Pelajar pengajian undang-undang, K S Bawani tidak menyangka fenomena "listen, listen, listen" yang tercetus selepas berlaku pertengkaran mulut di antara beliau dengan Presiden Aktivis Persatuan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen mengubah hidupnya.
Kejadian yang berlaku awal tahun ini mencetuskan fenomena sejurus selepas klip video berdurasi 24 minit mengenai forum suara mahasiswa anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dimuat naik di laman sosial Youtube.
Video tersebut yang memaparkan Sharifah sebagai moderator program tersebut memarahi Bawani dan mengatakan "listen, listen listen” serta enggan memberi ruang kepada pelajar itu memberikan pandangan pada Disember lalu.
Sharifah turut merampas mikrofon Bawani dan menyamakan masalah manusia dengan haiwan sebagai jawapan kepada pertanyaan pelajar itu mengenai isu pendidikan percuma.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, Sharifah dikatakan masih enggan memohon maaf kepada Bawani.
Tetapi ia bukan sahaja membuat Bawani terkenal, malah menjadikan perjuangannya untuk keadilan sosial diketahui.
"Saya semakin terkenal sekarang," katanya sambil tertawa.
Bawani menyifatkan kejadian tersebut membawa tuah kepadanya dan menyebabkan kemenangan dalam pilihan raya kampus di UUM Oktober lalu.
Bawani adalah di antara 13 calon daripada kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) yang memenangi 36 kerusi berbanding kumpulan Pro Aspirasi meraih 15 kerusi, kumpulan pelajar baru Hijrah mendapat enam kerusi manakala baki dua kerusi dimenangi calon bebas.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Bawani bertanding dalam pilihan raya kampus.
Katanya, pada tahun lalu dia bertanding di atas tiket calon bebas, tetapi gagal.
"Tahun lalu saya masih agak kabur untuk bertanding tapi kali ini saya lihat Pro-M di UUM bertambah kuat dan ramai yang menyertai pilihan raya.
"Mereka juga meminta untuk saya bertanding dan akan turut bersama sekiranya saya bersetuju," katanya.
Bawani berkata, kejayaannya memenangi salah satu kerusi dalam pilihan raya kampus bukan perkara mudah kerana terpaksa melalui pelbagai halangan.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, apabila pembabitan dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjadi isu digunakan pihak lawan untuk menentang dirinya.
"Mereka (pihak lawan) mengaitkan nama saya dengan komunis dan pelbagai lagi malah mereka juga mengedarkan risalah kononnya saya menyokong Chin Peng.
"Pentadbiran universiti juga bertindak memanggil beberapa calon dan menyiasat adakah saya ini mempunyai agenda tersembunyi dan cuba meracun fikiran pelajar, " katanya.
Beliau terkejut dengan kejadian itu, tetapi ia tidak menghalangnya untuk memenangi kerusi.
"Pelajar lain kini sudah mula sedar dan nampak apa yang saya perjuangkan dan lebih penting mereka dapat melihat apa yang berlaku dalam universiti apabila ada pihak cuba meracun pemikiran pelajar," katanya.
Bawani bagaimanapun bertegas bahawa dia tidak akan menjadi ahli politik .
"Saya tidak memilih kerjaya dalam politik kerana lebih berminat dengan kerja sukarelawan dan bantuan sosial selain berharap dapat mempraktikkan undang-undang selepas tamat belajar," katanya.
Gadis kelahiran Kampar ini sebenarnya dilahirkan dalam kalangan keluarga yang mempunyai pengaruh latar belakang MIC apabila mendiang bapanya adalah Ketua MIC bahagian dan ibunya masih menjadi ahli parti tersebut.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, keluarganya memberikan sokongan penuh kepada perjuangannya.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam PSM pula Bawani berkata, ketika itu dia masih lagi pelajar dalam bidang psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Saya menyertai kumpulan kebajikan pelajar dan daripada situ kami menjalankan program menolong beberapa keluarga miskin dan ia melibatkan aktiviti melawat pada setiap minggu untuk menganjurkan kelas tambahan dan kelas kepada remaja.
"Aktiviti sebegitu begitu mencerminkan diri saya kerana sememangnya saya menyukai kerja sukarelawan dan menolong orang dengan pelbagai cara," katanya.
Bawani yang kini Ketua Pemuda PSM berkata, selepas berjaya menamatkan pengajian ijazah dalam psikologi, beliau mendakwa didiskriminasi apabila pemohonanya menyambung program sarjana ditolak berikutan penglibatannya dalam PSM.
"Ketika temuduga saya kerap kali ditanya mengenai PSM, mengenai pemimpin parti dan apakah kerja saya di sana. Mereka langsung tidak bertanya mengenai pengalaman saya dalam psikologi," katanya.
Seperti dijangka, dia gagal dalam temuduga tersebut lantas memutuskan untuk terus bekerja dengan PSM.
"Tetapi saya selalu menginginkan untuk menjadi seorang peguam namun menyedari kemampuan bahasa Inggeris kurang bagus menyebabkan saya kurang yakin.
Bagaimapun dia kemudiannya nekad memohon ijazah dalam pengajian undang-undang di UUM pada 2011.
"Saya nekad memberitahu kepada diri sendiri untuk berdepan dengan ketakutan dan ikut apa kata hati saya, " katanya.
Artikel Penuh: http://
Tiada ulasan:
Catat Ulasan