Home »
» Pengalaman Ngeri Seorang Penggali Kubur.
Pengalaman Ngeri Seorang Penggali Kubur.
Written By canang on Sabtu, 26 Mei 2012 | 5/26/2012 07:11:00 PG
Pengalaman Ngeri Seorang Penggali Kubur | Pernahkah anda menonton drama Tanah Kubur di Astro Oasis. Rata-rata mungkin pernah menontonnya yang mana ia mengisahkan tentang pengalaman-pengalaman ngeri danseram yang terpaksa dihadapi oleh seorang penggali kubur. Ada yang diseksa, ada yang jenazahnya hangus terbakar dan pelbagai lagi. Namun kisah di bawah ini dikatakan benar tentangpengalaman seorang penggali kubur dari Muar Johor ini. Jom kita baca di bawah ini.
“Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. “Aii.. menung nampak? Kenapa?” tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
“Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah,” saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.
Mari pergi kat pondok… mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime dll. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah,” tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.
“Pergilah dulu, nanti aku datang,” balas saya lantas duduk termenung.
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.
Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal si mati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah…
Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee…. seramnya. Macam mana agaknya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya ? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal’azim…
Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.
Pergi… pergi sekarang ! Johar, masa inilah kalau nak cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.
Cepat, cepat, cepat ! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi ? ‘ Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut ? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati …
Jadi bisu ? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz Bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah…
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pernah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menyeberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM… PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
“Ya Allaaaaahhh… apa yang berlaku ini ? ” saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM…
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku..
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK… ERRRKKKKKKK
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK… UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba… PPPR-RRAAPPPPP!!!… bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK… TTAAPP… PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah !
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang amat dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga. Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.
“ARGGGHHHH” Jangan pukul aku lagiiiii!!!” saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.
“Arrgghhh… sakit, sakiiittt!!” saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.
“Johar… Johar !! ” sayup-sayup nama saya dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
“Johar… bangun, bangun!” nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo… rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.
“Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk.. Aku ambil air. Aku simbahlah,” kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.
Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.
Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di hati saya. Sesungguhnya janji ALLAH itu benar…MATI itu benar…SYURGA – NERAKA itu benar dan azab kubur itu juga benar. Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita. AMIN YA RABBAL A’LAMI.
sumber
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan