Home » » ‎"Kami Sebenarnya Penakut"......

‎"Kami Sebenarnya Penakut"......

Written By canang on Jumaat, 4 Januari 2013 | 1/04/2013 09:30:00 PG

Amanat Haji Hadi : Penjelasan Secara Langsung Adalah Kaedah Terbaik Leraikan Kekusutan

Saya terpanggil untuk memberikan respon terhadap kenyataan beberapa orang mufti berkaitan isu permintaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk muncul di kaca televisyen secara langsung bagi memberikan penjelasan berkenaan apa yang didakwa sebagai 'Amanat haji Hadi'. Kenyataan para mufti yang dimaksudkan ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar-akhbar pada hari ini 2 Januari 2013.

Saya ingin melahirkan rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan pandangan para mufti yang beranggapan bahawa siaran langsung penjelasan tersebut tidak perlu kerana akan menambah kekeliruan. Bahkan ada yang mempertikaikan niat sebenar Presiden PAS tersebut adakah mahu memberikan penjelasan ataupun mahu mencari populariti?

Pada saya, tidak timbul isu mencari populariti kerana pihak yang mencetuskan kembali isu yang telah berlalu tiga dekad ini ialah media massa milik UMNO/Barisan Nasional sendiri. Presiden PAS telah dikutuk dan dilanyak selama berminggu-minggu dengan pelbagai jenis kecaman dan tohmahan, justeru beliau berhak untuk memberikan penjelasan yang boleh diakses oleh semua pihak.

Sekiranya penjelasan Presiden PAS dibimbangi menimbulkan kekeliruan, adakah para mufti sendiri sanggup menegur sikap kerajaan yang membenarkan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen yang tentunya mempunyai kesan sosial terhadap anak muda? Adakah adil namanya apabila ucapan Presiden UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO disiarkan terus menerus secara langsung namun hak Presiden PAS untuk memberikan penjelasan ke atas fitnah yang dilemparkan hanya untuk sejam telah dinafikan?

Tidakkah ruang sejam yang diberikan kepada Presiden PAS itu boleh dijawab semula dengan penjelasan selama berminggu-minggu oleh para mufti ini? Atau mufti-mufti ini merasa tidak yakin dengan kemampuan ilmu yang ada pada mereka untuk menjawab kembali penjelasan Presiden PAS?

Perlu diperjelaskan bahawa saya menghormati para mufti atas ilmu dan kedudukan yang dimiliki, namun dalam hal ini saya memohon izin untuk berbeza pandangan. Pada saya, jika para mufti hanya ingin bersuara di atas kepentingan UMNO/Barisan Nasional, lebih tepat jika sekiranya berundur secara terhormat dan menyertai politik sepenuh masa. 

Justeru, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Presiden PAS berhak diberikan peluang untuk muncul secara langsung melalui televisyen bagi memberikan penjelasan. Adapun cadangan agar beliau menggunakan web tv melalui internet adalah tidak relevan sama sekali kerana ia tidak mampu dicapai oleh semua pihak berbanding fitnah dan tohmahan terhadap beliau yang telah diulang-ulang selama beberapa minggu melalui media massa utama.

Berkait dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO. Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa siaran langsung penjelasan Presiden PAS adalah merbahaya, saya hanya ingin menyuarakan simpati kepada Pemuda UMNO kerana mempunyai ketua seperti ini. Barangkali inilah faktornya beliau tidak terpilih menjawat apa-apa jawatan dalam kabinet Perdana Menteri, datuk Seri Najib Tun Razak sekalipun memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Sekian.

Dengan hormat,
ABDUL LATIFF ABD RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 2 Januari 2013



PhotobucketPhotobucket


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger