NGO pendesak Melayu PERKASA mendesak kerajaan menarik kerakyatan pembikin filem Namewee yang didakwa "biadap dan kurang ajar" susulan penerbitan posting blog videonya di Youtube yang mengkritik kerajaan.

Ia sebagai reaksi kepada tindakan kerajaan yang mengarahkan supaya dikaji semula kelulusan filem The New Village.

Timbalan presidennya Datuk Abdul Rahman Bakar mendakwa pembikin filem itu dianggap "sudah melampau batas" kerana terus mengulangi "kenyataan biadap" sekalipun kemaafan diberikan atas tindakan beliau sebelum ini.

"Kita mendesak kerajaan dan pihak berwajib tidak lagi berlembut dengan tingkah laku Namewee. Banyak kemaafan (diberikan).

"Kami minta kerajaan benar-benar melaksanakan tindakan sewajarnya supaya keharmonian dapat berkekalan.

"Namewee sudah melampau, melebihi batas yang sepatutnya...(Kita desak) warga negara dia pun ditarik balik," katanya.

Bercakap dalam sidang medianya petang ini, Abdul Rahman turut memuji tindakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang mengecam Namewee susulan penerbitan posting blog video itu.

"Sedangkan beliaulah yang menyambut di parlimen dahulu, tapi dia (Namewee) tidak menghargainya," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim dilapor berkata Namewee telah berkelakuan melampau dalam posting blog videonya di Youtube, di mana dia mengembar-gemburkan tentang 'double standard' dalam pendekatan pihak berkuasa terhadap industri filem.

Namewee berkata, walaupun filem itu adalah tentang Parti Komunis dulu tetapi menurutnya itu semua hanya sekadar sejarah.

"Takkan kerana beberapa bantahan bodoh, kamu pun sekat filem ini," kata Namewee sambil menyifatkannya sebagai keterlaluan, serta membangkitkan tentang satu lagi filem kontroversi Tanda Puterayang akan ditayangkan pada 29 Ogos.

Filem The New Village sepatutnya mula ditayangkan pada 22 Ogos, tetapi Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan Lembaga Penapisan Filem (Finas) mengkaji semula filem itu berikutan aduan oleh Exco Pemuda Umno, Lokman Adam yang mendakwa filem itu mengagungkan komunisme.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman mempersoalkan peranan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang lambat mendakwa orang bukan Melayu yang membuat kesalahan sedangkan pendakwaan cepat dibuat terhadap kaum Melayu.

"Apabila kena pada orang Melayu tindakan begitu cepat diambil, bukan Melayu, perkara itu dibiar begitu sahaja.

"Kita tidak rasis, tapi sikap (dia) sudah melebih. Tidak ada rasa hormat dengan keharmonian dan apa juga kerajaan buat," kata Abdul Rahman.]]