Home »
» Rogol, seks oral dalam balai polis konstabel dijel 20 tahun, sebat 3 kali
Rogol, seks oral dalam balai polis konstabel dijel 20 tahun, sebat 3 kali
Written By canang on Rabu, 29 Februari 2012 | 2/29/2012 06:34:00 PTG
PETALING JAYA 27 Feb. - Harapkan pagar, pagar makan padi.
Demikian perumpamaan yang boleh diberikan kepada seorang konstabel yang dihukum penjara 20 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan memaksa melakukan seks oral dan merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam balai polis, empat tahun lalu.
Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamil Abdul Sah, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein memohon agar perlaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah.
Hayatul Akmal berkata, alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan tidak cukup kukuh untuk membolehkan hukuman itu ditangguhkan.
Jamil didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Maklumat Balai Polis Putra Heights, Putra Heights di sini antara pukul 6 dan 7 pagi, 18 Jun 2008.
Dakwaan terhadap bapa kepada seorang anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 377B dan 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Terdahulu, Ariff Azami ketika merayu untuk meringankan hukuman berkata, tidak wujud sebarang keganasan dan kecederaan di dalam kes tersebut selain tertuduh sering bekerjasama dengan menghadirkan diri ke mahkamah pada setiap kali perbicaraan walaupun dia ketika ini menetap di Sabah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen berkata, walaupun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal namun remaja itu mengalami kecederaan mental yang kekal dan sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian tersebut.
''Bagi alasan rekod kehadiran ke mahkamah, itu sememangnya menjadi tanggungjawab tertuduh dan ia tidak boleh dijadikan faktor mitigasi,'' katanya.
Tambahnya lagi, hukuman yang setimpal perlu diberikan memandangkan tertuduh merupakan seorang anggota polis yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam namun dia membuat perkara sebaliknya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan sekali bagi kes memaksa mangsa melakukan seks oral dan penjara 20 tahun serta sebatan dua kali bagi kes merogol. Hukuman penjara berjalan serentak.
Mengikut fakta kes, mangsa bersama teman lelakinya telah ditahan dan dibawa ke balai polis oleh tertuduh yang merupakan anggota unit peronda (MPV) selepas mereka didapati membawa motosikal di lorong yang salah iaitu melawan arus.
Semasa di balai polis, mereka dipisahkan dengan mangsa dibawa ke sebuah bilik maklumat di balai tersebut dengan alasan untuk siasatan lanjut.
Namun semasa di dalam bilik itu, mangsa telah dipaksa untuk membuat seks oral dan dirogol.
Tertuduh kemudian mengugut mangsa dan memberi amaran supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa sebelum melepaskan dia dan teman lelakinya pulang
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan