Dalam entri sebelumnya mengenai Proton Saga FLX SV, saya ada menyebut mengenai reputasi salah satu pesaingnya iaitu Perodua Viva yang semakin tercalar berikutan beberapa kes kemalangan maut melibatkan kereta tersebut, berikutan struktur kerangkanya yang begitu lemah.
Kemalangan melibatkan Perodua Viva di Lebuhraya Persekutuan
FT2 yang mengorbankan tiga pelajar universiti, yang mana
kerangka Perodua Viva ini seakan terkoyak seperti kertas.
Ia terbukti semasa kemalangan maut di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 dekat Bukit Antarabangsa serta yang terbaru di Lebuhraya Persekutuan FT2 dekat Shah Alam; kedua-duanya melibatkan Perodua Viva yang mana kerangka kedua-dua kereta tersebut terkoyak seperti kertas, menyebabkan hampir kesemua pemandu dan penumpang (kesemua bagi kes MRR2 FT28) terbunuh.
Berikutan kes-kes kemalangan maut melibatkan Perodua Viva, saya berasa amat kesal kerana tahap keselamatan kereta tersebut yang sebegitu teruk sehinggakan kerangka boleh terkoyak semasa kemalangan, sungguhpun harganya lebih kurang sama atau lebih mahal daripada Proton Saga FLX yang mendapat 3 bintang dalam Asean NCAP.
Mungkin ada di antara anda (terutamanya pemilik kereta Perodua Viva) akan berasa marah apabila membaca entri ini, tetapi niat saya di sini bukanlah untuk menjadi jurujual Proton ataupun menghina kereta buatan tempatan.
Saya menulis entri ini kerana saya berasa amat kesal apabila sebuah pengeluar kereta yang sepatutnya mengeluarkan kereta mampu milik yang jimat minyak dan selamat untuk rakyat sebaliknya mengeluarkan "kereta tin Milo" yang tidak selamat tetapi lebih mahal daripada "kereta rakyat" sebenar yang masih dicemuh oleh sebilangan orang kita meskipun ia lebih selamat dan lebih murah.
Saya percaya, ramai pemilik Perodua Viva yang akan marah-marah dan mengatakan bahawa kesemua kereta lain hatta Mercedes-Benz dan BMW pun kereta tin Milo juga.
Kepada golongan tersebut, cuba bertenang dan baca dahulu entri ini lebih lanjut untuk penerangan mengenai zon remukan (crumple zone), yang menjadi asas binaan kerangka kereta-kereta sekarang. Pada zaman dahulu, persepsi masyarakat mengenai kereta ialah kereta yang lebih keras dan lebih kebal itulah yang dikatakan sebagai "selamat".
Namun, tanggapan tersebut disanggah oleh Béla Barényi, seorang jurutera Mercedes-Benz yang digelar "Bapa Keselamatan Pasif" dalam bidang automotif, yang sebaliknya mengatakan bahawa kereta yang keras dan kebal itulah yang sebenarnya lebih berupaya membunuh pemandu serta penumpang terutamanya pada kelajuan tinggi, yang boleh ditunjukkan melalui persamaan E = ½ mv².
Misalnya, kereta seberat 2,000 kg yang berlanggar pada kelajuan 60 km/j menghasilkan impak pelanggaran yang sama seperti jatuh dari bangunan setinggi 14.2 m, tetapi apabila kereta yang sama berlanggar pada kelajuan 90 km/j, impak pelanggaran adalah sama seperti jatuh dari bangunan setinggi 32 m, meningkat secara drastik sehingga 125%.
Maka, beliau berpendapat bahawa untuk melindungi pemandu dan penumpang, impak pelanggaran mestilah diserap oleh badan kenderaan melalui bahagian yang mudah remuk secara terkawal.
Maka, beliau berpendapat bahawa sebuah kereta yang selamat terdiri daripada ruang kabin yang keras dan kebal tetapi dalam masa yang sama mempunyai ruang but dan bonet yang mudah remuk secara terkawal.
Sebab itulah jika diikutkan kereta-kereta sekarang kesemuanya "kereta tin Milo" - bezanya cuma bezanya cumalah kereta mana yang "lebih rasa tin Milo"!
Namun, cabaran yang dialami oleh mana-mana pengeluar kereta ialah menghasilkan kereta yang mempunyai ruang kabin yang keras dan kebal tetapi dalam masa yang sama pula mempunyai ruang bonet dan but yang cukup lembut, dengan menggunakan besi keluli yang sama jenis, untuk menangani impak pelanggaran pada kelajuan tinggi tanpa mencederakan atau membunuh pemandu dan penumpang.
Maka, dua kriteria diperlukan untuk membolehkan keadaan tersebut dicapai - pemilihan jenis keluli serta rawatan haba yang dikenakan untuk memperkuatkan komponen-komponen tertentu pada kerangka.
Gambar rajah fasa keluli (besi-karbon)
Besi merupakan anugerah Allah yang amat berharga dalam peradaban manusia. Besi yang diekstrak dan dileburkan untuk dijadikan jongkong mempunyai kandungan karbon yang tinggi (besi tuang) bersifat rapuh dan kurang sesuai dijadikan kerangka kenderaan;
oleh itu, kandungan karbon mestilah dikeluarkan dan dikawal sehingga mencapai peratusan tertentu dan seterusnya disejukkan atau dilindap kejut (quench) untuk menghasilkan keluli pada kekuatan yang dikehendaki.
Namun, keluli biasa masih mempunyai limitasi dan had sebagaimana yang berikut:-
oleh itu, kandungan karbon mestilah dikeluarkan dan dikawal sehingga mencapai peratusan tertentu dan seterusnya disejukkan atau dilindap kejut (quench) untuk menghasilkan keluli pada kekuatan yang dikehendaki.
Namun, keluli biasa masih mempunyai limitasi dan had sebagaimana yang berikut:-
- Kekuatan tegangan yang maksima ialah 700 N/mm2
- Komponen-komponen yang besar sukar untuk dikeraskan dengan berkesan dengan itu terhad untuk bahagian-bahagian yang kecil.
- Melindap-kejut (quench) dengan air menghasilkan kekerasan yang sepenuhnya tetapi terdedah kepada herotan dan retakan.
- Jika dilembutkan dengan cepat pada suhu 300°C, kegunaannya terhad untuk memotong logam dengan kelajuan yang tinggi.
- Mempunyai daya rintangan yang rendah kepada kakisan dan pengoksidaan pada suhu yang tinggi.
Berikutan limitasi pada keluli karbon biasa, keluli yang selalunya digunakan dalam pengeluaran kereta ialah dari jenis keluli aloi rendah berkekuatan tinggi (high-strength low alloy steel) atau keluli HSLA. Keluli jenis ini turut dicampur dengan bahan-bahan pengaloian lain seperti mangan, fosforus, sulfur dan silikon bagi menghasilkan keluli yang bukan sahaja cukup kuat untuk dijadikan kerangka kereta, malah ia juga tahan kakisan.
Selain pemilihan jenis keluli, rawatan haba juga diperlukan agar setiap komponen kerangka yang terlihat mempunyai tahap kekuatan yang bersesuaian selaras dengan fungsi mereka. Teknik rawatan haba ini melibatkan pemanasan atau penyejukan logam seraca pantas atau perlahan bagi menambahkan kekuatannya, dan ia boleh melibatkan kerja lain seperti tempaan dan tekanan.
Teknik sebegini juga diamalkan oleh mana-mana tukang besi di dunia untuk memperkuatkan peralatan besi buatan mereka.
Semasa membangunkan kerangka bagi Proton Preve, Proton menggunakan teknik tekanan panas sebagai rawatan haba bagi 12 komponen kritikal kerangka supaya kekuatan komponen-komponen tersebut ditingkatkan sehingga mencapai tahap ketegaran kilasan 19,000 N-m/darjah tetapi dalam masa yang sama menggunakan keluli HSLA ringan.
Hasilnya, Proton Preve adalah kereta Proton yang paling selamat serta kereta keluaran Proton yang pertama berupaya memperolehi 5 bintang penuh dalam ANCAP. Ia merupakan peningkatan mendadak daripada hanya 1 bintang (seperti pada Proton Arena dan Proton Wira) kepada 3 bintang (seperti pada Proton Waja dan Proton Saga FLX), 4 bintang (Proton Exora) dan akhir sekali 5 bintang (Proton Preve).
Peningkatan sebeginilah yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pengeluar kereta - daripada sebuah "kereta tin Milo" yang mudah kemek kepada sebuah kereta yang walaupun masih boleh kemek apabila dilanggar tetapi kabinnya cukup kebal untuk melindungi pemandu dan penumpang.
Babak dalam Top Gear mengenai Perodua Kelisa yang mencetuskan kontroversi di dalam Parlimen
Anda tentunya masih ingat akan rancangan Top Gear di mana salah seorang daripada pengacaranya, Jeremy Clarkson, telah membeli sebuah Perodua Kelisa dan memusnahkannya pada hari yang sama - mengetuk bumbung dan bonet hadapan dengan tukul besi, menekan bumbung tersebut dengan tangan, dan seterusnya menggantung kereta tersebut menggunakan kren serta mengikat beban 1 tan pada kerangka hadapan Kelisa, menyebabkan bampar serta segala isi bonet kereta tersebut terburai, dan akhir sekali meletupkan Kelisa tersebut menggunakan dinamit.
Babak tersebut kemudian dikecam oleh Parlimen Malaysia dengan dakwaan bahawa tiada satu pun komplen diterima daripada mana-mana pengguna Kelisa di United Kingdom.
Namun, dari sudut kejuruteraan pula, jika kereta tersebut tidak mampu untuk menampung satu tan beban yang dikenakan pada mana-mana bahagian kerangka, maka sudah tentulah kereta tersebut terlalu berbahaya kerana jika berlaku kemalangan pada kelajuan tinggi, ada kemungkinan kerangka akan terkoyak kerana tidak mampu menampung daya yang terhasil akibat pelanggaran.
Apa tidaknya, jika sebuah Perodua Kelisa dipenuhi 5 orang dewasa dengan berat purata 65 kg, membawa muatan di dalam but seberat 30 kg dan diisi setangki penuh minyak, maka berat beban tambahan yang perlu dipikul oleh sebuah kereta yang beratnya tidak sampai 700 kg itu sudah melebihi 400 kg.
Jadi, Perodua sepatutnya mengambil iktibar dengan berusaha menambahkan kekuatan kerangka kereta-kereta buatan mereka - kalau tak boleh guna jenis keluli yang lebih berat, gunakanlah rawatan haba! Jika kerangka kereta itu sendiri sudah tidak kuat, maka 8 biji beg udara pun tidak berupaya melindungi pemandu dan penumpang daripada impak pelanggaran yang kuat.
Untuk pengetahuan anda, komponen terpenting bagi melindungi pemandu dan penumpang semasa kemalangan ialah kerangka kereta itu sendiri, kerana ia membentuk perlindungan keselamatan aktif.
Tali pinggang keledar, alas kepala, lajur stereng mudah pecah serta beg udara pula membentuk perlindungan keselamatan pasif. Maka, jika sesebuah kereta itu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan tetapi dalam masa yang sama pula badan kereta terlalu lemah dan mudah remuk seperti tin Milo, maka sia-sialah perlindungan pasif yang diberikan.
Kesimpulannya, semua pemain industri automotif di Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya dalam menghasilkan kereta yang selamat tetapi mampu milik kepada rakyat Malaysia.
Memang benar, kita ada ramai pemandu ***** yang suka melanggar peraturan jalan raya, tetapi dalam masa yang sama kita memerlukan kenderaan yang cukup kuat untuk melindungi kita dan orang yang tersayang.
Maka, kita berhak untuk memiliki kenderaan yang mampu memberi perlindungan secukupnya daripada "kejahatan" pemandu-pemandu ***** tersebut kerana melindungi diri dan orang tersayang juga sebenarnya satu bentuk jihad.
Akhir kata, kereta buatan tempatan yang cukup kuat dan selamat juga secara tidak langsung berupaya menghentikan segala bentuk kecaman terhadap kereta buatan tempatan oleh orang-orang kita sendiri.
Sumber: http://myinfohubs.blogspot.com/
1 ulasan:
Dato Sri Hishamuddin, Dato Sri Zahid, Dato Mahfuz, Ketua Pengarah JPJ dan IGP patut baca artikel ni.
Catat Ulasan