Pesawat terakhir Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 Hercules yang
menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di
Perth, Australia, selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 11
pagi ini.
Ketibaan pesawat itu yang membawa 11 pegawai dan 13 anggota lain-lain
pangkat (LLP) disambut Panglima 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk
Azizool Arif Abdul Ghani, pegawai TUDM dan anggota keluarga kru.
Azizool Arif berkata pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara
Pearce, Perth, pada 11 malam waktu tempatan dan singgah di Jakarta,
Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Udara TUDM Subang.
"Bagi operasi ini (mencari MH370), TUDM telah menghantar tiga pesawat
C130H daripada No.20 Skuadron TUDM ke Perth, Australia untuk menyertai
tujuh buah negara lain dalam mengembleng usaha mencari pesawat
berkenaan.
"Dua buah pesawat telah berlepas ke sana pada 28 Mac lalu manakala
sebuah lagi pada 5 April...dua pesawat yang pergi lebih awal sudah
kembali ke tanah air pada 30 April dengan membawa 19 pegawai dan 35
anggota LLP," katanya kepada pemberita.
Azizool Arif berkata sepanjang hampir 42 hari terlibat dalam misi
mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, kesemua kru telah
menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan komitmen jitu.
"Saya percaya dengan pengalaman ini, mereka akan berupaya berdepan
dengan pelbagai tugas lebih mencabar pada masa depan...sesungguhnya ini
adalah saat paling bermakna buat mereka dan TUDM secara amnya," kata
beliau.
Sementara itu, Zubaidah Zahri, 41, isteri kepada juruterbang Mejar
Mohammad Jafri Subuh, berkata, beliau bersyukur suaminya telah pulang
dengan selamat sebelum sambutan Hari Ibu esok.
"Selepas tahu dia (suami) perlu pergi ke Perth untuk misi ini sebelum
ini, saya tidak putus-putus berdoa agar keselamatannya bersama-sama kru
lain terjaga."Memang diakui bukan senang untuk menjadi isteri kepada
seorang juruterbang.
Kadang-kadang banyak perkara yang membelenggu fikiran lebih-lebih lagi
pasal soal anak namun kerana tugas yang digalas, kita perlu merelakan
setiap pemergian mereka," katanya.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8
Mac lepas setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeing 777-200ER itu hilang,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370
"berakhir di selatan Lautan Hindi". ~awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan