Home » » Hishammuddin: Umno tiada kaitan AG rayu kes Anwar

Hishammuddin: Umno tiada kaitan AG rayu kes Anwar

Written By canang on Isnin, 23 Januari 2012 | 1/23/2012 11:34:00 PG

BENTONG - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata secara peribadi beliau berpendapat tindakan Jabatan Peguam Negara semalam memfailkan rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, sebagai satu tindakan yang tepat dan tiada kaitan dengan Umno. "Secara peribadi atas undang-undang dan hak, ia adalah keputusan yang tepat. "Bagi saya rayuan itu bukan satu isu kerana sesiapa sahaja yang dalam keadaan seperti itu, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tetap akan merayu," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada pemberita. Dipetik Bernama, Naib Presiden Umno itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pemukiman Kepimpinan Umno Terengganu di Janda Baik, dekat sini. Pada 9 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semasa menyampaikan keputusan itu berkata, mahkamah tidak 100 peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak diusik. Beliau juga berkata mahkamah keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan kenyataan Mohd Saiful yang tidak disokong dengan bukti. Hishammuddin berkata, tindakan memfailkan rayuan itu merupakan tindakan Jabatan Peguam Negara sendiri dan menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan tersebut. "Keputusan merayu dalam tangan Peguam Negara, beliau mesti ada alasan yang diperjelaskan beliau. Mangsa (Saiful) dan keluarganya telah melalui penderitaan yang lama kerana hanya nak keadilan. "Jadi orang yang nak putar belitkan ini dalam PKR sebenarnya, mereka menafikan rayuan itu mereka tidak juangkan keadilan, juang atas nama (parti) sahaja," katanya. Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, pembangkang perlu menghadapi Umno di padang permainan yang sama rata bukan bergantung kepada isu yang telah lepas. Semalam Jabatan Peguam Negara menerusi satu kenyataan berkata rayuan itu difailkan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tanpa mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger