Home » » ‎'Tak boleh di dalam, depan stadium kita himpun'

‎'Tak boleh di dalam, depan stadium kita himpun'

Written By canang on Selasa, 9 Oktober 2012 | 10/09/2012 01:27:00 PTG

KUALA LUMPUR: Kalau tak bagi buat 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' dalam stadium, kita akan buat di hadapan stadium, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menolak permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut di situ.

"Tidak ada masalah kalau pihak stadium tolak permohonan kita atas alasan hendak baiki bumbung.

"Kita hendak buat perhimpunan itu bulan Januari depan dan pada 3 November ini kita anjurkan dahulu perhimpunan pelancaran untuk perhimpunan di Stadium Bukit Jalil itu," kata beliau sambil menjangkakan masih sempat kerja memperbaiki bumbung itu diselesaikan.

Perhimpunan pelancaran pada 3 November ini, kata Mohamad, akan diadakan di Negeri Sembilan di tempat yang akan diberitahu kelak.

Akhbar The Sun hari ini melaporkan, pengurusan Stadium Nasional dijangka akan menolak permohonan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran yang merupakan penerusan kepada perhimpunan-perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu.

Menurut akhbar itu, Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) yang menguruskan stadium tersebut tidak dapat memproses permohonan PR itu kerana kerja-kerja memperbaiki bumbung yang berterusan di stadium tersebut.

"Pihak pengurusan baru-baru ini menerima permohonan untuk mengadakan perhimpunan dari wakil PAS.

"Bagaimanapun, permohonan itu dan juga (permohonan) dari penganjur lain tidak mungkin dapat dipenuhi kerana kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di sini," akhbar tersebut memetik sumber stadium itu.

Menjelaskan mengenai perhimpunan itu, Mohamad berkata, ia bertujuan untuk menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.

Malah, kata Mohamad, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media utama sedangkan pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menunjukkan anggota keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan himpunan 28 April lalu itu.

“Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak dihiraukan, kita akan berhimpun lagi tidak kira di dalam atau di hadapan stadium Bukit Jalil," katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger