KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengecam keras tindakan terburu-buru Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya 'menghukum' kesahihan ibadat haji Perdana Menteri dan isteri.
"Seorang mufti lazimnya tidak bercakap terburu-buru kerana tindakan itu boleh memberi tafsiran bahawa percakapan itu tidak menggunakan pertimbangan akal," tegasnya.
Katanya, sebagai mufti beliau sepatutnya terlebih dahulu berusaha mendapatkan kepastian yang jelas sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang dilihat oleh pelbagai pihak sebagai mempunyai agenda tertentu.
Menurut beliau, mungkin niat Mufti Perlis itu baik tetap apabila dibuat secara terburu-buru dan menggunakan portal berita pro-pembangkang, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak kena.
"Orang ramai mula bertanya apakah niat sebenar Dr. Juanda mempersoalkan kesahihan ibadat haji Datuk Seri Najib Tun Razak dan isetri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi portal berita pembangkang," tegasnya.
Kata Syed Ali, jika Dr. Juanda berasa keliru akan kesahihan ibadat haji itu beliau sepatutnya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Khir Baharom dan Datuk Seri Zamry Abdul Kadir yang turut berada di Mekkah bersama Najib.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Juanda dalam portal berita pro-pembangkang, malaysiakini.com yang dipetik sebagai berkata paling awal jemaah haji akan menamatkan ibadat mereka adalah waktu zohor hari ini (8hb), itupun jika mereka lakukan nafar awal iaitu setelah selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.
Dr.Juanda mempersoalkan laporan Bernama Ahad lalu yang melaporkan Perdana Menteri dan isteri selesai menunaikan haji pada 6 November, berdasarkan kepada twitter Najib yang dikatakan menulis : "Alhamdulillah, urusan haji kami sudah selesai,".
Dalam hal ini menurut Syed Ali, tindakan mufti berkenaan adalah tidak bijak kerana menggunakan portal berita pembangkang untuk melepaskan keraguannya terhadap kesahihan ibadat haji Perdana Menteri.
"Sebagai mufti yang arif, beliau sepatutnya mendapatkan segala maklumat dan laporan benar sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat," tegasnya.
Lazimnya jelas beliau, ulama atau mereka yang bertaraf mufti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau 'menghukum' seseorang tanpa dalil dan fakta yang sahih.
"Perbuatan mengeluarkan kenyataan secara terburu-buru sepertimana dilakukan oleh Dr. Juanda menerusi media pro-pembangkang akan merosakkan kredibiliti beliau sebagai mufti," ujarnya.
"Dia nampaknya seperti nada pembangkang, cuba melontarkan sesuatu isu yang boleh dipertikaikan kewajarannya.
Menurut Syed Ali lagi, apabila seorang mufti menggunakan saluran pembangkang untuk mempersoalkan sesuatu kekeliruan, ianya akan menimbulkan tanggapan umum bahawa beliau sememangnya mempunyai niat atau agenda 'kurang baik' terhadap Perdana Menteri.
"Kita khuatir kenyataan melulu Dr. Juanda itu akan diekspolaitasikan oleh pembangkang untuk memburukkan imej Najib," tegasnya.
Lagipun kata beliau, seseorang itu tidak berupaya untuk menghukum kesempurnaan ibadat orang lain, apatah lagi menyebarkannya kepada umum.
"Mufti Perlis itu sudah mendahului ibadat Najib dan kenyataan beliau amat dikesali dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang pakar dalam bidang agama," tambahnya
Home »
» Syed Ali kecam Mufti Perlis terburu-buru pertikaikan kesempurnaan ibadat haji PM & isteri
Syed Ali kecam Mufti Perlis terburu-buru pertikaikan kesempurnaan ibadat haji PM & isteri
Written By canang on Khamis, 17 November 2011 | 11/17/2011 08:48:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan