Home » » RAJA NAZRIN TUNJUK JALAN KELUAR "POLITIK" KEPADA RAKYAT

RAJA NAZRIN TUNJUK JALAN KELUAR "POLITIK" KEPADA RAKYAT

Written By canang on Khamis, 28 Februari 2013 | 2/28/2013 09:28:00 PTG



RAJA NAZRIN TUNJUK JALAN KELUAR "POLITIK" KEPADA RAKYAT

Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah mengingatkan rakyat bahawa setiap umat Islam yang berada dalam satu kabilah politik yang sama, tidak semestinya boleh bersatu dan terjamin perpecahan ummah tidak berlaku.

Baginda mengingatkan perkara ini dengan mengambil contoh tragedi yang menimpa Umno pada tahun 1987, sehingga mengakibatkan Umno disabitkan perintah pembatalan pendaftaran dan menjadi sebab tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.

Dr Raja Nazrin Shah bertitah, selain itu, krisis kepimpinan yang berlaku dalam Umno pada tahun 1998 pula mendorong kepada tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), walaupun parti itu sudah muncul sebagai organisasi politik yang gagah lagi terulung sebelum itu.

Titah baginda, PAS telah melalui pahit maung perjuangan, era jatuh dan bangun, bermula dari sebuah organisasi, terdiri daripada kumpulan ulama di dalam Umno, kemudiannya keluar Umno, memilih untuk mewujudkan entiti politik sendiri.

Berucap di Majlis Wacana Perpaduan Ummah di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, 19 Februari lalu, baginda bertitah, PAS telah melakukan pelbagai anjakan untuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruhnya.

"Dari organisasi yang amat daif, menumpang ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama Umno, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden.

"PAS di dokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari," titah baginda.

Dr Raja Nazrin Shah kesal, kerana kebelakangan ini pertentangan di antara kabilah politik telah melarat kepada tindakan berbentuk fizikal, dengan munculnya kumpulan pengacau daripada kalangan anak muda yang berlagak samseng melakukan perbuatan yang mengetepikan undang-undang.

Baginda bertitah, sekarang telah muncul anak muda mengoyak poster, melempar batu, mengadakan sekatan jalan raya, menyimbah cat ke potret pemimpin, memijak bendera negara.

"Toleransi kepada budaya gengsterisme adalah satu permulaan budaya yang amat tidak sihat, sangat bercanggah dengan semangat demokrasi, sangat bertentangan dengan sifat bangsa yang bertamadun dan anti tesis kepada budaya negara maju. Anak muda jangan dididik bersifat samseng," tegas baginda.

Berucap di majlis anjuran DBP yang bertajuk "Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti Dan Cabaran" itu, baginda menegur pihak berkuasa agar tidak memejamkan mata, sebaliknya wajib bertindak tegas ke atas pihak yang melakukan tindakan itu.

"Memperkenalkan dan bertoleransi kepada budaya samseng adalah satu kesilapan besar, ia bakal mencetus huru-hara, ia adalah perbuatan mungkar yang tidak mendapat keberkatan dan keredaan Ilahi, ia berpotensi menjadi bumerang yang bakal memakan diri sendiri," titah baginda.

Pada majlis itu, Dr Raja Nazrin Shah menegaskan, tidak salah untuk bangsa berada dalam pelbagai kabilah asalkan bangsa mencapai kata sepakat, bersatu pendirian, mempertahan, melindungi dan mengurus perkara-perkara menyentuh hak, maruah serta martabat bangsa Melayu dan agama Islam, yang sama sekali tidak harus dikompromikan.

Titah baginda lagi, badan kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan pula, hendaklah mengamalkan budaya profesionalisme yang tidak partisan, menyempurnakan tugas secara amanah, adil dan saksama, berpaksikan undang-undang dan peraturan.

Baginda mahu mereka tegas menegakkan kebenaran, cekal menentang kemungkaran, tidak bersekongkol merestui berlakunya penyelewengan terutama dalam mengurus khazanah, sumber kekayaan dan sumber kewangan negara.

Dr Raja Nazrin Shah turut menekankan peri pentingnya kegiatan keilmuan dan menambah komponen pengetahuan di kalangan ummah terutama daripada segi penghayatan dan amal, agar ummah memiliki iman yang kukuh, yakin berpegang bahawa rezeki, jawatan, pangkat dan kuasa datangnya dari Ilahi, lantas tidak gentar menyuarakan nasihat yang betul dan tidak goyah menyampaikan fakta yang benar, meskipun berhadapan dengan jeneral yang bengis atau menteri yang berkuasa.

"Memahami dan mendalami konsep Federalisme berasaskan Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan.


"Kerajaan yang dipilih oleh rakyat mesti ditubuhkan dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan Raja Pemerintah atau Yang Dipertua Negeri di peringkat negeri," tegas baginda. 





IKLAN


KOPI HERBA TERLARIS DIPASARAN MESTI MAU CUBA






Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger