Baru-baru
ini, sebuah kenderaan milik penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
yang terdiri daripada enam hingga lapan orang penguatkuasa berhenti dan
menyerbu sebuah van yang menjual jajan di tepi Sekolah Rendah Kebangsaan
Seri Bintang Utara.
Peniaga jajan itu kemudian dilihat mengeluarkan pelbagai dokumen
untuk diteliti oleh beberapa penguatkuasa yang ada. Seorang penguatkuasa
lagi sibuk membuat catatan. Yang lain-lain sekadar memerhati. Dua orang
penguatkuasa lagi berada di dalam kenderaan mereka.
Peniaga wanita itu hanya menjual makanan ringan dan air.
Pelanggannya pun kanak-kanak sekolah, ibu bapa, penjaga atau pemandu bas
sekolah.
Harga barang-barang yang dijual tidak mahal - sesuai dengan status pelanggan utamanya - kanak-kanak sekolah.
Beberapa ibu bapa yang berada di luar perkarangan sekolah yang
melihat gelagat beberapa penguatkuasa DBKL itu ada yang menggelengkan
kepala dan ada yang bercakap-cakap sesama sendiri.
Seorang lelaki warga emas menarik perhatian penulis apabila beliau
dengan nada kuat berkata: "Penjaja kecil sibuk dicari, diperiksa, tak
berperikemanusiaan langsung. Macam sudah tidak ada peniaga besar yang
membuat salah".
Seorang lelaki lain pula menyampuk:"Kalau penjaja Melayu beranilah
datang, kalau bangsa lain berniaga sampai tutup jalan pun DBKL tutup
mata".
Tidak tahulah apa perasaan Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib
jika beliau berada di situ. Adakah malu, bangga, sedih atau mungkin
tidak ada perasaan langsung.
Tindak tanduk para penguatkuasa DBKL atau mana-mana penguatkuasa
pihak berkuasa tempatan yang melihat para penjaja kecil sebagai 'mangsa'
sudah banyak kali diperkatakan oleh rakyat.
Namun, siapa pun yang ambil kisah, oleh sebab itu para penguatkuasa
seringkali dilihat hanya berani berhadapan dengan penjaja-penjaja kecil
sedangkan 'jerung-jerung' besar dibiarkan.
Jika tidak, mustahil Laporan Ketua Audit Negara merungkaikan
kerugian yang dialami oleh DBKL kerana gagal mengutip caj lesen dan
papan tanda daripada peniaga-peniaga yang mempunyai bangunan.
Penulis juga musykil kerana dua bulan lalu, di hadapan sekolah yang
sama empat orang penguatkuasa beria-ia memeriksa dua orang peniaga
aiskrim Melayu dan seorang lelaki yang menjual sate ikan.
Hasil pemeriksaan itu motosikal dan barangan lelaki yang menjual sate ikan ditarik. Mungkin tidak ada lesen.
Secara logik akal apalah sangat kesalahan penjaja-penjaja yang
mencari rezeki dengan duit poket kanak-kanak sekolah kerana aiskrim yang
paling mahal pun dijual pada harga RM2.50. Kebanyakan aiskrim yang
dijual pada harga 60 sen.
Berbanding dengan penjaja aiskrim yang menjadi sasaran penguatkuasa
DBKL, mengapa mereka tidak ke Jalan Dua di Jalan Chan Sow Lin.
Di situ banyak gerai-gerai tetap dibina oleh peniaga, sedangkan
kawasan itu bukan lokasi berniaga. Akibatnya kawasan itu menjadi kotor
dan berbau busuk.
Mengapa DBKL tidak memeriksa penjaja di Jalan Peel yang berniaga di
atas bahu-bahu jalan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama
pada waktu tengah hari dan waktu petang?
Tidak jauh dari sekolah itu, di Jalan Shamelin terdapat banyak
gerai-gerai yang menganggu lalu lintas, mengapa kawasan itu tidak pernah
dilawati oleh DBKL?
Banyak juga kenderaan kilang-kilang yang memakir di sepanjang jalan di sekitar Shamelin menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sebab itu, seorang wanita yang melihat tindak tanduk beberapa
penguatkuasa yang memeriksa van menjual jajan itu berkata, penguatkuasa
DBKL hanya tunjuk berani kepada penjaja kecil Melayu sahaja.
"Kalau dengan peniaga bangsa lain, semua tidak apa. Nampak kesalahan pun tutup mata sahaja," tambahnya.
Betul atau tidak dakwaan itu - wajarlah DBKL menjawabnya. Ini
kerana persepsi orang ramai terhadap penguatkuasa DBKL bukan
bersandarkan kepada ilusi tetapi realiti di depan mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan