Home » » ILMU SAKA ROSAKKAN MANUSIA

ILMU SAKA ROSAKKAN MANUSIA

Written By canang on Sabtu, 18 Januari 2014 | 1/18/2014 12:00:00 PTG

IKHTIAR…apabila mendapat tahu diri atau ahli keluarga mewarisi saka segera dapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam.
SAKA dikaitkan dengan mewarisi jin yang membolehkan makhluk halus itu menjadikan pewarisnya dengan pelbagai kuasa ghaib seperti memiliki kecantikan, kekuatan luar biasa atau menjadi individu berpengaruh.
Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah haram di sisi Islam. Biasanya saka diwariskan kepada anak atau cucu kepada pemilik saka.
Saka adalah ilmu keturunan yang dipusakai ada hubung kaitnya dengan jin, sama ada dibela, dibuat sahabat secara sedar atau tidak oleh pemiliknya
Gejala saka amat berbahaya dan mampu merosakkan kehidupan seseorang. Maka, penting kita menyiasat diri dan keluarga daripada mewarisi saka.
Masyarakat Melayu memahami saka sebagai ilmu yang dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya. Contohnya daripada ibu atau bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucunya, atau seseorang dalam lingkungan keluarga.
Kesan jangka panjang jika seorang yang mewarisi saka ialah mampu menjadikan seseorang itu mendapat sakit sehingga koma atau lumpuh.
Umumnya, kebanyakan orang yang memiliki saka berkebolehan merawat orang yang sakit disebabkan jin dan syaitan. Cara rawatannya dengan menurun menggunakan mantera atau jampi.
Bacaan dan amalan yang dilakukan itu amat meragukan serta sukar difahami. Ia bertentangan dengan syariat kerana mempunyai unsur syirik yang boleh merosakkan akidah.
Jika seseorang itu menyatakan hasratnya pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau ‘layak’ mewarisinya.
Penurunan ilmu saka boleh berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima barang tertentu peninggalan si mati seperti barangan kemas, keris, lembing atau tombak.
Syaitan akan sentiasa memastikan setiap manusia atau orang yang mewarisinya sesat ketika sampai ajal mereka. Pada mulanya memang saka kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, keluarga dan harta benda tetapi itu semua hanya tipu helah untuk menyesatkan manusia.
Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul dalam jangka masa panjang di mana kemuncaknya menyebabkan manusia itu berdosa besar kerana mensyirikkan Allah SWT.
Antara kesan buruk memelihara saka ialah pemiliknya menghadapi seksaan yang amat perit ketika menghadapi saat kematian kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa ketika menemui ajal.
Situasi lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Gangguan saka juga menyebabkan seseorang dilanda penyakit misteri. Justeru ahli keluarga atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal.
Bagi mereka yang sudah menerima, berusahalah untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam yang menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai kaedah rawatan.
Pengamal Perubatan, Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata saka adalah perjanjian yang dibuat antara nenek moyang dengan jin laknatullah untuk mendapat kehebatan, kekuatan, kecantikan, perlindungan tertentu melalui perjanjian tertentu dalam tempoh yang ditentukan (tujuh keturunan).
“Saka berada dalam tubuh badan manusia sejak sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia. Ia berlaku sama ada seorang itu mengetahuinya ataupun tidak.
“Jin berkenaan ditinggalkan nenek moyang pembawa saka apabila mereka meninggal dunia. Ketika hidupnya, mereka berkawan atau membela jin berkenaan yang dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat kita seperti polong, pelesit, toyol dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata terdapat kronologi bagaimana jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka berkenaan.
“Selepas nenek moyang yang membela jin terbabit meninggal dunia, jasadnya mati selepas roh keluar dari badannya. Namun Begitu, jin yang berdamping dengan nenek moyang itu tidak mati kerana umur jin bukan seperti manusia.
“Apabila jasad perumah saka dikebumikan, jin akan bebas seperti keadaan layang-layang yang terputus talinya. Maka ia akan berkeliaran di atas muka bumi ini untuk mencari pewaris baru,” katanya.
Sharhan berkata kebiasaannya jin berpindah kepada anak cucu yang mengamalkan jampi tertentu yang diambil daripada si mati.
“Saka turut berpindah kepada waris seperti anak atau cucu yang menyimpan barang peninggalan si mati. Mereka berpotensi besar mewarisi saka disebabkan pernah tinggal serumah bersama si mati.
“Selain itu, golongan yang menjadi sasaran kepada saka adalah anak cucu yang cetek pengetahuan agamanya, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan ibadat seperti solat, mereka yang lemah fizikalnya serta memang terlalu menginginkan sangat kehebatan serta kelebihan nenek moyang mereka,” katanya.
Beliau berkata memang terdapat pertalian erat antara jin dan saka kerana jin yang diwariskan itu umpama harta peninggalan.
“Terdapat hadis daripada Abu Tha’labah berkata. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jin itu mempunyai tiga jenis iaitu jenis yang mempunyai sayap dan berterbangan di udara, jenis yang berbentuk ular dan anjing dan jenis yang berpindah randah.
“Jenis jin ketiga itu dikelaskan jenis jin yang menjadi saka kerana mampu berpindah dari satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya,” katanya.
Sharhan berkata mereka yang memiliki saka juga mempunyai kebolehan mengubati penyakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan tetapi mereka menggunakan dengan cara meragukan.
“Kebanyakan mereka berubat dengan kaedah menurun. Pembawa saka mampu mengubat tetapi dengan menggunakan jampi yang mempunyai unsur syirik.
“Malah jampi yang digunakan langsung tidak difahami maknanya,” katanya.
Beliau berkata terdapat amalan yang mampu menghalang seseorang itu menjadi mangsa saka dengan berkat keizinan Allah SWT.
“Segala bentuk gangguan jin dapat dielakkan dengan syarat kita percaya dan benar-benar yakin Allah yang menyembuhkan.
“Antaranya boleh mengamalkan zikir, membaca surah Mulk sebelum tidur, berwuduk sebelum tidur atau ketika mengadakan hubungan kelamin dengan isteri, jadikan amalan membaca surah Yaasin setiap Subuh, membaca Basmalah sebagai wirid setiap kali melakukan pekerjaan dan perdengarkan bacaan ayat ruqyah di dalam rumah,” katanya.
Petanda seseorang mempunyai saka:
Gejala waktu tidur
  • Susah tidur malam.
  • Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
  • Mimpi buruk yang dikenali sebagai kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang mengancamnya kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa mendengarnya.
  • Mimpi perkara menakutkan dan menyeramkan.
  • Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus.
  • Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
  • Ketawa, menangis dan menjerit-jerit ketika tidur.
  • Berdiri dan berjalan ketika tidur.
  • Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
  • Mimpi berada di kawasan kotor atau di tanah perkuburan.
  • Mimpi melihat budak kecil.
  • Mimpi melihat salib atau gereja.
  • merintih dan menangis ketika tidur.
Gejala waktu jaga
  • Selalu pening kepala.
  • Lalai mengingati Allah SWT
  • Sering lesu dan malas.
  • Rasa sakit di salah satu anggota badan.
  • Sakit di belakang terutamanya tulang belakang.
  • Lenguh sendi-sendi utama.
  • Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati.
  • Mudah panik apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
  • Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan hidup.
  • Mudah marah dan panas baran.
  • Emosional dan terlalu sensitif.
  • Terasa seperti terdapat sesuatu di bawah tapak kaki seperti terpijak batu atau telur.
  • Sentiasa mengantuk terutamanya dalam majlis ilmu.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger