KUALA LUMPUR 20 MEI: Jurucakap Gabungan NGO Suara Rakyat 505, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya akan menganjurkan ‘Pesta Himpunan Rakyat Tuntut Demokrasi’ pada 25 Mei di padang Amcorp Mall, Petaling Jaya bagi mengembalikan demokrasi yang dicuri secara besar-besaran, diikuti siri-siri lain di seluruh negara.
Katanya, pesta itu dijangka menghimpunkan rakyat dari seluruh negara agar bangkit menjadi kuasa ketiga dalam menghadapi penipuan Pilihan Raya Umum ke-13.
“Himpunan itu akan berlangsung dari petang sampai malam dan kita akan dedahkan semua bukti jelas yang kita kumpulkan dari semua Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri).
“Kita juga akan tampilkan saksi-saksi yang terlibat menguruskan pilihan raya, dan semua ini telah kita kenalpasti dan tapis kesahihannya,” kata Badrul yang juga Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Beliau mengingatkan pihak berkuasa dan rakyat agar tidak termakan dengan provokasi ‘perang saraf’ BN yang cuba mengambil kesempatan dari mood kemarahan rakyat.
“Pesta rakyat ini tiada kena-mengena dengan menggulingkan kerajaan sebaliknya kita tuntut kembalikan hak rakyat dengan cara paling demokrasi. Kita akan beri penerangan yang jelas kepada rakyat.
“Segalanya terkawal, rakyat boleh datang tanpa rasa takut, semua bukti akan kita tampilkan dalam bentuk audio-visual, anda datang dan lihat sendiri,” katanya sambil menyifatkan pesta himpunan itu akan menjadi salah satu cara paling baik bagi rakyat menyampaikan kasih sayang kepada negara.
Selain itu, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang yang juga menyokong gerakan Suara Rakyat 505 menegaskan himpunan kali ini tiada kaitan dengan Malaysian Spring seperti yang digembar gembur media arus perdana.
“Malaysian Spring hanya agenda yang direka untuk menakut-nakutkan rakyat. Kami mahasiswa terlibat secara profesional dan kami yakin, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bertanggungjawab dalam penipuan yang berlaku, kami tuntut mereka letak jawatan,” tegas Safwan.
Gabungan 48 NGO itu antara lain menuntut tiga perkara, iaitu pembubaran SPR bagi memberi laluan kepada SPR yang dilantik secara pendengaran awam dan diletakkan di bawah kuasa Parlimen Malaysia.
Kedua, mendesak pilihan raya semula di tempat yang terbukti jelas wujud penipuan tanpa mengira logo sama ada BN atau Pakatan Rakyat.
Ketiga, gabungan ini menyokong tribunal rakyat yang diperjuangkan oleh Bersih selain mengharapkan sistem demokrasi diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=52263
Tiada ulasan:
Catat Ulasan