Home » » Najib persetankan tuntutan Bersih!

Najib persetankan tuntutan Bersih!

Written By canang on Selasa, 8 Mei 2012 | 5/08/2012 09:59:00 PG

Saya agak terkilan kerana tidak dapat meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, khususnya bersama

rakan-rakan yang berhimpun pada Khamis lalu, di hadapan pejabat Malaysiakini, Bangsa, Kuala Lumpur.

Sepatutnya tengahari 3 Mei itu mempertemukan warga media yang selama ini sibuk dengan tugasan masing-masing, di samping merapatkan hubungan dan meneguhkan iltizam dalam perjuangan. Ya, ada keuzuran yang menghalang saya.

Bukan rutin lagi

Tarikh 3 Mei tahun ini bukan lagi sekadar acara rutin seperti lazimnya tetapi mempunyai makna tersendiri kepada setiap pengamal media. Simbol pakaian hitam dan riben kuning menjadi bukti solidariti para wartawan yang bukan saja kian dihimpit profesionalisme mereka, malah diganasi pihak keselamatan (ingat demonstrasi Bersih 3.0)!

Hari itu rakan-rakan media bukan lagi, seperti lazimnya, merakamkan peristiwa bahkan mereka sendiri mengukir sejarah. Bukan lagi sekadar menjadi pencatat, pelapor dan penganalisis, bahkan tindakan mereka disorot dan diperhatikan secara dekat.

Langkah Kerajaan Pulau Pinang, melalui Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang turut mengadakan majlis khusus, meraikan 3 Mei penuh bermakna, di samping memakai pakaian hitam beriben kuning itu, bagi saya, cukup menginspirasikan.

Dalam masa sama, saya mengimpikan ada kesatuan dan persefahaman, sekurang-kurangnya dari segi pemikiran, di kalangan semua wartawan, termasuk dalam "media arus perdana" berbahasa Melayu, dan juga Inggeris -- bersama pengamal media bebas -- berani berdepan isu-isu kritikal yang mencengkam dunia persuratkhabaran kita.

Selama ini, cuma wartawan akhbar Cina yang dilihat lebih berani meluahkan apa yang terbuku di hati. Dalam aksi mutakhir, akhbar-akhbar utama Cina telah menghitam-putihkan muka surat depannya; satu tindakan drastik dan berani yang pasti membuatkan BN terpaksa melupakan terus harapan untuk menarik sokongan pengundi Tionghua.

KAMI dan Pak Said

Sebenarnya, saya bersama aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mula menyambut hari bersejarah itu, dengan majlis makan malam dan forum kebebasan media, lebih sepuluh tahun lalu, di Hotel Vistana, pada malam 2 Mei, di samping menyampaikan anugerah khas buat wartawan veteran, Said Zahari.

Saya masih ingat, KAMI mengumpulkan sejumlah wang tunai, dari kalangan wartawan bebas yang kebanyakannya "tidak berwang" untuk menghargai pengorbanan dan jasa besar Pak Said. Beliau datang bersama Allahyarham isterinya, Salamah Abd Wahab dan anak-anak mereka. Sukar dilupakan saat itu. Pak Said merakamkan pengorbanan arwah dalam memoir keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.

Ketika itu, Dr Mahathir Mohamad masih gagah bertakhta sebagai Perdana Menteri. Selepas dimalukan oleh pengundi Melayu dalam pilihan raya umum 1999, beliau bertindak bebal mengharamkan beberapa penerbitan bahasa Melayu, termasuk yang diterajui saya sendiri, misalnya majalah-majalah Detik dan Wasilah, selain akhbar mingguan Eksklusif terbitan Karangkraf pada 1999 dan 2000. Harakah, dipancung kekerapannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Sehubungan itu, Mahathir dilabelkan NGO media antarabangsa sebagai antara "musuh utama akhbar". Namun, biarpun perdana menteri bersilih ganti kepada Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, situasi kebebasan media di negara ini tetap serupa. Jika ada sedikit ruang bernafas, terutama dalam konteks media baru, ia bukan petanda pemerintah bersikap terbuka tetapi "keterpaksaan" menerima hakikat perubahan sejagat yang tidak dapat dibendung lagi.

Saya kerap berhujah menyanggah dakwaan bahawa kerajaan bersikap lunak dengan suara-suara kritikan yang diluahkan melalui internet. Sebenarnya pemerintah tiada pilihan berdepan fenonema langit terbuka, dan ia sama sekali bukan petanda Umno-BN berlapang dada; mereka sebenarnya terpaksa akur!

Justeru, saya melihat gangguan pemerintah terhadap pengamal media negara ini bukan hanya ditandai dengan keganasan polis dalam demonstrasi Duduk Bantah, 28 April lalu, malah mempunyai rekod buruk yang begitu panjang sebelumnya.

Tak dipedulikan

Tunjuk perasaan raksasa yang menghimpunkan lebih suku juta umat itu sekadar meledakkan satu lagi isu besar, berkaitan hak kebebasan bersuara, yang selama ini jarang diperhatikan atau diambil peduli.

Pengamal media yang sepatutnya dilindungi semasa menjalankan tugas, kini entah mengapa dilihat sebagai ancaman kepada elit pemerintah. Semasa bertugas 28 April lalu, ada di antara mereka diperlakukan secara biadab, diherdik, dimaki-hamun dengan label perkauman, dirampas peralatan kerja seperti kamera, malah gajet tersebut yang menyimpan aksi ganas polis dimusnahkan. Lebih memalukan apabila mereka turut dibelasah pihak polis.

Membicarakan risiko tinggi yang dihadapi wartawan hari ini bukan bermakna saya dan rakan-rakan lain tidak bersedia menjalani tugasan yang mencabar atau mahu sentiasa berada dalam zon selesa untuk mendapatkan scoop. Kerjaya ini memang menuntut cabaran besar, termasuk berdepan risiko kemalangan jiwa seperti dialami jurnalis di medan tempur.

Cuma, malang sekalilah wartawan Malaysia yang terpaksa mempertaruhkan keselamatan diri hanya untuk melaporkan satu perarakan aman menuntut proses pilihan raya adil dan bebas! Wartawan bukannya berwatak "manja", "mandom" atau langsung tidak boleh "dicubit" ...

Terjebak dengan seribu satu kemungkinan buruk ataupun insiden di luar jangka merupakan satu hal berbeda dengan menjadi mangsa keganasan pasukan keselamatan, yang diperalatkan elit penguasa itu.

Umno berpakaian polis?


Seorang rakan yang turut menyertai Bersih 3.0 melontarkan persoalan berbeda: "Makin lama melihat rakaman Bersih 3.0 di YouTube, makin banyak terdedah aksi ganas polis, tapi apakah betul semua mereka itu polis ataupun ahli Umno yang diberi baju polis. Semasa saya berjalan dari Brickfield ke Masjid Negara dan seterusnya Masjid Jamik, saya nampak ramai polis bantuan. Saya rasa mereka itu ahli Umno."

Beliau menambah: "Saya ada pengalaman melihat seorang lelaki yang mengambil semua naskhah akhbar Selangor Kini di masjid pada hari Jumaat, untuk dibuangnya. Saya sempat bertanya, siapa sebenar dirinya. Dia mengaku anggota polis. Selepas diselidik dia rupa-rupanya kerani sekolah."

Saya membalas SMS sahabat saya itu: "Tidak mustahil ... bukankah ada kemusykilan ditimbulkan dalam facebook, mengapa ramai polis hari Bersih itu tidak pakai tanda nama?"

Kenalan saya, seorang pegawai polis, turut memberi reaksi: "Agaknya polis yang belasah demonstran itu, sebelum masuk polis memang ahli Umno pun. Bila dah jadi polis makin berlagaklah, lebih daripada koboi, senang-senang pukul orang tanpa sebab, Ini satu kesalahan besar dalam tatatertib pasukan polis, lebih-lebih lagi di tempat awam, terbuka dan beruniform penuh.

"Insiden ini memalukan pasukan polis. Ramai rakan setugas saya di tempat kerja mengeleng kepala, tidak sepatutnya polis hilang pertimbangan. Demonstran bukannya penjenayah atau gangster."

PDRM mengambil inisiatif mengedarkan gambar-gambar "perusuh" Bersih 3.0 agar mereka menyerah diri. Sedangkan seluruh negara heboh dan menyaksikan sendiri bagaimana pihak polis terbabit dalam "rusuhan" itu, menjadi ejen provokator dan bertukar "gila membabi buta" hanya kerana mendengar khabar angin rakan mereka mati disebabkan reaksi demonstran.

Klip video keganasan polis

Turut disiarkan dalam Facebook polis Kuala Lumpur itu ialah gambar anggota polis yang didakwa mengkasari orang awam serta wartawan, bagaimanapun malangnya polis dilihat hanya berminat dengan satu insiden di Jalan Tun Perak, sedangkan banyak lagi gambar atau klip video yang menggambarkan kekejaman polis telah dimuat-naik di internet tetapi tidak disebut.

Masyarakat sedang menilai bagaimana pihak polis menangani isu keganasan ini secara menyeluruh dan bijaksana atau sekadar menjadi perkakas politik sahaja. Imej polis berada di tahap paling rendah, mungkin di bawah kedudukan terburuk semasa Reformasi 1998 dahulu.

Saya tertarik dengan analisis Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang waras dan boleh berfikir, mungkin mudah terbeli dengan dakwaan Perdana Menteri bahawa penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab atas keganasan 28 April, khasnya amukan keganasan dan kekejaman polis terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media.

"Kuasa berlebihan, tidak bertempat dan tanpa berkecuali yang digunakan oleh polis, sama ada menembak gas pemedih mata, tembakan meriam air mahupun keganasan dan kekejaman lainnya, tidak boleh dihalalkan atas alasan demonstran merempuh penghadang Dataran Merdeka," tegasnya.

Rumusan Kit Siang cukup menarik: "Pentadbiran Najib harus diingatkan semula bahawa “musuhnya” bukan lagi komunis yang mengangkat senjata dan berperang di dalam hutan belantara tetapi sebuah gerakan masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan yang sudah celik politik yang turut berhubung dengan masyarakat dunia dan bergerak atas isu-isu yang sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti pilihan raya yang bebas dan adil; hak asasi untuk berhimpun dan berpersatuan; pentadbiran berintegriti, baik, bersih dan tanpa rasuah!"

Ya, polemik demonstrasi Bersih ini akan berlanjutan lebih lama dan mungkin bakal menangguhkan lagi tarikh PRU13. Ingatan Dr Abd Aziz Bari sepatutnya direnungi. Beliau menegaskan agar isu keganasan polis tidak melarikan fokus rakyat mendesak supaya reformasi sistem pilihan raya diteruskan.

Usah lupa agenda sebenar

Saya kira agenda rakyat itu cukup jelas. Dan insiden keganasan polis ini makin menjelaskan lagi tumpuan perjuangan mereka.

Dilihat reaksi PM Najib, yang mendakwa demonstrasi Bersih 3.0 sebagai usaha pembangkang menumbangkan kerajaan secara tidak sah, seperti berlaku di Medan Tahrir, Mesir, saya kira pemerintah memang sengaja mahu mengelak daripada menjawab tuntutan asasi lebih suku juta peserta himpunan, iaitu memastikan proses pilihan raya bebas dan adil.

Harapan tipis sekali untuk kita melihat kesediaan kerajaan Umno-BN mereformasikan sistem yang pincang dan tempang itu, terutama membersihkan senarai daftar pemilih, yang bukan hanya meragukan, tetapi kotor.

Tuntutan lain, seperti yang ditekankan KAMI, iaitu akses media yang adil dan saksama buat semua parti bertanding, pastinya akan dilupakan begitu saja. Anda percaya kumpulan Utusan Melayu dan Media Prima boleh melaporkan kebenaran? Ya, belum pun Parlimen dibubarkan, pejabat media berkenaan sudahpun menjadi bilik gerakan kempen BN!

.detikdaily
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger