Home » » Pisah pasangan nikah ala koboi

Pisah pasangan nikah ala koboi

Written By canang on Sabtu, 7 April 2012 | 4/07/2012 03:25:00 PTG

KUALA LUMPUR: Pernikahan yang menggunakan khidmat jurunikah palsu atau lebih dikenali sebagai ‘nikah koboi’ terutama yang berlangsung di tepi jalan tidak sah menurut syariah dan enakmen keluarga Islam negara ini. Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, perkahwinan begitu perlu segera menjalani proses faraq yang membawa maksud kepada pembubaran pernikahan bukan melalui talak. “Macam mana kita boleh kata pernikahannya sah sedangkan dia melanggar syarat wali iaitu perkara wajib dalam Rukun Nikah yang dijelaskan bahawa wali perlu berada melebihi dua marhalah (83 kilometer) dari lokasi pernikahan, baru kata tidak wujud. “Tapi kes ini, dia melangsungkan pernikahan di tepi jalan, sekali gus menjelaskan yang walinya masih berada dalam lingkungan wujud. Maka, perkahwinannya tidak sah kerana tidak berwali. “Walaupun pasangan yang mahu berkahwin itu sukar menemukan walinya, dia tetap perlu mendapat keredhaan individu terbabit untuk keberkatan dalam perkahwinannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai khidmat jurunikah palsu dikesan bergiat aktif di Perak dan beberapa negeri lain untuk pasangan yang mahu berkahwin, tetapi tidak mendapat restu ibu bapa atau suami yang ingin berpoligami tanpa kebenaran isteri. Sindiket didalangi warga tempatan itu digelar ‘Tok Ayah’ menawarkan khidmat dengan bayaran RM2,000 hingga RM5,000 dan mengambil masa kurang 10 minit untuk proses pernikahan yang boleh dijalankan di tepi jalan sebelum pasangan diberi sijil nikah palsu. Mengulas lanjut, Badli Shah yang juga bekas Kadi Daerah Temerloh berkata, berbanding pernikahan yang berlangsung di Thailand, ia masih sah kerana mematuhi syarat nikah, tetapi salah dari segi undang-undang Malaysia. “Kalau nak banding dengan bernikah di Thailand itu cerita lain kerana pernikahannya sah (mengikut syariat), namun secara moralnya ia salah apabila tidak berdaftar mengikut perundangan negara kita. Jadi mereka perlu daftar dan bayar denda saja. “Cuma kahwin koboi ini jelas tak sah. Jangan ada pasangan yang bernikah menggunakan khidmat begini kerana musibah dan implikasinya lebih teruk apatah lagi wanita yang berkahwin dengan suami orang dan si suami itu pula meninggal dunia. “Dia tak boleh mendaftar perkahwinannya, manakala anak yang lahir menerima nasib sama. Susah, lebih baik jangan dilakukan,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger