Home »
» Artis serius berpolitik
Artis serius berpolitik
Written By canang on Rabu, 22 Februari 2012 | 2/22/2012 08:13:00 PTG
JAKARTA: Dunia politik ternyata menarik minat artis Indonesia apabila ramai di kalangan mereka dengan serius menyertai parti politik.
Ia seolah-olah hendak mengikiskan tanggapan bahawa artis hanya menjadi ‘pemanis’ di pentas itu.
Beberapa artis berjaya mengukir nama dengan memegang jawatan penting dalam politik di peringkat daerah.
Antara mereka, Zumi Zola yang kini menjadi Ketua Daerah Tanjung Jabung Timur, Jambi dan Dicky Chandra yang pernah menjawat jawatan Penolong Ketua Daerah Garut, Jawa Barat.
Sebelum itu, pelakon, Rano Karno dan Dede Yusuf juga berjaya memegang jawatan penting dalam politik di peringkat daerah dan kini masing-masing menjadi Timbalan Gabenor.
Tidak setakat di peringkat daerah saja, malah ada artis yang berjaya menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat.
Antara mereka ialah Rieke Diah Pitaloka, Tere, Rachel Maryam, Vena Melinda, Angelina Sondakh dan Eko Patrio.
Namun, populariti tidak menjamin setiap artis berjaya dalam politik. Ada di kalangan mereka yang gagal, termasuklah Julia Perez yang kecundang dalam pilihan raya memilih Timbalan Ketua Daerah Pacitan, Jawa Timur, Ayu Azhari yang kalah dalam perebutan jawatan Ketua Daerah Sukabumi, Jawa Barat.
Tessa Mariska pula gagal untuk menjadi anggota DPR, begitu juga Irwansyah.
Kegagalan itu bagaimanapun tidak menyekat minat mereka untuk terus berpolitik.
Irwansyah misalnya, yang gagal dalam pilihan raya 2009, merancang untuk terus berpolitik, tapi kali ini menerusi pilihan raya peringkat daerah Tangerang 2013.
Ada yang berjaya, ada yang gagal dan ada yang tidak berputus asa. Ia secara tidak langsung mengikiskan anggapan bahawa artis hanya digunakan sebagai ‘pemanis’ dalam dunia politik. - Agensi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan