Kira-kira 2,500 rakyat Singapura yang diketuai penulis blog tempatan mengadakan bantahan di Speakers' Corner di Hong Lim Park hari ini untuk mendesak kerajaan menarik balik syarat baharu pelesenan yang dikenakan terhadap laman web berita berkuatkuasa 1 Jun.
Perhimpunan aman ini dianjurkan sekumpulan penulis blog dikenali sebagai #FreeMyInternet, yang menentang pelaksanaan syarat itu. Kumpulan ini berpendapat penguatkuasaan syarat berkenaan merupakan cubaan untuk membuat penapisan dan melanggar hak rakyat Singapura untuk mendapatkan maklumat secara dalam talian.
Dalam kenyataan dikeluarkan selepas bantahan itu, #FreeMyInternet berkata ia mendapat semangat daripada kejayaan kempen pertamanya menentang Rejim Pelesenan MDA baharu, yang disifatkan ramai pengulas media sebagai titik perubahan dalam landskap peraturan media di republik ini.
Kata kumpulan ini, lebih 4,000 orang menandatangani petisyen yang dikemukakannya secara dalam talian (jumlahnya terus meningkat), manakala lebih 150 blog menyertai mogok secara dalam talian anjurannya dan kira-kira 2,500 orang menyertai bantahan paling besar yang diterajui penulis blog dalam sejarah Singapura, tengah hari ini.
Sebagai langkah berikutnya, kenyataan itu berkata #FreeMyInternet akan terus membuat gesaan agar Rejim Pelesenan itu ditarik balik. Kata kumpulan itu, pada minggu-minggu akan datang ia akan mengedar bahan dan mengadakan program untuk mendidik orang ramai serta Anggota Parlimen tentang kenapa Rejim Pelesenan itu perlu ditarik balik.
"Kami tidak menolak mengadakan dialog dengan kerajaan, tapi dialog ini mestilah berupa perbincangan tentang cara Rejim Pelesenan ini akan ditarik balik dan ia mestilah merupakan dialog tentang bagaimana langkah membebaskan persekitaran media daripada belenggu peraturan boleh dilakukan dengan sebaik-baiknya untuk memberi manfaat kepada rakyat Singapura," kata kenyataan itu.
Mulai 1 Jun 2013, laman berita dalam talian yang sering memuatkan laporan tentang isu berkaitan Singapura dan mempunyai ramai pengikut di sini, dikehendaki mendapatkan lesen daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA).
Di bawah rangka kerja pelesenan ini, laman berita dalam talian akan diberi lesen secara individu sekiranya ia (i) menyiarkan laporan purata sekurang-kurangnya satu artikel seminggu tentang berita dan hal ehwal semasa berkaitan republik ini bagi tempoh dua bulan, dan (ii) dikunjungi sekurang-kurangnya 50,000 alamat IP unik dari Singapura sebulan bagi tempoh dua bulan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan