putuskan untuk menulis tentang isu rasuah ini, Lofa sedar mungkin isi kandungannya tidak akan memberi sebarang kesan terhadap gejala ini. Tetapi sekurang-kurangnya melalui penulisan ini Lofa dapat menyebarkan idea terutama di kalangan generasi muda atau sekurang-kurangnya di kalangan peminat Lofa bahawa rasuah boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara jika tidak dibendung.
Perlu diketahui bahawa dalam konteks rasuah, jika tiada 'pemberi', pastinya tiada 'penerima'. Lofa hanya mampu untuk tekankan lebih kepada kategori 'pemberi' kerana pada pendapat Lofa pembuka jalan bagi kegiatan rasuah bermula dari pihak yang melakukan kesalahan. Walau sekecil mana nilainya, biar RM1 ia tetap rasuah. Ia tetap salah di sisi undang-undang. Ia tetap di larang agama.
Lofa tidak nafikan kerajaan cuba dengan pelbagai cara untuk membendung rasuah. Jelas sekali negara kita mempunyai undang-undang yang cukup lengkap. Tetapi dari segi penguatkuasaan untuk rakyat praktikkan setiap undang-undang yang telah digariskan adalah sebaliknya. Maksud Lofa di sini, undang-undang yang ada sudah cukup baik untuk bendung rasuah. Tetapi sikap rakyat yang menjadikan rasuah terus berleluasa.
Rasuah nampak macam sudah sebati dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Sudah menjadi budaya. Mungkin proses permodenan yang tidak seimbang dengan pembangunan rohani adalah antara puncanya.
Wujudnya golongan yang mengambil kesempatan untuk mengaut untung daripada kepesatan pertumbuhan negara antara penyumbangnya. Umpamanya apa yang Lofa boleh kongsi pengalaman teman yang sanggup menggunakan apa sahaja bagi memenangi hati pembuat keputusan ketika mengemukakan sesuatu tender.
Mereka tidak bersandarkan kepada kebolehan. Tetapi menggunakan rasuah sebagai jalan pintas untuk mencapai kejayaan mendapatkan sesuatu projek.
Memang negara kita akan tetap maju, tetapi sayang, perkara begini akan mencacatkan kemajuan tersebut.
Lofa pasti ramai bersetuju jika dikatakan kegiatan rasuah akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap cerdik pandai negara kita.
Setiap kali berlakunya rasuah, bukan sahaja pemerintahan menjadi lemah tetapi negara akan kehilangan hasil yang sepatutnya diterima untuk kebajikan sosial.
Paling senang untuk Lofa gambarkan adalah apabila pemandu ditahan di atas kesalahan tertentu.
Orang yang melakukan kesalahan lalu lintas sanggup memberi rasuah supaya tidak disaman. Sedangkan jika dia di saman dan membayar denda jumlahnya lebih kurang sama.
Denda yang dibayar itu pula merupakan pendapatan kepada negara yang boleh digunakan untuk pelbagai benda.
Bayangkan jika si 'pemberi' tidak memberi rasuah, duit itu boleh digunakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Dengan rasuah ia hanya inikmati orang yang menerima itu sahaja.
Bagi Lofa demi memperbaiki imej Malaysia, pihak-pihak yang cenderung memberi dan menerima rasuah perlu ubah sikap. Kena kuatkan jati diri bagi membanteras rasuah dan mungkin untuk anak muda gejala ini boleh dibendung sejak zaman persekolahan lagi dengan memasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan dengan harapan generasi yang dibentuk bencikan rasuah ini akan membesar menjadi individu yang bertanggungjawab serta bebas daripada rasuah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan