Umno sengaja memainkan isu perkauman semata-mata mahu mengalih perhatian daripada isu kenaikan harga barangan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar).
Lim dalam satu kenyataan petang tadi menegaskan, kenyataan berbaur perkauman yang dimainkan Umno PulauPinang ketika demonstrasi di Seberang Prai baru-baru ini adalah pengakuan tersirat Umno mereka adalah penyebab insiden tragedi 13 Mei.
"Laporan polis akan dibuat oleh wakil rakyat DAP Pulau Pinang terhadap Umno Pulau Pinang yang melakukan serangan perkauman kepada bukan Melayu dan mengeluarkan kenyataan seperti ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 berlaku... Mahu lagi?'
"Ancaman ini adalah satu pengakuan yang tersirat oleh Umno bahawa mereka adalah penyebab tragedi berdarah 13 Mei, 1969 yang menyebabkan kehilangan beribu nyawa tidak berdosa," katanya dalam kenyataan berkenaan.
"Bagi mengelakkan daripada bertanggungjawab terhadap kenaikan harga dan rasuah, Umno tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyemarakkan api kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu bagi mengekalkan cengkaman mereka ke atas undi orang Melayu," kata ketua menteri Pulau Pinang itu lagi.
Kerajaan negeri Pulau Pinang juga jelas Lim tiada masalah dengan demonstrasi awam Umno terhadap sesiapa sahaja asalkan dalam keadaan aman.
"Kami ingin mengingatkan pihak polis untuk membenarkan demonstrasi aman yang sama oleh Pakatan Rakyat pada masa akan datang.
Umno mengadakan demonstrasi berkenaan bagi membantah 'flash mob' bertema kangkung oleh Adun PKR Machang Bubuk Lee Khai Loon yang kononnya mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum itu menyatakan bahawa harga kangkung telah turun dan tidak meningkat sepertimana barangan lain.
Perhimpunan 700 orang Umno Pulau Pinang itu juga, jelas Lim, telah dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican serta pemimpin Perkasa Pulau Pinang.
"Perhimpunan Umno cepat bertukar perkauman apabila pemimpin tertinggi DAP telah menjadi sasaran sedangkan Lee Khai Loon dari PKR.
"Adakah DAP menjadi sasaran mudah Umno kerana pimpinan tertinggi kami adalah orang Cina, tidak seperti pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang Melayu?" soalnya.
Beliau turut berkata, laporan polis terhadap pemimpin Umno Pulau Pinang juga akan dilakukannya kerana mengancam keamanan dan keharmonian awam serta kenyataan berunsur hasutan turut akan dibuat.
"Kami tidak mengharapkan apa-apa tindakan oleh Jabatan Peguam Negara, tetapi untuk menghantar isyarat yang jelas bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP mahupun rakyat kebanyakan akan tunduk kepada ancaman Umno." – 19 Januari, 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan