Teka teki mengenai barisan artis yang dipilih untuk bergelar mentor dalam program pencarian bakat Mentor bagi musim keenam sudah pun terjawab.
Pada kali ini, Mentor 6 menampilkan muka lama dan baru dari genre berbeza untuk bergelar sifu kepada enam protégé yang akan menyinari dunia hiburan tanahair.
Keenam-enam mentor termasuk Ramlah Ram, Adam, Fauziah Ahmad Daud, Ferhad, Ella dan Faizal Tahir dipilih berdasarkan pengalaman serta kebolehan mereka dalam bidang seni.
Pemilihan Adam sebagai mentor tentunya mengundang pertanyaan dan tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang mempertikaikan pemilihan Adam sebagai barisan mentor kali ini, memandangkan profil kerjayanya tidaklah sehebat mentor yang lain.
Bagaimanapun sebagai mentor paling junior, Adam tidak terus melatah dan menyifatkan tawaran yang datang daripada pihak TV3 sebagai satu penghormatan yang besar buat dirinya.
Penyanyi yang juga lahir daripada program realiti Akademi Fantasia 2 ini memandang tawaran yang datang sebagai perkara yang positif untuk perkembangan dirinya dan industri hiburan negara.
Menyangkal pandangan sesetengah pihak yang berasakan dirinya ‘kurang’ layak untuk bergelar mentor, Adam beranggapan pihak produser yang memilihnya yakin akan kebolehan yang ada pada dirinya dan apa yang boleh diberikan kepada industri.
“Apabila menerima tawaran daripada pihak TV3, saya terlebih dahulu berbincang dengan pihak pengurusan saya. Saat menerima tawaran itu, ada juga saya terfikir mengenai faktor kelayakan, adakah saya boleh berperanan sebagai mentor untuk mendidik protégé baru.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan berpendapat saya harus mencari pelapis untuk genre pop dance memandangkan tidak ramai penyanyi di Malaysia yang memperjuangkan genre sebegitu. Jadi, atas dasar tanggungjawab, saya menerima tawaran ini bagi mencari bakat baru yang boleh menyanyi dan pada masa sama boleh menari dengan baik,” katanya selepas sesi memperkenalkan Mentor musim keenam, baru-baru ini.
Jejaka kelahiran Sabah ini juga tidak kisah seandainya ada yang mempertikaikan pengalamannya yang baru setahun jagung dalam industri hiburan negara.
Menurut Adam, pembabitannya dalam rancangan Mentor adalah untuk meneruskan misi mencari bakat baru yang berminat kepada irama pop dance.
“Saya akui masih baru dalam bidang ini, namun berbekalkan pengalaman selama lapan tahun dalam memperjuangkan genre ini, saya ingin mencurahkan apa yang saya ada kepada protégé saya sementara saya masih boleh mengajar menari dengan baik,” katanya.
Syarat kepada protege
Memberitahu kriteria protégé yang bakal diambil, pelantun lagu Tak Tahu ini mengutamakan mereka yang berbakat dalam bidang nyanyian dan tarian.
Menurutnya, keutamaan diberikan kepada protégé lelaki dengan syarat mereka ini mempunyai sikap disiplin yang tinggi dan hormat kepada orang lain.
“Bukan tidak mahu mencari protégé perempuan, namun saya berasakan lebih mudah mendidik protégé lelaki memandangkan saya juga ingin mencari pelapis yang boleh menyanyi dan menari.
“Saya bukannya ingin mencari orang yang sama macam saya, tetapi ingin mencari mereka yang berminat untuk memperjuangkan genre ini.
“Sebelum ini, saya juga ada melakukan pencarian bakat baru untuk genre pop dance, tetapi masih belum bertemu dengan mereka yang benar-benar layak. Jadi, melalui program Mentor ini diharapkan penemuan saya berhasil,” katanya yang menganggap rupa paras sebagai bonus untuk bergelar protégé.
Yakin dengan kemampuan yang ada pada dirinya untuk bergelar mentor, Adam bagaimanapun meletakkan faktor keserasian sebagai perkara utama yang perlu dipupuk antara mentor dan protégé.
“Kalaupun protégé yang dipilih nanti boleh menari dan menyanyi dengan baik, namun jika dia ada masalah sikap, perkara ini juga boleh membantutkan sesi pembelajaran apa yang ingin saya curahkan kepada dia.
“Namun, sekiranya dapat protégé yang ‘satu kepala’ dan mendengar kata, Insya-ALLAH ilmu yang saya pelajari selama lapan tahun ini akan saya curahkan kepada dia untuk dibekalkan dalam pertandingan mentor nanti,” katanya.
Sesi uji bakat pencarian protégé untuk Mentor musim keenam akan bermula pada 13 Januari dan berakhir pada 19 Februari 2012.
Home »
» 901 News:Adam sahut cabaran
901 News:Adam sahut cabaran
Written By canang on Sabtu, 7 Januari 2012 | 1/07/2012 12:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan