Home » » Ulama PAS kecam Harussani ‘sangat jahil’ selepas ‘fatwa’ darah halal ke atas peserta himpunan

Ulama PAS kecam Harussani ‘sangat jahil’ selepas ‘fatwa’ darah halal ke atas peserta himpunan

Written By canang on Jumaat, 3 Januari 2014 | 1/03/2014 12:53:00 PG


Khairudin menjelaskan label 'bughah' yang digunakan oleh Mufti Perak tidak kena dari segi hukum syarak dan juga perlembagaan Malaysia. - Gambar The Malaysian Insider, 2 Januari, 2013.Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel peserta perhimpunan anti-kenaikan harga baru-baru ini sebagai pemberontak yang halal darah mereka terus dikecam, termasuk oleh Dewan Ulama PAS.
"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah.
"Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat," kata ketua penerangan Dewan Ulama PAS, Khairudin Aman Razali.
Khairudin berkata kenyataan Harussani itu amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam.
Harussani sebelum ini dilaporkan berkata peserta perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Disember lalu perlu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan, sambil berkata darah mereka “dihalalkan" kerana tergolong dalam kategori "bughah", atau pemberontak.
“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Bagi Khairudin, kenyataan itu menyeleweng dari hukum Islam dan sangat menyesatkan.
Ahli parlimen Kuala Nerus itu menjelaskan bahawa dalam Islam, 'bughah' atau pemberontak merujuk kepada penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam, dan termasuk salah satu kesalahan jenayah hudud.
"Adakah peserta perhimpunan 31 Disember 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?" tanya beliau dalam kenyataannya.
Lagipun, katanya, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan terhadap Yang diPertuan Agong.
Katanya, para peserta perhimpunan malam Selasa lepas hanya turun dengan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.
"Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," kata Khairudin, sambil berkata "fatwa" yang dikeluarkan Harussani itu dibimbangi membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. - 2 Januari, 2014.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger