Home » » Kenali punca sakit

Kenali punca sakit

Written By canang on Selasa, 8 November 2011 | 11/08/2011 10:00:00 PG

APABILA mengangkat barang, ramai yang melakukannya secara membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan. Pekerja pejabat duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen. Adakah senario itu menyamai rutin harian kehidupan anda? Semua itu adalah bukti bahawa insiden sakit belakang semakin meningkat.

Sakit otot dan penuaan

Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Klang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, terdapat enam punca utama sakit tulang belakang kronik.

Katanya, 90 peratus sakit tulang belakang berpunca daripada kecederaan pada otot rangka yang kronik disebabkan tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik.

“Kebiasaannya, sakit otot berpunca daripada postur duduk atau mengangkat barang dengan cara yang tidak betul. ‘‘Akibatnya, otot pada bahagian belakang berasa sakit disebabkan tekanan. Selalunya kesakitan akan bertambah baik dengan rawatan konservatif seperti fisioterapi, rehat dan ubat” katanya.

Selain itu, sakit sendi disebabkan oleh proses penuaan spondylosis pada tulang belakang juga menjadi punca.

Kebanyakan pesakit warga emas sering mengalami masalah ini.

Diska tergelincir

Sebahagian golongan ini juga mengalami saraf terhimpit atau diska tergelincir (slipped disc).

“Diska tergelincir adalah satu masalah kecederaan pada tulang lembut atau diska yang juga dikenali sebagai diska intervertebral. Masalah ini kerap berlaku pada peringkat umur 30 hingga 50 tahun. Mereka yang memandu lama ( bekerja sebagai pemandu), merokok dan obesiti merupakan golongan yang berisiko,” jelas Dr. John.

Tambah beliau, bengkak pada diska akan menekan urat saraf di belakangnya. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf.

Ini menyebabkan sakit belakang teramat sangat dan akan turun ke kaki. Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.

Rawatan untuk diska tergelincir pula bergantung kepada tahap kecederaannya seperti rehat sepenuhnya dengan berbaring untuk mengurangkan tekanan pada diska intervertebral.

Lain-lain termasuklah ubat-ubatan dan fisioterapi serta pembedahan untuk kes-kes yang teruk ataupun tidak pulih selepas dirawat.

Dr. John menambah, Pembedahan Invasif Minimum (MIS) adalah kaedah yang baru diperkenalkan bagi merawat sakit tulang belakang.

Kanser dan jangkitan

Mereka yang mempunyai sejarah kanser, kemungkinan berisiko diserang kanser tulang belakang yang menyebabkan sakit kronik.

Berbeza dengan sakit tulang belakang lain, kanser menyebabkan kesakitan walaupun pesakit hanya tidur atau baring.

Ia biasanya dikategorikan sebagai kanser tahap empat kerana telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang .

Berhubung rawatan, Dr. John memberitahu, bagi kanser tulang belakang, rawatan sebaiknya ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi

Walaupun jarang berlaku, sakit tulang belakang juga boleh disebabkan keradangan inflammatiion atau jangkitan kuman pada tulang belakang.

Kesakitan kebiasaannya disusuli demam dan sakit dapat dirasai walaupun pesakit tidak bergerak.

“Pada peringkat awal rawatan, doktor akan memeriksa dan melakukan ujian untuk memastikan jenis kuman yang menjangkiti pesakit.

‘‘Sekiranya serius, pesakit mungkin akan dibedah atau sebaliknya, hanya diberi antibiotik,’’ katanya..

Skoliosis

Sakit tulang belakang kronik, menurut Dr. John juga boleh berpunca akibat pertumbuhan tulang tidak normal yang dikenali sebagai skoliosis.

Keadaan ini banyak berlaku pada remaja perempuan dan sehingga kini puncanya masih menjadi misteri

“Skoliosis boleh dianggap masalah pertumbuhan tulang tidak normal yang biasa berlaku pada remaja, terutama perempuan. Ini bermakna tulang belakang seseorang pesakit menjadi bengkok ke kiri atau kanan menyebabkan bahu tidak sama tinggi.

‘‘Gangguan pertumbuhan tulang belakang boleh berlaku disebabkan jangkitan, kemalangan atau tanpa sebab tertentu. Skoliosis idiopatik biasanya berlaku pada awal usia remaja (baligh),” katanya.

Ibu bapa boleh mengenal pasti penyakit ini dengan melihat bahu atau pelvis seseorang pesakit tidak sama tinggi, tulang rusuk pada sebelah badan tertonjol ke depan menjadi lebih tinggi, manakala badan kiri dan kanan menjadi tidak simetri.

Namun jika masih tidak pasti, bawa anak ke hospital untuk menjalani pemeriksaan fizikal atau ujian sinar-x untuk pengesahan.

Walaupun skoliosis tidak mendatangkan rasa sakit, ia perlu dirawat seawal mungkin.

Tanpa rawatan, tulang belakang menjadi semakin bengkok dan menimbulkan pelbagai komplikasi . Antara kaedah popular ialah menggunakan racing dan pembedahan.

Dalam pada itu, Dr. John menasihati orang ramai yang mengalami sakit tulang belakang yang teruk atau berpanjangan, lemah atau kebas bahagian kaki supaya segera berjumpa doktor.

Mengulas tentang rawatan alternatif termasuk urutan, Dr. John mengakui ia baik untuk mengurangkan kesakitan tetapi pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor. Ini kerana sekiranya pesakit menghidap kanser atau jangkitan pada tulang belakang, urutan boleh menambah komplikasi.

Panduan menghindar sakit tulang belakang

Mengangkat barang

* Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.

* Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.

Duduk

* Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.

* Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.

* Campurkan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.

Memandu

* Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.

* Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

Tidur

* Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.

* Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

Berdiri dan Berjalan

* Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.

* Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.

* Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger